Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, syarikat minyak dan gas nasional, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), memainkan peranan yang amat signifikan sebagai aset strategik negara. Sebagai satu entiti milik penuh kerajaan yang telah lama menjadi tunjang ekonomi Malaysia, PETRONAS bukan sekadar entiti korporat semata-mata, malah menjadi lambang industri tenaga dan kekuatan ekonomi nasional. Namun demikian, landskap global yang tidak menentu termasuk turun naik harga minyak, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, konflik geopolitik serta perubahan dasar tenaga domestik menuntut langkah strategik yang mampan bagi memperkasa PETRONAS agar terus relevan dan berdaya saing.
PETRONAS telah terbukti sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sumbangannya kepada pendapatan negara melalui dividen, cukai, royalti serta pemangkin kepada pelbagai industri berkaitan seperti perkhidmatan kejuruteraan, pembinaan dan logistik adalah signifikan. Lebih penting lagi, PETRONAS menyediakan ribuan peluang pekerjaan dan membentuk ekosistem rantaian nilai yang menyeluruh, daripada sektor huluan hinggalah ke sektor hiliran. Oleh itu, kekuatan PETRONAS perlu dikekalkan dan diperkasa agar ia kekal menjadi aset strategik yang menyumbang kepada kemakmuran negara dalam jangka masa panjang.Namun, perkembangan semasa dalam sektor tenaga memperlihatkan beberapa cabaran kritikal yang menuntut perhatian segera.
Pertama, ketidaktentuan harga minyak mentah global akibat ketegangan geopolitik dan ketidakseimbangan permintaan serta penawaran telah memberi kesan langsung kepada pendapatan PETRONAS. Walaupun syarikat ini mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM55.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2024, ia merupakan penurunan hampir 32 peratus berbanding tahun sebelumnya. Kejatuhan harga minyak dan gas memberi impak besar kepada keupayaan PETRONAS untuk menjana pendapatan berterusan dan menyumbang kepada kewangan negara. Malah, dividen yang dibayar kepada kerajaan juga telah berkurang daripada RM40 bilion pada 2023 kepada RM32 bilion pada 2024.
Kedua, perundangan dan rundingan antara PETRONAS dengan kerajaan negeri Sarawak menerusi Petroleum Sarawak Bhd. (PETROS) turut memberi cabaran dalam pengurusan sumber tenaga negara. Sarawak yang menyumbang lebih 60 peratus rizab gas negara menuntut hak autonomi yang lebih besar dalam pengurusan dan pengagregatan sumber LNG. Keputusan menjadikan PETROS sebagai pengagregat tunggal eksport LNG dari negeri itu memperlihatkan peralihan sumber dari kerajaan Persekutuan ke negeri. Ini menimbulkan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang terhadap peranan PETRONAS sebagai peneraju sektor minyak dan gas negara dalam industri tenaga kebangsaan.
Ketiga, PETRONAS kini berdepan tekanan untuk melaksanakan pelarasan organisasi termasuk pengurangan tenaga kerja. Dijangka kira-kira 5,000 pekerja, berstatus kontrak, akan diberhentikan secara berperingkat dalam tahun-tahun mendatang. Langkah ini walaupun difahami sebagai strategi penyesuaian kos, namun turut memberi impak sosial dan menimbulkan kebimbangan terhadap kesejahteraan tenaga kerja tempatan dalam industri ini. Dalam menghadapi cabaran ini, PETRONAS memerlukan satu strategi menyeluruh yang bersifat transformatif dan inklusif.
Langkah pertama ialah memastikan struktur tadbir urus dan kawal selia industri tenaga kekal di bawah kerangka nasional. Peralihan hak operasi kepada negeri, jika tidak dipantau dengan baik, boleh menjejaskan keberkesanan pengurusan sumber negara. Oleh itu, satu mekanisme rundingan dan perkongsian pintar antara Persekutuan dan negeri perlu diwujudkan agar kepentingan semua pihak terjamin tanpa menjejaskan kepentingan nasional. Usaha sama secara bijaksana perlu menjadi pertimbangan agar manfaat dapat diagihkan secara adil dan saksama.
Kedua, PETRONAS perlu memperkukuh keupayaan inovasi dan penyelidikan dalam sektor tenaga baharu. Dalam menghadapi peralihan global ke arah tenaga boleh diperbaharui, PETRONAS tidak boleh hanya bergantung kepada minyak dan gas fosil semata-mata. Pelaburan dalam teknologi hidrogen, biofuel, tenaga suria serta tenaga karbon rendah perlu dipercepatkan agar syarikat ini dapat menyelaraskan operasinya dengan trend tenaga masa depan. Keupayaan PETRONAS untuk berkembang ke dalam sektor tenaga alternatif juga akan meningkatkan daya saingnya di peringkat global dan meningkatkan sumber pendapatannya.
Ketiga, daya saing PETRONAS juga boleh diperkukuh dengan pengurusan kos operasi yang lebih cekap. Strategi pengoptimuman rantaian bekalan, penggunaan automasi dan pendigitalan proses perlu ditingkatkan untuk memastikan keberkesanan operasi pada skala besar. Pengurusan sumber manusia juga perlu distruktur semula untuk menyesuaikan dengan persekitaran kerja baharu yang lebih dinamik dan berorientasikan teknologi.
Keempat, PETRONAS wajar meneroka pasaran luar negara secara lebih agresif. Walaupun syarikat ini telah berada di beberapa negara, fokus kepada pasaran baharu yang berpotensi tinggi seperti Afrika, Asia Tengah dan Asia Selatan boleh menjana pulangan strategik jangka panjang. Pelaburan dalam projek pembangunan tenaga di luar negara bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan PETRONAS sebagai pemain global, malah boleh menjadi sumber pendapatan alternatif kepada kerajaan Malaysia sekiranya pasaran domestik mengalami kelembapan.
Kelima, PETRONAS perlu memperkukuh jenamanya sebagai syarikat bertaraf dunia yang berintegriti tinggi. Sebarang konflik boleh menjejaskan imej PETRONAS di peringkat antarabangsa. Maka itu, sebarang isu perlu diselesaikan menerusi meja rundingan, bukan menerusi litigasi terbuka. Ketelusan dan profesionalisme dalam pengurusan syarikat mesti dikekalkan agar keyakinan pelabur asing tidak terjejas. Reputasi PETRONAS sebagai syarikat minyak dan gas dari Asia yang dihormati perlu dipelihara melalui budaya tadbir urus korporat yang baik, berwibawa dan telus.
Keenam, peranan PETRONAS sebagai pemacu pembangunan bakat tempatan perlu diteruskan. Dalam usaha negara membina tenaga kerja berkemahiran tinggi khususnya dalam sektor strategik seperti minyak dan gas, PETRONAS mesti kekal sebagai rakan kongsi utama dalam pembangunan modal insan. Peluang latihan, biasiswa dan pemindahan teknologi kepada universiti serta institusi teknikal perlu diperluas agar generasi muda Malaysia dapat menjadi pelapis kepada industri ini.
Akhir sekali, kerajaan juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan PETRONAS terus berdaya tahan. Polisi fiskal dan perundangan yang mesra pelaburan, kestabilan politik serta sokongan kepada inovasi perlu diperkasa agar PETRONAS dapat beroperasi dalam persekitaran yang kondusif. Kerajaan perlu memberi ruang kepada PETRONAS untuk membuat keputusan perniagaan yang rasional berdasarkan ekonomi dan perniagaan, dan tidak terlalu dibebani dengan komitmen luar niaga yang boleh melemahkan daya saingnya.
Secara keseluruhan, memperkasa PETRONAS dalam era ketidaktentuan tenaga global memerlukan pendekatan strategik yang seimbang antara kepentingan ekonomi, sosial dan geopolitik. PETRONAS bukan sahaja sebuah syarikat minyak dan gas, tetapi sebuah institusi kebangsaan yang mencerminkan aspirasi negara dalam membina masa depan yang mampan. Oleh itu, semua pihak yang terlibat seperti kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, masyarakat awam dan pelabur perlu memainkan peranan dalam memastikan PETRONAS terus menjadi simbol kebanggaan nasional dan aset strategik negara yang mampan.

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 13), 13 Jun 2026: Terus perkasa Petronas sebagai aset strategik negara

2. Utusan (utusan.com.my), 13 Jun 2025: Terus perkasa Petronas sebagai aset strategik negara
3. Berita Harian (muka surat: 10), 13 Jun 2025: Memperkasa PETRONAS harungi ketidaktentuan tenaga global

4. Berita Harian (bharian.com.my), 13 Jun 2025: Memperkasa PETRONAS harungi ketidaktentuan tenaga global
