Dalam satu laporan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan mencatatkan bahawa seramai 10,160 daripada 383,685 calon SPM 2023 yang telah mendaftar gagal hadir bagi menduduki peperiksaan tersebut. Angka ini mewujudkan rasa kebimbangan, apatah lagi ia menyaksikan penurunan yang ketara berbanding calon yang mendaftar pada tahun 2022. Apakah pencapaian akademik pada peringkat pengajian tinggi atau pengajian berterusan sudah tidak relevan lagi dalam dunia pekerjaan kini?
Menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau lebih dikenali sebagai pendidikan tertiar adalah satu keputusan penting yang banyak membantu dalam membentuk generasi muda yang berpengetahuan, berkemahiran serta mempunyai kemampuan untuk bersaing khususnya dalam dunia digital ketika ini. Di Malaysia contohnya, sudah menjadi penetapan minda bahawa pendidikan tinggi merupakan satu platform utama untuk meraih peluang pekerjaan yang lebih baik, imbuhan yang lumayan dan mencapai impian hidup. Anak-anak sering ditegaskan bahawa jaminan masa depan bergantung kepada tahap pencapaian di peringkat pengajian tinggi. Pendidikan tinggi bukan sekadar menyumbang kepada pengetahuan akademik, tetapi juga menyediakan ruang yang lebih luas untuk membangunkan kemahiran insaniah dan pengalaman hidup yang lebih mencabar.
Walaupun media sosial dan dunia hiburan semakin menarik perhatian generasi muda seperti menjadi pempengaruh dalam media sosial, namun begitu, pendidikan tinggi tetap menjadi keutamaan serta pilihan bijak dalam mempersiapkan diri menghadapi cabaran ekonomi dan sosial yang semakin kompleks dan sukar diramal. Artikel ini akan membincangkan faktor-faktor pengajian berterusan sebagai pilihan yang tepat untuk masa depan yang lebih baik khususnya bagi generasi muda yang mudah terpengaruh dengan anasir negatif.
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan digitalisasi yang begitu pantas membawa impak dan pengaruh yang besar kepada golongan muda. Misalnya, impian untuk dikenali, memperoleh ramai pengikut serta keuntungan mudah dicapai melalui media sosial yang semakin popular dalam kalangan masyarakat. Namun demikian, seseorang itu akan lebih berwibawa pada mata masyarakat sekiranya pengaruh yang dibawa itu berlandaskan ilmu yang logik, terkehadapan serta akhlak yang tinggi. Oleh yang demikian, ilmu pengetahuan yang tinggi dan sentiasa dipertingkatkan selaras dengan perkembangan semasa agar perkongsian kekal relevan. Sesungguhnya, setiap muslim diseru untuk terus menuntut ilmu sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:
“Mencari ilmu adalah fardhu ke atas setiap muslim” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Peluang menimba ilmu dan kemahiran khusus
Pusat-pusat pengajian tinggi sama ada awam atau swasta telah banyak membuka peluang kepada pelajar yang berminat untuk menceburi bidang yang menjadi pilihan mereka dan seterusnya mengasah kemahiran sesuai dengan permintaan pasaran pekerjaan. Pelajar-pelajar boleh membuat pengkhususan tertentu yang akan melengkapkan kemahiran mereka sebagai seorang pakar. Program-program yang ditawarkan di universiti Malaysia adalah mempunyai standard yang tinggi selain prasarana lengkap serta canggih mengikut bidang-bidang tertentu.
Penyelidikan dan inovasi
Institusi pengajian tinggi seumpama hub yang sering berada pada barisan hadapan dalam penyelidikan dan inovasi. Para pelajar mempunyai peluang yang luas untuk mengambil bahagian dalam penyelidikan dan projek-projek yang dapat meningkatkan pengetahuan dan kepakaran mereka dalam bidang yang diceburi. Pelajar boleh menyalurkan idea dan kreativiti dalam meneroka ilmu serta penemuan baharu.Pelajar boleh menyalurkan idea dan kreativiti bagi mencari penemuan baharu. Sebagai contoh, pelajar dalam bidang teknologi maklumat dapat mempelajari ilmu terkini mengenai data dan aplikasi digital. Apabila mereka memilih bidang yang diminati, maka hal ini akan memberikan hala tuju kepada pelajar-pelajar untuk memilih kerjaya berkaitan bidang yang mereka pilih di universiti.
Pembangunan kendiri
Selain ilmu akademik, universiti juga memberi ruang untuk membangunkan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan. Semua kemahiran ini sangat penting untuk memastikan pelajar tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga bersedia untuk menghadapi dunia kerja yang semakin kompetitif dan mencabar. Keterlibatan pelajar dalam diskusi akademik, menjalankan penyelidikan, mencabar idea mampu memupuk pertumbuhan peribadi dan keyakinan diri. Contohnya terdapat pelbagai kursus atau yang ditawarkan seperti kelas kemahiran hidup dan pengucapan awam bagi menyediakan kemahiran kepada pelajar selain daripada bidang pengkhususan mereka agar mereka lebih berdaya saing. Elemen-elemen ini kadang kala dilihat oleh majikan sebagai nilai tambah kepada pemilihan calon-calon sebagai pekerja di syarikat mereka.
Peluang dan kemajuan kerjaya
Antara faktor utama seseorang meneruskan pembelajaran menerusi pengajian berterusan adalah untuk meningkatkan kelayakan akademik. Ini merupakan tiket yang mempunyai nilai yang tinggi dalam kalangan majikan di Malaysia. Graduan yang memiliki ijazah dari universiti yang diiktiraf mempunyai potensi yang lebih besar untuk memperoleh pekerjaan yang baik dan setaraf dengan kelayakan mereka. Mengikut statistik, kebanyakan pekerjaan profesional di Malaysia seperti doktor, peguam dan arkitek memerlukan kelayakan tertentu dari universiti untuk mendapatkan tempat dalam industri tersebut. Ada juga bidang yang bukan hanya memerlukan ijazah pertama, malah lebih daripada itu. Contohnya, jika seseorang pelajar itu berminat untuk menjadi seorang pensyarah, ada universiti yang telah mewajibkan kelayakan PhD untuk melantik pensyarah berkhidmat. Jadi ini akan menunjukkan kepakaran seseorang dan memberi keyakinan kepada majikan untuk mengambil seseorang bekerja.
Selain itu, universiti juga menyediakan platform untuk pelajar mengikuti latihan industri yang menyediakan pengalaman sebenar di tempat kerja. Pengalaman ini sangat berharga kerana ia memberi gambaran tentang dunia pekerjaan dan mempersiapkan mereka untuk menyertai pasaran kerja dengan lebih yakin.
Peluang membina rangkaian
Membina rangkaian sosial dan profesional berperanan dalam memberi peluang pekerjaan selepas graduasi. Pelbagai acara yang dianjurkan oleh pihak pusat pengajian berterusan menjadi platform untuk bertemu dengan rakan sebaya, pensyarah atau penceramah jemputan. Mereka boleh melibatkan diri dalam acara seperti bengkel, ceramah atau seminar sama ada sebagai ahli jawatankuasa atau sekadar peserta. Di sinilah peluang pelajar-pelajar membentuk keyakinan dan jati diri bagi menghadapi perjalanan hidup pada masa hadapan. Ia juga sebagai langkah untuk menunjukkan kepimpinan dan inisiatif, yang boleh menarik perhatian bakal majikan kelak.
Akses kepada rangkaian ini menjadi sangat berharga untuk perkembangan kerjaya seterusnya. Rangkaian alumni juga mampu memberikan sokongan secara berterusan selepas tamat pengajian. Platform seperti LinkedIn, Twitter, atau forum khusus pusat pengajian boleh membantu pelajar-pelajar untuk terus berhubung dengan rakan sekelas, pensyarah dan alumni.
Menangani isu sosial dan ekonomi
Pendidikan tinggi juga memainkan peranan penting dalam membantu menangani isu sosial dan ekonomi di Malaysia. Melalui pendidikan, individu dapat memperbaiki taraf hidup mereka, mengurangkan jurang kemiskinan dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Sebagai contoh, graduan universiti yang terlibat dalam bidang keusahawanan dapat mencipta peluang pekerjaan melalui produk yang dihasilkan. Usaha ini akan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu, pusat pengajian tinggi juga memberi peluang kepada pelajar untuk lebih memahami isu-isu sosial seperti ketidaksamaan, kemiskinan dan persekitaran. Pelajar boleh menyertai program-program yang memberi kesedaran mengenai pentingnya penglibatan dalam pembangunan masyarakat, serta memberi sumbangan untuk memperbaiki keadaan masyarakat sekeliling mereka. Misalnya, di universiti pelajar boleh menyertai aktiviti komuniti dan kesukarelawan untuk membantu Masyarakat setempat. Program komuniti juga boleh dianjurkan di sekolah mahupun komuniti setempat.
Langkah menghadapi cabaran global
Kita sedia maklum bahawa dunia kini berdepan dengan pelbagai cabaran global seperti perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, dan kemajuan teknologi yang pesat. Melalui pendidikan tinggi, pelajar tidak hanya mempelajari ilmu tetapi juga diajar untuk berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan beradaptasi dengan perubahan. Ini adalah kemahiran yang sangat diperlukan untuk menghadapi cabaran global dan memastikan individu tersebut dapat bertahan dan berjaya dalam persekitaran yang tidak menentu.
Bukan itu sahaja, pusat pengajian berterusan juga sentiasa membuka peluang untuk pelajar melibatkan diri dalam projek-projek penyelidikan yang bertujuan untuk mencari penyelesaian kepada masalah dunia, seperti masalah persekitaran atau kemiskinan. Dengan pengetahuan yang diperoleh, pelajar dapat memberi impak positif kepada masyarakat global. Jadi dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi contohnya ijazah sarjana ataupun PhD, pelajar dapat menerokai pelbagai bidang yang lain dan menjadi pakar dalam bidang masing-masing yang boleh membantu negara ini jika memerlukan khidmat kepakaran mereka.
Kesimpulannya, menyambung pelajaran selepas tamat persekolahan adalah langkah yang sangat bijak untuk memastikan masa depan yang lebih baik. Pendidikan tinggi bukan hanya menyediakan ilmu pengetahuan tetapi juga membuka pintu kepada peluang kerjaya yang lebih baik, membantu pembangunan kemahiran insaniah dan memberi peluang kepada individu untuk menyumbang kepada perubahan sosial dan ekonomi. Walaupun dunia hiburan dan media sosial mungkin menjadi pilihan menarik, pendidikan tetap menjadi landasan yang kukuh untuk mencapai kejayaan yang sebenar. Oleh itu, kepada para pelajar yang sedang mempertimbangkan pilihan masa depan, teruskan melangkah dan bagai air mencari jenisnya dan mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.

Dr. Nazreena Mohammed Yasin
Jabatan Sains Sosial
Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Hanisah Md. Idris
Jabatan Sains Sosial
Pusat Pengajian Asasi
Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 28 September 2025: Pendidikan tinggi: Pelaburan untuk masa depan yang lebih cerah
Pendidikan tinggi: Pelaburan untuk masa depan yang lebih cerah
2. Utusan Malaysia (muka surat: 18), 11 Oktober 2025: Hanya dengan integriti dapat bina negara sejahtera

3. Utusan (utusan.com.my), 11 Oktober 2025: Hanya dengan integriti dapat bina negara sejahtera
