Ramadan menjelma lagi dan umat Islam di seluruh Malaysia menyambut kedatangan bulan penuh keberkatan ini dengan pelbagai cara. Bulan Ramadan bukan sahaja waktu untuk meningkatkan ibadah dan mempertingkatkan refleksi diri, tetapi juga tempoh yang mana tubuh mengalami perubahan dalam pola makan, tidur dan aktiviti harian. Persoalannya, bagaimana kita boleh mengekalkan gaya hidup yang sihat sepanjang berpuasa? Dengan pendekatan yang betul, seseorang boleh kekal aktif, makan secara sihat, dan mendapatkan rehat yang mencukupi tanpa menjejaskan ibadah puasa.
Ramai yang bimbang untuk bersenam ketika berpuasa kerana takut badan menjadi terlalu letih atau dehidrasi. Namun, senaman semasa Ramadan masih boleh dilakukan dengan beberapa penyesuaian. Jika seseorang sudah biasa bersenam sebelum Ramadan, mereka boleh meneruskan rutin dengan mengurangkan intensiti kepada sekitar 70-75% semasa latihan dan memastikan waktu bersenam sesuai dengan jadual puasa. Waktu terbaik untuk bersenam adalah sebelum iftar atau selepas berbuka apabila tenaga sudah kembali. Latihan ringan seperti berjalan kaki, berbasikal atau latihan bebanan di gimnasium adalah pilihan terbaik semasa berpuasa, manakala senaman yang lebih berat boleh dilakukan selepas makan malam. Namun, bagi mereka yang baru ingin memulakan aktiviti fizikal, lebih baik menangguhkan hingga selepas Ramadan untuk mengelakkan tekanan berlebihan pada badan.
Selain itu, cara pemakanan memainkan peranan penting dalam memastikan tenaga kekal stabil sepanjang hari. Di Malaysia, juadah berbuka puasa seperti nasi kerabu, murtabak, ayam percik, dan kuih-muih serta juadah- juadah viral sering menjadi tarikan utama. Walau bagaimanapun, pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan keletihan dan ketidakseimbangan tenaga.
Sahur sebaiknya terdiri daripada makanan yang tinggi protein dan serat seperti oat, telur, roti bijirin penuh, buah-buahan dan yogurt. Makanan ini dapat memberikan tenaga berpanjangan dan mengelakkan rasa lapar terlalu awal. Iftar pula sebaiknya dimulakan dengan kurma dan air untuk mengembalikan tenaga dengan cepat, diikuti dengan hidangan yang mengandungi protein tanpa lemak, sayur-sayuran, dan lemak sihat. Selain itu, mengekalkan penghidratan tubuh badan juga sangat penting. Minum air secukupnya antara iftar dan sahur bagi mengelakkan dehidrasi, dan elakkan pengambilan kafein yang boleh menyebabkan kehilangan cecair.
Salah satu cabaran utama semasa Ramadan adalah perubahan pola tidur akibat daripada solat tarawih dan waktu sahur yang awal. Kekurangan tidur boleh menyebabkan keletihan dan mengurangkan produktiviti sepanjang hari. Antara tip yang boleh membantu kepada mengekalkan kualiti tidur sepanjang Ramadan adalah dengan tidur lebih awal dan bangun hanya untuk bersahur supaya tubuh badan mendapat tempoh masa tidur yang ideal. Selain itu, power nap sekitar 10-20 minit pada waktu tengah hari dilihat sebagai langjkah bagi mengembalikan tenaga dan akhir sekali pengurangan kepada melihat skrin telefon pintar mahupun televisyen sebelum tidur dapat membantu meningkatkan kualiti tidur dan memastikan badan mendapat rehat yang cukup.
Puasa di bulan Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga masa untuk membentuk disiplin diri, meningkatkan keimanan dan memperkukuhkan hubungan kekeluargaan. Dengan perancangan yang betul, kita masih dapat mengekalkan gaya hidup sihat tanpa menjejaskan ibadah. Kunci utama adalah menyesuaikan aktiviti fizikal, mengawal pemakanan, dan memastikan tidur yang mencukupi. Dengan pendekatan yang seimbang, Ramadan kali ini boleh menjadi peluang untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan mental, sekali gus meraih keberkatan sepanjang bulan yang mulia ini.Semoga Ramadan kali ini membawa kesejahteraan dan ketenangan buat semua.

Dr. Mohd Zulfadli Rozali
Pensyarah Kanan
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
