Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) komited dan menyokong sepenuhnya usaha kerajaan dalam memantau dan mengurangkan kadar penghasilan gas rumah hijau negara sepertimana yang diwartakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato Seri Mohd Najib Tun Razak sewaktu di United Nations Climate Change Conference 2009, Copenhagen, Denmark.
Komitmen dan sokongan ini dibuktikan dengan penglibatan UTHM melalui Pusat Kajian Tenaga dan Persekitaran Industri (CEIES) dalam MYCarbon Pilot Reporting Program anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) Malaysia, yang bermula sejak awal tahun 2014.
Program MyCarbon ini mengambarkan kesungguhan Malaysia untuk bersama-sama masyarakat dunia dalam usaha menangani isu pemanasan global yang menjadi punca perubahan drastik cuaca dunia beberapa tahun kebelakangan ini.
MYCarbon merupakan program yang pertama seumpamanya di Malaysia dan UTHM merupakan institusi pendidikan pertama di Malaysia yang melibatkan diri dalam program ini. Melalui program ini, UTHM akan mengisytiharkan jumlah pembebasan gas rumah hijau dalam unit “tons of CO2 equivalent” setahun yang terhasil di peringkat organisasi secara langsung dan tidak langsung.
Jumlah karbon dioksida yang diisytiharkan tersebut meliputi penggunaan semua bahan api petrol dan diesel, penggunaan tenaga elektrik, dan pengunaan sumber-sumber lain sepanjang operasi UTHM bagi tahun yang berkenaan. Selain itu, pengisytiharan ini juga akan disertakan bersama sasaran dan strategi bagi mengurangkan jumlah pembebasan karbon dioksida oleh UTHM. Pengisytiharan ini membolehkan UTHM mengukur impak yang diberikannya kepada alam sekitar dan seterusnya merangka dan melaksanakan langkah-langkah bagi mengurangkan impak UTHM kepada alam sekitar demi kelestarian global.
Ketua Pusat Kajian Tenaga dan Persekitaran Industri (CEIES), Dr. Mas Fawzi Mohd Ali berkata, “Penyertaan ini membuktikan bahawa penyelidik di UTHM sentiasa proaktif dan komited terhadap usaha kerajaan dalam menangani isu pemanasan global.” Menurut beliau lagi, penglibatan ini merupakan kesinambungan daripada aktiviti-aktiviti penyelidikan yang sedang giat berlangsung di UTHM, khususnya di CEIES yang memfokus ke arah kajian sumber tenaga boleh diperbaharui, kajian kecekapan penggunaan tenaga, kajian pembakaran bahanapi, penghasilan produk berteknologi hijau dan lain-lainnya.
Diantara aktiviti penyelidikan yang sedang dijalankan di CEIES ialah Hydrogen Generator yang diketuai oleh Dr. Mas Fawzi sendiri, Exhaust Air Filtration diketuai oleh Dr. Norzelawati Asmuin, Green Retrofitting Technologies diketuai oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Jais Alimin, Micro-Explosion Fuel Behavior diketuai oleh Dr. Amir Khalid, Biomass Energy Conversion diketuai oleh En. Mohd Faizal Mohideen Batcha, Energy Management and Audit diketuai oleh En. Zamri Noranai, Carbon Footprint Quantification and Management diketuai oleh Dr. Mohammad Kamil Abdullah, serta banyak lagi.
Sementara itu Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Prof. Madya Dr. Yusri Yusof berharap penglibatan UTHM dalam program MYCarbon ini akan meningkatkan keperihatinan warga kampus pada isu pemanasan global dan seterusnya menjadi pemangkin kepada aktiviti-aktiviti penyelidikan berteraskan teknologi hijau di UTHM.