
Pernah dengar tentang Sindrom Peter Pan? Sindrom Peter Pan adalah merujuk kepada individu yang enggan atau gagal untuk matang, terutamanya dalam konteks pekerjaan. Walaupun ia sering dianggap sebagai satu gurauan, Sindrom Peter Pan sebenarnya diiktiraf di dalam bidang psikologi dan sering dikaitkan dengan kesukaran seseorang untuk menyesuaikan diri di tempat kerja, mengelakkan tanggungjawab serta kurang serius dalam menjalankan tugas.
Dalam masyarakat hari ini, tekanan kerja yang tinggi dan peningkatan kos sara hidup menjadi cabaran utama bagi ramai pekerja. Negara Malaysia yang sedang pesat membangun dari segi ekonomi dan teknologi, namun terdapat penurunan dalam jumlah tenaga mahir, terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang hebat dibincangkan kerana bidang ini merupakan bidang untuk mendukung kemajuan negara kini dan masa hadapan. Pada masa yang sama, semakin ramai pekerja memilih untuk bersara awal kerana tekanan kerja yang tidak terkawal. Fenomena bersara awal dalam kalangan kakitangan kerajaan misalnya, semakin meningkat menandakan wujudnya isu serius dalam sistem pekerjaan negara.
Artikel ini akan mengupas dua isu utama yang sering dikaitkan dengan tekanan di tempat kerja tetapi jarang dibincangkan secara mendalam: beban kerja berlebihan dan Sindrom Peter Pan, serta bagaimana kedua-duanya boleh mempengaruhi kadar bersara awal dalam kalangan pekerja.
Beban kerja berlebihan, hukuman untuk kecekapan?
Beban kerja berlebihan merujuk kepada keadaan yang mana pekerja diberikan tugas yang terlalu banyak sehingga melebihi kemampuan mereka untuk menguruskannya dengan berkesan. Situasi ini sering berlaku dalam organisasi yang menetapkan sasaran kerja yang tinggi serta KPI (Key Performance Indicator) yang sukar dicapai. Malangnya, pekerja yang cekap sering menjadi mangsa kerana kecekapan mereka seolah-olah ‘dihukum’ dengan tambahan beban kerja berbanding rakan sekerja yang kurang cekap.
Beberapa faktor yang menyumbang kepada beban kerja berlebihan termasuk tanggungjawab berganda yang tidak seimbang, kekurangan tenaga kerja, tekanan untuk memenuhi tarikh akhir yang ketat, serta kurangnya sokongan daripada pengurusan. Akibatnya, ramai pekerja mengalami burnout, iaitu keletihan fizikal dan mental yang melampau. Dalam jangka masa panjang, perkara ini boleh menyebabkan mereka memilih untuk bersara awal demi menjaga kesejahteraan diri. Akibatnya, ramai pekerja mengalami burnout, iaitu keletihan fizikal dan mental yang melampau. Akhirnya, perkara ini boleh menyebabkan mereka memilih untuk bersara awal demi menjaga kesejahteraan diri.
Sindrom Peter Pan: Enggan bertanggungjawab di tempat kerja
Sindrom Peter Pan merujuk kepada individu yang enggan mengambil tanggungjawab penuh dalam pekerjaan dan sering bergantung kepada rakan sekerja untuk menyelesaikan tugasan mereka. Sindrom ini biasanya berpunca daripada kurangnya motivasi, keengganan untuk keluar dari zon selesa dan ketidakmatangan dalam pengurusan kerja. Ciri-ciri pekerja dengan Sindrom Peter Pan termasuk:
- Kurang serius dalam melaksanakan tugas
- Sukar menyesuaikan diri dengan perubahan
- Lebih mengutamakan keseronokan berbanding komitmen kerja
- Sering mengeluh tentang tugas yang diberikan
Keadaan ini menjadi lebih parah apabila pekerja yang bertanggungjawab terpaksa mengambil alih tugasan rakan sekerja yang tidak produktif. Akibatnya, beban kerja menjadi tidak seimbang, dan pekerja yang lebih berdedikasi akhirnya memilih untuk bersara awal kerana tekanan kerja yang semakin meningkat.
Cara mengatasi beban kerja berlebihan dan Sindrom Peter Pan
Mengurangkan beban kerja berlebihan dengan cara mengamalkan pengurusan masa yang lebih efektif, membahagikan tugasan secara sistematik, memohon sokongan daripada pihak pengurusan, manakala organisasi pula perlu memastikan pembahagian tugas yang lebih adil, mengurangkan KPI yang tidak realistic dan menggalakkan keseimbangan kerja dan kehidupan (work-life balance).
Menangani Sindrom Peter Pan di tempat kerja
Sindrom ini boleh ditangani dengan usaha meningkatkan kesedaran pekerja tentang tanggungjawab mereka, menggalakkan pekerja menetapkan matlamat kerja yang jelas, mengadakan latihan atau bimbingan professional, menyediakan program pembangunan pekerja, menetapkan sistem pemantauan prestasi yang lebih ketat serta memberi motivasi dan penghargaan kepada pekerja yang berdedikasi
Secara keseluruhannya, beban kerja berlebihan dan Sindrom Peter Pan adalah dua faktor utama yang boleh menyumbang kepada fenomena pencen awal di Malaysia. Beban kerja yang terlalu tinggi boleh menyebabkan burnout dan tekanan melampau, manakala pekerja yang mengalami Sindrom Peter Pan boleh meningkatkan beban kerja rakan sekerja mereka. Akhirnya, pekerja yang lebih rajin dan berdedikasi memilih untuk meninggalkan pekerjaan mereka lebih awal kerana tekanan kerja yang tidak seimbang. Oleh itu, organisasi dan pekerja perlu mengenal pasti cabaran yang mereka hadapi serta mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk memastikan keseimbangan kerja yang sihat, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kadar pencen awal yang semakin meningkat di Malaysia.
Profesor Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin
Fakulti Teknologi Kejuruteraan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Dr. Junaidah Zakaria
Fakulti Sains dan Teknologi Industri
Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA)