Kehadiran Ramadan setiap tahun membawa dimensi kerohanian yang mendalam kepada umat Islam. Ibadah puasa yang dilaksanakan dari terbit fajar hingga terbenam matahari menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi. Dalam konteks alam pekerjaan, terutamanya bagi pekerja luar pejabat seperti pemandu lori, operator kren, pekerja gig,  operator kilang, pekerja shif, pekerja buruh binaan dan pekerja penyelenggaraan infrastruktur, cabaran berpuasa memerlukan penyesuaian yang lebih sistematik. Golongan ini berhadapan dengan persekitaran kerja berisiko tinggi yang menuntut fokus, koordinasi motor yang baik serta keupayaan membuat keputusan secara tepat dan pantas. Justeru, aspek tenaga, tumpuan dan keselamatan perlu diberi perhatian khusus bagi mengelakkan peningkatan kadar kemalangan sepanjang bulan Ramadan.

Kesan fisiologi berpuasa terhadap prestasi kerja

Secara fisiologi, tempoh berpuasa yang panjang tanpa pengambilan makanan dan minuman boleh menyebabkan perubahan metabolik dalam tubuh badan. Paras glukosa darah cenderung menurun selepas beberapa jam, manakala kekurangan pengambilan cecair meningkatkan risiko dehidrasi, khususnya dalam cuaca panas dan lembap seperti di Malaysia. Dehidrasi walaupun pada tahap ringan boleh memberi kesan kepada fungsi kognitif seperti daya tumpuan, memori jangka pendek dan masa tindak balas. Bagi pemandu lori yang memandu jarak jauh, kelewatan tindak balas beberapa saat sahaja boleh menjadi faktor kritikal dalam situasi kecemasan di jalan raya.

Bagi operator kren dan pekerja pembinaan, keletihan fizikal akibat kerja berat yang berterusan boleh mengurangkan kestabilan pergerakan dan koordinasi tangan-mata. Kerja mengangkat beban, memanjat struktur tinggi atau mengendalikan jentera berat memerlukan ketepatan dan keseimbangan yang tinggi. Apabila badan berada dalam keadaan lesu atau kurang air, risiko kesilapan operasi dan kecuaian meningkat. Dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan, faktor keletihan (fatigue) diiktiraf sebagai penyumbang utama kepada kejadian tidak selamat (unsafe acts).

Impak psikologi dan pola tidur

Selain kesan fisiologi, perubahan jadual tidur turut mempengaruhi prestasi kerja. Ramadan sering dikaitkan dengan aktiviti ibadah malam seperti solat tarawih dan bangun awal untuk sahur. Jika tidak diurus dengan baik, pengurangan tempoh tidur boleh menyebabkan gangguan kepada ritma sirkadian dan menurunkan tahap kewaspadaan pada siang hari. Pekerja yang kurang tidur lebih cenderung mengalami rasa mengantuk, kurang sabar dan kesukaran mengekalkan fokus dalam tempoh masa yang panjang.

Dalam persekitaran kerja berisiko tinggi, kestabilan emosi dan kejelasan pemikiran amat penting. Tekanan kerja yang digabungkan dengan keletihan berpuasa boleh meningkatkan risiko konflik di tempat kerja serta mengurangkan kepekaan terhadap bahaya persekitaran. Oleh itu, pengurusan tidur dan rehat berkualiti perlu menjadi sebahagian daripada strategi keselamatan semasa Ramadan.

Risiko tekanan haba dan persekitaran kerja

Malaysia sebagai negara beriklim tropika mencatatkan suhu dan kelembapan yang tinggi sepanjang tahun. Pekerja luar pejabat yang terdedah kepada cahaya matahari secara langsung berisiko mengalami tekanan haba (heat stress). Tanpa pengambilan air sepanjang waktu bekerja, badan kehilangan cecair melalui peluh, sekali gus menjejaskan mekanisme penyejukan semula jadi tubuh. Gejala awal seperti pening, kekejangan otot dan keletihan melampau tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh membawa kepada keadaan lebih serius seperti strok haba.

Bagi mengurangkan risiko ini, perancangan kerja perlu mengambil kira waktu pendedahan haba yang tinggi. Tugasan berat atau berisiko tinggi sebaiknya dijadualkan pada waktu pagi ketika suhu masih rendah dan tahap tenaga pekerja lebih stabil.

Strategi individu untuk mengekalkan tenaga dan fokus

Dari sudut individu, pemilihan makanan semasa sahur memainkan peranan penting dalam mengekalkan tenaga sepanjang hari. Pengambilan karbohidrat kompleks seperti bijirin penuh dan nasi perang membekalkan tenaga secara beransur-ansur, manakala sumber protein membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama. Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran pula menyumbang kepada keseimbangan elektrolit. Antara waktu berbuka dan sahur, pekerja digalakkan minum air secukupnya bagi memastikan tahap hidrasi optimum sebelum memulakan kerja keesokan hari.

Selain itu, amalan rehat berkualiti sekurang-kurangnya enam hingga tujuh jam secara terkumpul dapat membantu memulihkan fungsi kognitif dan fizikal. Jika keadaan mengizinkan, rehat pendek selama 10 hingga 20 minit pada waktu tengah hari boleh meningkatkan kewaspadaan dan mengurangkan rasa mengantuk.

Peranan majikan dan pendekatan organisasi

Majikan memegang tanggungjawab penting dalam memastikan kebajikan dan keselamatan pekerja sentiasa terpelihara. Penyusunan jadual kerja yang lebih fleksibel, pengurangan kerja lebih masa serta pengagihan tugasan mengikut tahap risiko merupakan langkah proaktif yang boleh dilaksanakan. Taklimat keselamatan khas sempena Ramadan juga wajar diberikan bagi meningkatkan kesedaran tentang tanda-tanda awal keletihan dan dehidrasi.

Pelaksanaan sistem rakan sekerja (buddy system) boleh membantu memantau keadaan pekerja secara tidak formal. Rakan sekerja dapat mengenal pasti perubahan tingkah laku atau tanda-tanda keletihan melampau lebih awal sebelum berlaku insiden. Penyediaan kawasan rehat berbumbung dan pengudaraan baik turut membantu mengurangkan pendedahan haba yang berlebihan.

Pendekatan pengurusan risiko berasaskan penilaian (risk assessment) perlu dikemas kini dengan mengambil kira faktor berpuasa sebagai salah satu elemen yang mempengaruhi faktor manusia. Ini selaras dengan prinsip keselamatan moden yang menekankan integrasi kebajikan pekerja dalam sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Secara keseluruhan, berpuasa semasa Ramadan memberikan cabaran tambahan kepada pekerja luar pejabat yang terlibat dalam pekerjaan berisiko tinggi. Kesan fisiologi seperti dehidrasi dan penurunan tenaga, serta impak psikologi akibat perubahan pola tidur, boleh mempengaruhi tahap fokus dan seterusnya meningkatkan risiko kemalangan. Namun, melalui perancangan rapi, pengurusan diri yang baik dan komitmen organisasi terhadap keselamatan, risiko tersebut dapat diminimumkan. Ramadan seharusnya menjadi medan untuk memperkukuh disiplin dan tanggungjawab, termasuk dalam aspek keselamatan pekerjaan. Dengan kerjasama erat antara pekerja dan majikan, budaya kerja selamat dapat terus diperkasakan, memastikan setiap individu pulang ke rumah dalam keadaan selamat walaupun menjalani ibadah puasa.

 

 

 

Dr. Zuritah A.Kadir

Pensyarah Kanan

Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Ts. Khairunisa Ismail

Pensyarah

Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)