Hari Persahabatan Sedunia disambut setiap tahun pada 30 Julai. Setiap insan biasanya akan mempunyai orang yang rapat yang dikenali sebagai sahabat sejati sebagai tempat untuk bercerita, mendengar, menemani saat jatuh dan bangun serta dapat menerima kelebihan dan kekurangan yang ada. Persahabatan yang ikhlas dan tulus, dapat membawa perhubungan persahabatan tersebut dengan lebih jauh. Nilai hubungan ini sangat mahal sekiranya tiada sebarang keterbatasan yang dihadkan seperti tempat, sempadan bahasa dan budaya.

Persahabatan merentas budaya

Kepelbagaian dalam bahasa dan budaya bukanlah alasan untuk kita tidak dapat menjalinkan hubungan persahabatan antara manusia. Malah, perbezaan ini perlu diraikan dengan mengeratkan hubungan sosial dengan perkongsian silang budaya, adat dan seumpamanya. Sebagai contoh, budaya sering dikaitkan dengan makanan tradisional, yang kadang kala makanan merupakan alat menyatukan individu yang berbilang bangsa. Dengan adanya makanan mahupun pakaian tradisional, maka interaksi sosial dapat diwujudkan kerana rasa ingin tahu antara satu sama lain. Interaksi dan komunikasi ini dapat membina hubungan persahabatan dalam kalangan individu.

Bahasa bukan penghalang

Rakyat Malaysia terdiri daripada penutur yang mahir dalam pelbagai bahasa selain daripada bahasa ibunda. Ramai juga rakyat yang boleh berdialek berdasarkan tempat atau geografi penutur. Namun begitu, bahasa bukan penghalang untuk hubungan persahabatan, kerana bahasa tidak terhad kepada unsur-unsur fonetik yang dihasilkan daripada alat artikulasi. Malah, bahasa juga boleh difahami daripada bahasa isyarat ataupun bahasa tubuh. Oleh itu, bahasa bukanlah penghalang untuk menjalinkan hubungan persahabatan.

Persahabatan tanpa sempadan

Dari aspek antarabangsa, banyak peluang untuk kita berinteraksi dengan individu yang berlatarbelakangkan pelbagai budaya dan bangsa. Hal ini kerana, dunia tanpa sempadan menjadikan manusia lebih berhubung dengan lebih terbuka. Sejak dunia dilanda oleh Covid-19, pelbagai medium digital dan teknologi diketengahkan, terutama sekali digital dalam alam maya bagi memudahkan keperluan interaksi tanpa fizikal. Sehubungan itu, persabahatan dapat dibentuk dalam alam maya khususnya untuk memudahkan urusan kerja atau pembelajaran.

Duta keamanan

Persahabatan yang mengira dunia tanpa sempadan, dapat diperkukuh lagi apabila terdapat berita tentang keamanan dunia. Misalnya, jika terdapat berita tentang keamanan peringkat global, sahabat yang bertanggungjawab pastinya cuba menguar-uarkan kesedaran tentang keamanan dunia tersebut dan membantu dengan pelbagai cara. Hal ini, hubungan persahabatan sebagai pemangkin kepada keamanan sosial dan global. Perkongsian tentang nilai keamanan dapat juga membina jati diri sebagai seorang sahabat yang menjadi ejen atau duta keamanan.

Inspirasi persahabatan

Persahabatan yang utuh dan sejati perlulah seiring dengan komitmen yang diberi. Jika ada hal-hal yang perlu dikongsi dan dibantu untuk meringankan, makanya perlulah dikongsi bersama. Perkara ini juga membantu untuk keterjaminan kesihatan mental setiap individu. Mempunyai sahabat yang menjadi tempat untuk berkongsi segala macam cerita dan boleh membantu dalam apa jua situasi merupakan nilai yang sangat mahal. Maka, hargailah sahabat yang sentiasa ada, dalam jatuh dan bangun kita dengan mengucapkan terima kasih kepada mereka. Untuk sahabat handai yang jauh di mata, anda sentiasa dekat di hati. Selamat Hari Persahabatan Sedunia!

 

 

Nor Athira Md Amin

Guru Bahasa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Harian Metro (muka surat: 14), 19 Ogos 2025: Jalinan erat melangkaui sempadan, bahasa dan budaya 

 

2. MyMetro (hmetro.com.my), 19 Ogos 2025: Jalinan erat melangkaui sempadan, bahasa dan budaya

https://www.hmetro.com.my/rencana/2025/08/1253887/jalinan-erat-melangkaui-sempadan-bahasa-dan-budaya