Musim perayaan Aidilfitri saban tahun bukan sekadar mengukuhkan silaturahim, malah membawa senyuman kepada kanak-kanak melalui pemberian ‘duit raya’. Namun, di sebalik keseronokan menerima wang tersebut, timbul satu persoalan penting buat ibu bapa – apakah perancangan kewangan yang terbaik untuk duit raya anak-anak? Apakah ia perlu dibelanjakan segera, atau wajar disimpan sebagai pelaburan jangka panjang?
Hari ini, sudah tiba masanya untuk kita menukar perspektif. Duit raya bukan sekadar ‘wang kecil’ untuk membeli permainan atau makanan ringan. Jika diurus secara berhemat dan melabur secara konsisten, ia mampu menjadi dana pendidikan, deposit rumah pertama atau permulaan kepada pelaburan masa hadapan anak-anak.
Bayangkan jika seorang anak menerima RM500 setiap tahun dari usia 1 hingga 18 tahun. Jumlah terkumpul ialah RM9,000. Tetapi jika wang ini disimpan dan dilabur dalam instrumen yang memberikan pulangan purata 5% setahun, jumlah terkumpul boleh mencecah RM15,000 pada usia 18 tahun.
Ini bukan angan-angan. Ini adalah hasil daripada kuasa faedah kompaun – konsep asas kewangan yang membolehkan wang ‘beranak’ melalui pulangan yang dikumpul semula setiap tahun. Malangnya, ramai dalam kalangan masyarakat kita masih belum memahami kekuatan prinsip ini.
Albert Einstein ada menyatakan “Faedah kompaun ialah keajaiban kelapan dunia. Siapa yang memahaminya akan memperolehnya; siapa yang tidak, akan membayarnya.” Faedah kompaun bermaksud pulangan daripada simpanan atau pelaburan bukan hanya diperoleh dari modal asal, tetapi juga dari pulangan tahun-tahun sebelumnya. Semakin lama tempoh simpanan, semakin tinggi pertumbuhan nilai.
Bagi ibu bapa yang ingin memastikan duit raya anak tidak sekadar ‘hilang’ begitu sahaja, berikut adalah beberapa cadangan instrumen kewangan yang sesuai:
- Simpan SSPN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional): Mempunyai pulangan dividen kompetitif dan memberi pelepasan cukai kepada ibu bapa. Sesuai untuk perancangan pendidikan tinggi anak-anak.
- Amanah Saham Bumiputera (ASB): Menawarkan pulangan yang stabil dan risiko rendah, sesuai untuk simpanan jangka panjang anak-anak.
- Tabung Haji: Antara pilihan terbaik yang bukan sahaja patuh syariah dan selamat, malah membolehkan ibu bapa mendaftarkan anak untuk giliran menunaikan haji. Dengan hanya RM1,300, anak sudah boleh didaftarkan dan tempoh menunggu akan bermula lebih awal. Ini memberi kelebihan besar untuk mereka menunaikan haji pada usia muda – satu pelaburan spiritual yang tidak ternilai.
- Simpanan emas: Alternatif simpanan yang mampu melindungi nilai terhadap inflasi dalam jangka masa panjang.
- Unit Amanah patuh syariah: Sesuai bagi ibu bapa yang ingin memberi pendedahan kepada pasaran saham tetapi tidak mempunyai masa untuk mengurus pelaburan sendiri.
Ibu bapa juga boleh melibatkan anak-anak dalam proses menyimpan, contohnya dengan membawa mereka ke bank atau membuka akaun pelaburan atas nama anak. Langkah kecil ini memberikan impak besar dari sudut psikologi dan pendidikan kewangan awal anak-anak.
Dalam keghairahan mencari pulangan tinggi, ibu bapa juga perlu berwaspada. Pastikan setiap pelaburan yang dibuat sah, berlesen dan dipantau oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Bank Negara Malaysia. Pelaburan yang sah tidak menjanjikan pulangan terlalu tinggi dalam masa singkat. Jika ia kelihatan terlalu indah untuk jadi kenyataan, mungkin itu satu penipuan. Jangan biarkan duit raya anak-anak ‘hangus’ dalam skim cepat kaya atau pelaburan tidak sah. Gunakan saluran rasmi dan rujuk penasihat kewangan bertauliah sebelum membuat keputusan.
Tidak dinafikan bahawa dalam keadaan ekonomi yang mencabar kini, ramai ibu bapa terpaksa menggunakan duit raya anak untuk keperluan asas rumah. Namun begitu, menyimpan walaupun RM50 atau RM100 setahun tetap memberi impak jika dilakukan secara konsisten.
Kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengurus duit raya anak-anak secara bijak adalah penting bagi memastikan wang tersebut tidak hanya habis dibelanjakan dalam jangka pendek, tetapi dimanfaatkan sebagai asas kukuh untuk masa depan kewangan anak-anak, sama ada dalam bentuk pendidikan, pelaburan, mahupun ibadah seperti menunaikan haji. Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab bukan sahaja membesarkan anak-anak secara fizikal, tetapi juga membina asas kewangan yang kukuh buat mereka.
Dengan mengurus duit raya anak secara bijak, kita bukan sahaja menabung wang, tetapi menabung masa depan. Semoga selepas ini, setiap kali anak menerima sampul di pagi raya, kita bukan hanya tersenyum kerana anak gembira, tetapi juga kerana kita telah merancang sesuatu yang besar untuk masa depan mereka.

Dr. Norshela Mohd Noh
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 27), 28 April 2025: Simpan duit raya anak langkah bijak untuk masa hadapan

2. Utusan (utusan.com.my), 28 April 2025: Simpan duit raya anak langkah bijak untuk masa hadapan
