Sejak tanggal keramat 31 Ogos 1957, tanpa kita sedar, tahun ini genaplah 68 tahun tanah air kita menghirup udara kemerdekaan. Perkataan kemerdekaan bukanlah sesuatu perkataan yang asing di telinga kita. Namun persoalannya, adakah kita benar-benar memahami erti kemerdekaan, atau adakah ianya sekadar sambutan rutin saban Ogos?
Erti kemerdekaan tidak hanya terletak pada kibaran jalur gemilang, tetapi lebih dalam daripada itu, iaitu bagaimana kita hidup dengan bebas daripada segala bentuk penindasan. Antara cabaran terbesar hari ini ialah membebaskan masyarakat daripada budaya buli yang membelenggu dan meragut rasa keamanan insan lain. Gejala buli pada hari ini amat sukar dibendung kerana ia bukan sahaja berlaku dalam kalangan generasi muda, malah turut berakar umbi merentasi pelbagai lapisan masyarakat.
Dari bangku persekolahan lagi kita telah diajar bahawa pejuang negara dahulunya bangkit menentang penjajahan demi membebaskan tanah air daripada penindasan. Namun berbeza pula dengan generasi hari ini yang perlu bangkit menentang penjajahan berbentuk sikap negatif yang menghakis kemanusiaan. Mampukah roh kemerdekaan disuburkan dalam jiwa bangsa hari ini jika budaya mengejek, memperlekeh dan menindas insan lain masih bermaharajalela? Hakikatnya, jika gejala buli terus berleluasa, maka akan ada jiwa-jiwa yang hidup dalam ketakutan. Perkara ini bertentangan sama sekali dengan nilai kemerdekaan yang menuntut keamanan dan keharmonian.
Barangkali ada antara kita yang kurang menyedari bahawa kemerdekaan hanya akan bermakna apabila disulami dengan perpaduan. Sejarah membuktikan bahawa kemerdekaan mampu dicapai hasil daripada penyatuan rakyat yang berbilang kaum. Namun, budaya buli hanya mencetuskan jurang dan perpecahan. Oleh itu, semangat kemerdekaan wajar dizahirkan melalui sikap saling menghormati, memupuk empati, dan menyemai kasih sayang sesama insan. Perpaduan yang menjadi tunjang kemerdekaan akan tergugat selama mana gejala buli masih berleluasa.
Menyedari ancaman serius budaya buli terhadap perpaduan bangsa, kerajaan turut mengambil langkah tegas bagi membanteras jenayah buli secara menyeluruh. Sehubungan dengan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah menzahirkan sokongan terhadap pelaksanaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 melalui kerjasama merentasi kementerian dan agensi. Namun, tekad kerajaan itu tidak akan sempurna andai tidak disambut oleh rakyat dengan jiwa yang luhur demi membina masyarakat yang beradab dan berperikemanusiaan.
Di sebalik usaha itu, semangat kemerdekaan juga menuntut agar setiap pembuli dipertanggungjawabkan secara adil tanpa mengira latar belakang mahupun pangkat. Hal ini penting agar undang-undang mampu menjadi benteng kepada yang lemah dan peringatan kepada yang bersalah. Kemerdekaan dapat dirasai sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat tanpa terkecuali apabila keadilan dilaksanakan secara menyeluruh. Undang-undang yang dilaksanakan dengan saksama menjadi cerminan bahawa kemerdekaan bukanlah sekadar sejarah, tetapi janji yang berterusan untuk melindungi maruah insan.
Namun, keadilan sahaja tidak mencukupi jika pembuli tidak memahami kesakitan yang mereka timbulkan. Sekiranya mereka menempatkan diri di posisi mangsa, pasti mereka sendiri tidak ingin ditindas. Justeru, mereka perlu sedar bahawa setiap perbuatan buli menabur kesengsaraan yang sama. Pendidikan, kesedaran sosial, dan penguatkuasaan undang-undang perlu berjalan seiring agar setiap individu memahami bahawa kebebasan sebenar hanya wujud apabila setiap yang masih bernyawa dapat menjalani hidup tanpa ketakutan.
Tuntasnya, erti kebebasan yang sebenar bukan hanya terletak pada kibaran bendera, tetapi pada jiwa yang saling menghormati dan teguh memelihara kesejahteraan bersama. Dengan jiwa-jiwa yang bersatu, lahirlah masyarakat merdeka yang sebenar. Semoga Hari Kebangsaan tahun ini menjadi titik tolak lahirnya masyarakat yang menyuburkan nilai kemanusiaan, agar cahaya merdeka terus menyinari generasi masa hadapan.

Farhana Abd Hamid
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 31), 23 Ogos 2025: Merdeka sebenar adalah apabila masyarakat bebas daripada budaya buli

2. Utusan (utusan.com.my), 23 Ogos 2025: Merdeka sebenar adalah apabila masyarakat bebas daripada budaya bu li
Merdeka sebenar adalah apabila masyarakat bebas daripada budaya buli
