Perihal kebahagiaan merupakan perkara yang subjektif dan bergantung kepada setiap individu memaknai kebahagiaan itu sendiri. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bahagia bermaksud suasana senang dan aman, aman damai serta gembira. Manakala kebahagiaan yang berasal daripada kata dasar bahagia membawa maksud perasaan bahagia, kesenangan hidup, kemujuran dan keberuntungan. Konsep kebahagiaan perlu dilihat daripada pelbagai lapisan generasi, umur, jantina dan sebagainya. Hal ini kerana, keseluruhan aspek tersebut mempengaruhi kebahagiaan terutamanya sekali perubahan persekitaran dalam sosial individu. Namun begitu, kebahagiaan yang utuh dalam kehidupan perlulah dikaitkan dengan kesederhanaan dan tidak bergantung kepada benda-benda yang materialistik atau luaran. Inilah kebahagiaan tanpa syarat supaya tidak kita memberi ruang kepada keinginan material yang mampu tersemai dalam jiwa individu untuk menjalani kehidupan yang minimalis.

Hubungan sosial

          Gaya hidup yang minimalis dalam aspek perhubungan perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi hubungan sosial individu dengan keluarga, rakan sekerja dan masyarakat. Hubungan sosial ini perlulah bebas daripada tekanan sosial dan cuba untuk tidak mempedulikan kata-kata orang lain yang berbentuk kecaman tentang gaya hidup yang kita jalani. Kadangkala, kita berhadapan dengan persepsi negatif orang lain contohnya seperti, “Sepatutnya kamu lakukan seperti ini,” dan “Ini tidak bagus untuk kamu.” Kata-kata seperti ini akan menjadi tekanan kepada diri sendiri dan menjejaskan fikiran. Oleh itu, hubungan sosial memang perlu dalam kehidupan kita, tetapi pada masa yang sama kita perlu menapis kata-kata yang boleh menjejaskan kebahagiaan dalam jiwa kita.

Keseimbangan kerjaya dan peribadi

          Pemilihan kerjaya semestinya mempengaruhi kebahagiaan seseorang. Aspek ini dapat dikaitkan dengan pembahagian masa sehari-hari yang banyak dihabiskan dalam urusan kerja berbanding masa peribadi. Pengurusan kerjaya dan peribadi perlu seimbang agar kedua-dua perkara ini dapat berkembang tanpa hilang fokus atau terikat dengan salah satu perkara tersebut. Apabila pengurusan masa dapat dilakukan dengan teratur, baik tekanan dalam pekerjaan mahupun urusan peribadi dapat dikurangkan. Pengamalan gaya hidup minimalis dalam aspek pekerjaan dapat dipraktikkan dengan menetapkan batas waktu kerja dan peribadi dengan jelas. Di samping itu, jika seseorang dapat memilih kerjaya yang mempunyai tujuan dan bermakna dalam hidup, maka kerja dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan bermotivasi setiap hari.

Kesihatan fizikal dan mental

          Untuk menjalani gaya hidup yang sederhana, maka kesihatan fizikal dan mental juga perlu dipelihara. Dengan adanya keseimbangan masa antara kerjaya dan peribadi, maka peruntukan masa untuk diri sendiri dapat dioptimumkan seperti bersenam atau bersukan. Aktiviti sebegini mampu menjadikan seseorang lebih cergas, aktif dan produktif. Sehubungan itu, rutin harian yang diisi dengan aktiviti kecergasan berkait rapat dengan pemilihan makanan yang sihat.  Formula gaya hidup minimalis tersebut dapat menyokong kesihatan tubuh dengan menyeluruh. Pengamalan gaya hidup sihat juga mampu memacu kesihatan fizikal dan mental yang baik. Selain itu, kehidupan yang sederhana membantu dalam menguruskan dan melaksanakan benda yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Pengutamaan kepada perkara yang penting akan mengurangkan kerisauan terhadap perkara kecil yang lain. Apabila kurangnya tekanan dan kebimbangan, maka kebahagiaan dapat dicapai melalui kesihatan fizikal dan mental.

Rasa cukup dan syukur

          Soal kebahagiaan perlu disentuh daripada sudut keagamaan khususnya dalam agama Islam. Agama Islam menganjur supaya umatnya untuk sentiasa rasa cukup dan bersyukur atas apa-apa sahaja nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Kekayaan harta benda bukan fokus utama dalam agama Islam kerana pelbagai manusia berbeza nikmat kurniaan yang diberikan kepada mereka. Namun begitu, bagi meraih kebahagiaan melalui ketenangan hati, maka umat Islam diminta untuk bersyukur melalui kata-kata pujian kepada Allah, berkongsi rezeki dan membantu mereka yang memerlukan. Hal ini demikian kerana, ukuran kebahagiaan bukanlah berdasarkan kuantiti harta yang dimiliki, malah daripada rasa cukup dan puas dalam setiap pemberian Allah. Inilah konsep gaya hidup minimalis yang ditunjukkan dalam agama Islam.

Raih kebahagiaan

          Terdapat pelbagai cara untuk setiap individu menggapai kebahagiaan, meskipun kadangkala perlu menjalani hidup dengan hari-hari yang sukar. Tidak perlu melakukan sesuatu yang besar untuk meraih kebahagiaan, malah melakukan perkara yang kecil sahaja sudah memadai untuk berkongsi kebahagiaan dengan orang lain. Misalnya, senyum, mengucapkan salam, bertanya khabar ataupun membantu orang lain. Perkara ini dapat mengelakkan sikap individualistik dan memberi manfaat baik kepada diri sendiri mahupun orang lain. Kesederhanaan dalam kehidupan pastinya dapat mencorakkan gaya hidup minimalis untuk menyemai kebahagiaan yang sejati.

 

 

Nor Athira Md Amin

Guru Bahasa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Husein Onn Malaysia (UTHM)