Oleh Ts. Mohd Zairil Zainal

Lapan ‘Skuad Berani Masak’ telah mempertaruhkan bakat masing-masing dalam pertandingan masakan “War of The Wok” anjuran Biro Sukan dan Rekreasi, Kelab Staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (KSUTHM) yang diadakan pada 19 April lalu bertempat di Dewan Terbuka, kampus induk.

Pasukan Kelab BaKiPP muncul juara setelah berjaya menambat hati juri dengan masakan yang bertemakan “diet sihat” diikuti dengan Kelab Kasturi sebagai naib juara dan Kelab Staf FKEE di tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang hadiah berupa wang tunai, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

Pertandingan yang merupakan cetusan idea asal oleh Pengarah Program,  Dr. Muhaini Othman ini turut dimeriahkan dengan demo masakan selebriti terkenal, Puan Noorliza Kamarudin atau lebih dikenali dengan Chef Hanieliza yang juga selaku juri pertandingan bersama pensyarah sambilan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Puan Nor Anis Intan Aqiah Tukiran. Pelbagai gerai jualan turut menyambut kehadiran pengunjung yang datang memenuhi ruang legar dewan.

Sementara itu Pengerusi KSUTHM, Profesor Dr. Yusri Yusof turut hadir ke pertandingan tersebut sekali gus menyempurnakan upacara perasmian dan penyampaian hadiah.

Menurut Profesor Dr. Yusri, KSUTHM akan cuba meneruskan program seumpama ini pada tahun-tahun mendatang memandangkan impak dan sambutan yang diterima sangat baik daripada warga universiti.

“Kita mahu rakyat Malaysia amnya menikmati hidangan berkhasiat yang dimasak di rumah, meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan mengamalkan kehidupan yang sihat, makanya penganjuran program seumpama ini boleh menjadi platform untuk mencapai hasrat tersebut.”

“Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli yang sentiasa menyokong dan melibatkan diri dalam program-program anjuran KSUTHM sehingga setiap satunya berjaya dilaksanakan,” tambahnya lagi.