Graduan merupakan aset penting bagi sesebuah negara dalam usaha membina masyarakat yang progresif dan harmoni. Di Malaysia, konsep MADANI telah diperkenalkan sebagai gagasan yang menekankan nilai-nilai keadilan, integriti, kesejahteraan dan kemajuan yang seimbang. Dalam konteks ini, graduan MADANI diharapkan bukan sekadar memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi, tetapi juga berakhlak mulia, bertanggungjawab terhadap masyarakat, dan menjunjung prinsip tauhid. Setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu menjadikan paradigma tauhid sebagai tunjang utama dalam membentuk generasi graduan yang bukan sahaja berjaya di dunia, tetapi juga seimbang dengan matlamat akhirat.
Paradigma Tauhid sebagai asas graduan MADANI
Paradigma tauhid, yang meletakkan Allah sebagai matlamat utama kehidupan, memandu manusia untuk menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi. Dalam konteks pendidikan tinggi, paradigma ini memberi asas yang kukuh kepada graduan untuk memahami bahawa ilmu yang diperoleh adalah amanah daripada Allah dan harus digunakan untuk manfaat masyarakat. Tauhid mendidik graduan untuk menjadikan setiap usaha sebagai ibadah, menjadikan keberkatan sebagai matlamat utama, bukan sekadar kejayaan material.
Graduan MADANI yang berpandukan tauhid akan sentiasa menjadikan prinsip Islam sebagai pedoman dalam membuat keputusan. Contohnya, seorang graduan dalam bidang perniagaan akan memastikan bahawa perniagaannya bebas daripada unsur penindasan, penipuan atau riba. Begitu juga, seorang graduan kejuruteraan akan memastikan bahawa teknologi yang dihasilkan tidak mendatangkan kemudaratan kepada alam sekitar atau manusia. Paradigma tauhid juga mendidik graduan untuk memiliki rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap masyarakat dan memahami bahawa kejayaan sebenar adalah apabila dapat menyumbang kepada kesejahteraan ummah.
Dalam konteks ini, paradigma tauhid bukan sahaja membentuk graduan yang cemerlang dalam bidang akademik dan profesional, tetapi juga individu yang memiliki nilai-nilai akhlak dan etika tinggi. Nilai-nilai ini menjadikan graduan MADANI lebih berdaya tahan, berwawasan dan relevan dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.
Ciri-ciri graduan MADANI berteraskan tauhid
Graduan MADANI yang berlandaskan paradigma tauhid memiliki ciri-ciri yang jelas dan istimewa, yang membezakan mereka daripada graduan biasa. Antaranya ialah mereka berakhlak mulia yang memegang teguh prinsip kejujuran, amanah, dan integriti dalam setiap tindakan mereka. Mereka memahami bahawa setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah, justeru mereka berusaha menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Selain itu mereka bersikap komited kepada masyarakar kerana mereka sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu membangunkan masyarakat. Mereka akan berusaha menyumbangkan ilmu dan kemahiran untuk menyelesaikan isu-isu seperti kemiskinan, pendidikan dan kesihatan. Graduan MADANI juga mengamalkan sikap profesional yang berlandaskan Islam dengan mengutamakan keadilan, kualiti dan keberkatan ketika bertugas. Mereka tidak terjebak dalam budaya kerja yang menekan atau menipu, sebaliknya bekerja dengan penuh dedikasi dan etika. Mereka juga memahami bahawa alam sekitar adalah amanah Allah yang perlu dipelihara. Mereka bertindak dengan penuh tanggungjawab dalam memastikan pembangunan tidak menjejaskan kelestarian alam. Ciri-ciri ini bukan sahaja menjadikan graduan MADANI lebih dihormati di tempat kerja, tetapi juga membentuk mereka sebagai pemimpin masyarakat yang boleh dipercayai dan menjadi contoh kepada generasi akan datang.
Peranan Institusi Pengajian Tinggi dalam membentuk graduan MADANI
Institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan MADANI yang berteraskan paradigma tauhid. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh IPT untuk merealisasikan matlamat ini iaitu dengan merangka kurikulum bersepadu yang mengintegrasikan ilmu profesional dengan nilai-nilai Islam. Sebagai contoh, kursus seperti etika Islam, pemikiran Islam dan kepimpinan berteraskan tauhid boleh dijadikan subjek wajib dalam setiap program pengajian. Selain itu, IPT boleh melahirkan program dalam pembangunan pelajar secara holistik dengan melaksanakan aktiviti kokurikulum seperti program khidmat masyarakat, kem kepimpinan dan seminar bina insan yang dapat membentuk graduan seimbang dari segi intelektual, emosi dan spiritual. Pensyarah dan tenaga pengajar juga perlu menjadi contoh teladan kepada pelajar. Mereka bukan sahaja perlu mahir dalam bidang akademik, tetapi juga memiliki akhlak dan integriti yang tinggi. IPT juga boleh bekerjasama dengan industri yang mengutamakan prinsip Islam, seperti sektor halal, untuk memastikan graduan mendapat pengalaman kerja yang relevan dan selari dengan nilai-nilai MADANI. Selain itu, IPT juga perlu menerapkan budaya penyelidikan secara tauhidik yang mana penyelidikan yang dijalankan di IPT harus menumpukan kepada isu-isu yang memberi manfaat kepada masyarakat seperti teknologi hijau, pembangunan komuniti dan pendidikan inklusif.
Cabaran melahirkan graduan MADANI
Walaupun matlamat melahirkan graduan MADANI berteraskan tauhid adalah sesuatu yang mulia, terdapat cabaran yang perlu diatasi dari sudut pengaruh budaya materialistik yang mana graduan sering terdedah kepada budaya materialistik yang menjadikan kejayaan diukur berdasarkan harta benda dan kedudukan, bukan integriti atau keberkatan. Selain itu, tidak semua IPT memberikan penekanan yang mencukupi kepada pendidikan nilai Islam, menyebabkan pelajar kurang memahami kepentingan paradigma tauhid. Graduan juga ada yang menghadapi tekanan untuk memenuhi kehendak industri yang tidak selari dengan prinsip Islam, seperti budaya kerja yang menindas atau industri yang mengamalkan amalan rasuah.
Langkah memperkukuhkan graduan MADANI
Untuk mengatasi cabaran ini, pelbagai langkah boleh diambil iaitu nilai tauhid perlu diterapkan sejak awal pendidikan, bermula dari peringkat rendah sehingga ke universiti. IPT juga boleh menyediakan program bimbingan khusus untuk membantu pelajar memahami kepentingan integrasi ilmu dan nilai Islam. Di pihak majikan pula boleh memberikan pengiktirafan atau insentif kepada graduan yang menunjukkan komitmen tinggi kepada nilai-nilai MADANI. Tambahan pula pihak kerajaan dan industri boleh memperkenalkan dasar yang menyokong usaha melahirkan graduan MADANI, seperti menyediakan peluang latihan industri di organisasi berteraskan Islam.
Kesimpulannya, paradigma tauhid dan graduan MADANI adalah kombinasi yang ideal untuk membentuk generasi profesional yang berintegriti, bertanggungjawab dan progresif. Dengan memperkukuhkan nilai tauhid dalam pendidikan tinggi, kita dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelektual, tetapi juga menjadi pemimpin masyarakat yang berakhlak mulia. Graduan MADANI yang memahami tanggungjawab mereka sebagai khalifah akan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni, adil dan seimbang antara duniawi dan ukhrawi. Paradigma ini harus terus diperkasa agar misi UTHM dan wawasan Malaysia MADANI dapat direalisasikan dengan jayanya.

Dr. Anim Zalina Azizan
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
