BATU PAHAT – Lima negara mengambil peluang menonjolkan bakat dan seni budaya masing-masing ketika menyertai International Muzik Festival 2025 anjuran Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti serta Kelab Warisan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diadakan pada 1 Jun lalu bertempat di Dataran Pengaram, Batu Pahat.

Penganjuran festival dengan kerjasama Tourism Batu Pahat itu melibatkan persembahan sembilan kumpulan dari Malaysa, Nigeria, Sudan Utara, Brunei dan Indonesia.

Lebih 23 ribu pengunjung membanjiri Dataran Pengaram bagi menyaksikan persembahan muzik pelbagai budaya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu Pahat, YB Tuan Haji Onn Abu Bakar bagi memberi sokongan kepada penganjuran festival bertaraf antarabangsa tersebut.

Pengarah program, Rosdi Abdullah berkata pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan pelbagai budaya seperti muzik tradisional Brunei, muzik dan tarian tradisional Aceh dan Padang Panjang Indonesia, lagu rakyat dari Nigeria, lagu tradisional dari Sudan Utara, selain muzik serta lagu tradisional dari Malaysia.

“Paling membanggakan persembahan band muzik dan busking Malaysia turut diwakili oleh para pelajar UTHM dari pelbagai fakulti,” katanya.

Sementara itu, majlis perasmian International Muzik Festival 2025 telah berlangsung sehari sebelum persembahan iaitu pada 31 Mei lalu bersempena Majlis Perasmian Majestic Johor Festival (MJF) Peringkat Daerah Batu Pahat.

Majlis perasmian itu telah disempurnakan oleh Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abdul Rahim.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, yang juga Menjalankan Fungsi Naib Canselor.

Beliau turut menyampaikan ucapan, sekali gus menyampaikan cenderahati kepada para peserta International Muzik Festival 2025.