Golongan pekerja merupakan tonggak utama kepada kemajuan sesebuah negara. Tanpa komitmen dan sumbangan tenaga kerja yang berterusan, segala perancangan pembangunan ekonomi dan sosial negara tidak akan mampu direalisasikan. Data menunjukkan bahawa sejak tahun 2020, sebanyak 293,639 pekerja di Malaysia telah kehilangan pekerjaan akibat automasi dan AI, dengan sektor pembuatan menjadi yang paling terkesan, mencatatkan 75,615 pemberhentian sehingga September 2024. Walau bagaimanapun, Malaysia dijangka mencipta 1.3 juta pekerjaan baharu dalam sektor-sektor berkaitan IR 4.0, termasuk pembangunan AI, integrasi sistem dan analitik data.
Dalam era teknologi baharu, IR 4.0 telah merubah struktur pekerjaan dan operasi industri di seluruh dunia. Teknologi baharu telah mencetuskan perubahan besar dalam sektor pekerjaan. Oleh itu, menjadi pekerja yang dinamik bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan mendesak untuk terus relevan dan berdaya saing dalam persekitaran yang semakin kompleks.
Transformasi digital yang berlaku menerusi IR 4.0 telah membawa kepada pengurangan pekerjaan tradisional yang bersifat manual. Banyak syarikat telah menggantikan tenaga kerja manusia dengan mesin dan sistem automatik yang lebih cekap. Ini secara langsung memberi kesan kepada pekerjaan konvensional yang sebelum ini menjadi nadi utama kepada sektor perkilangan dan pembuatan. Namun, di sebalik pengurangan pekerjaan lama, lahir pula pelbagai peluang pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran teknikal tinggi dan pengetahuan teknologi terkini.
Pekerja hari ini perlu memahami bahawa pasaran kerja tidak lagi statik. Ia berubah seiring dengan kemajuan teknologi dan kehendak ekonomi global. Malangnya, ramai dalam kalangan pekerja masih berada dalam zon selesa, bergantung sepenuhnya kepada kemahiran yang mereka peroleh bertahun-tahun dahulu tanpa ada usaha untuk meningkatkan kemahiran diri. Sikap ini menyebabkan mereka tersisih daripada arus pembangunan. Untuk itu, keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan berfikiran terbuka terhadap pembelajaran berterusan adalah kunci utama untuk kekal dalam pasaran kerja masa kini.
Kemahiran teknikal menjadi salah satu elemen penting dalam memastikan pekerja kekal relevan. Keupayaan untuk mengendalikan mesin pintar, memahami sistem pengurusan data, serta celik teknologi merupakan antara kemahiran yang semakin menjadi keutamaan majikan. Bidang seperti sains data, keselamatan siber, automasi industri dan pembangunan perisian telah menjadi pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi. Oleh itu, pekerja yang tidak memiliki asas dalam bidang-bidang ini akan ketinggalan jika tidak mula mengambil inisiatif untuk mempelajarinya.
Selain kemahiran teknikal, IR 4.0 juga menuntut penguasaan kemahiran insaniah. Keupayaan berkomunikasi dengan baik, bekerja dalam pasukan, menyelesaikan masalah secara kreatif, serta memiliki pemikiran kritis merupakan nilai tambah yang dicari oleh kebanyakan majikan hari ini. Hal ini kerana walaupun teknologi mampu menggantikan sebahagian besar tugasan, namun sifat kemanusiaan seperti empati, kerjasama dan etika kerja yang tinggi masih tidak dapat diambil alih sepenuhnya oleh mesin. Justeru, pekerja yang mampu menggabungkan kemahiran teknikal dan insaniah akan lebih kehadapan dalam pasaran kerja.
Pembelajaran sepanjang hayat pula merupakan satu keperluan asas dalam dunia kerja pasca IR 4.0. Ilmu dan kemahiran yang diperoleh pada peringkat awal kerjaya tidak lagi mencukupi untuk kekal relevan dalam jangka panjang. Maka, pekerja perlu sentiasa memperbaharui pengetahuan mereka, mengikuti kursus baharu, menghadiri bengkel dan seminar, serta memanfaatkan pelbagai platform pembelajaran digital yang kini mudah diakses. Pendekatan ini bukan sahaja akan meningkatkan daya saing mereka, malah memberi keyakinan untuk menghadapi cabaran baharu dalam dunia kerja.
Dalam usaha memperkasa tenaga kerja Malaysia, pelbagai inisiatif telah digerakkan oleh kerajaan. Antaranya termasuk pelaksanaan Dasar Revolusi Industri 4.0 Negara, pelbagai program reskilling dan upskilling oleh HRD Corp serta insentif untuk bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM). Inisiatif seperti TVET juga diberi penekanan bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan dalam era digital. Namun, kejayaan inisiatif ini sangat bergantung kepada kesediaan dan komitmen individu pekerja itu sendiri untuk mengambil peluang yang disediakan.
Majikan juga memainkan peranan penting dalam membentuk pekerja yang dinamik dan bersedia menghadapi IR 4.0. Syarikat-syarikat perlu menyediakan platform latihan dalaman yang menyeluruh, memupuk budaya pembelajaran dalam organisasi, dan memberi peluang kepada pekerja yang menunjukkan prestasi tinggi serta kesungguhan untuk meningkatkan diri. Di samping itu, kerjasama antara sektor industri dan institusi pendidikan perlu diperkukuhkan supaya kurikulum yang ditawarkan selaras dengan keperluan sebenar di tempat kerja. Ini dapat membantu mengurangkan jurang kemahiran antara graduan dan keperluan industri.
Tambahan pula, dalam era IR 4.0, bentuk pekerjaan turut berubah. Konsep pekerjaan tetap semakin digantikan dengan bentuk pekerjaan fleksibel seperti pekerjaan kontrak, freelance dan gig. Dalam konteks ini, pekerja perlu lebih berdikari, bijak merancang masa dan kewangan, serta memiliki kemahiran keusahawanan. Mereka perlu memahami bahawa kestabilan kerjaya tidak lagi bergantung kepada satu majikan semata-mata, tetapi kepada keupayaan untuk mencipta nilai, menyesuaikan diri dan terus belajar.
Sektor pekerjaan gig seperti e-hailing, penghantaran makanan dan perkhidmatan dalam talian juga semakin berkembang pesat. Walaupun sektor ini memberikan peluang pendapatan yang fleksibel, namun ia juga datang dengan cabaran seperti ketiadaan perlindungan sosial, tiada jaminan pendapatan tetap serta risiko keselamatan pekerjaan. Oleh itu, usaha kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang dan dasar perlindungan kepada pekerja dalam sektor ini adalah satu langkah yang amat wajar dan perlu diberi sokongan menyeluruh.
Dalam pada itu, pekerja juga harus peka terhadap peranan mereka sebagai warga negara dalam membentuk masa depan negara. Malaysia yang beraspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja cekap, malah berintegriti, beretika dan patriotik. Setiap pekerja perlu melihat diri mereka sebagai penyumbang utama kepada produktiviti dan kestabilan ekonomi negara. Nilai-nilai seperti ketekunan, kejujuran, kecekapan dan semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat harus dijadikan teras dalam setiap tindakan.
Bagi generasi muda yang sedang memasuki pasaran kerja, mereka perlu diberi kesedaran awal tentang realiti dunia pekerjaan dalam era IR 4.0. Pendidikan formal di peringkat sekolah dan universiti perlu menekankan aspek adaptasi teknologi, pemikiran inovatif dan penyelesaian masalah yang berkesan. Pendedahan awal ini akan membantu membentuk generasi pekerja yang bukan sahaja bersedia dari segi pengetahuan, tetapi juga dari segi sikap dan kecekapan emosi.
Kesimpulannya, menjadi pekerja yang dinamik dalam era IR 4.0 bukanlah satu kelebihan tambahan, tetapi satu keperluan yang tidak dapat dielakkan. Dalam dunia yang penuh persaingan, hanya mereka yang cekap, tangkas dan terbuka terhadap perubahan sahaja yang mampu bertahan dan berkembang. Masa depan pekerjaan adalah milik mereka yang bersedia untuk berubah dan terus maju ke hadapan.
Oleh itu, setiap individu perlu mengambil tanggungjawab untuk membina masa depan dengan membentuk diri sebagai pekerja yang dinamik, inovatif dan berdaya tahan untuk melonjakkan Malaysia ke arah ekonomi berteknologi dan berpendapatan tinggi yang mampan.

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Artikel ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 14), 8 Mei 2025: Pekerja perlu berubah untuk kekal relevan, berdaya saing

2. Utusan (utusan.com.my), 8 Mei 2025: Pekerja perlu berubah untuk kekal relevan, berdaya saing
