Panggilan Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar (UPU) dan Asasi telah dibuka bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 sejak awal Februari 2025, malah IPTS lain juga turut membuka banyak pilihan program untuk pelajar untuk menyambung pelajaran. Selepas SPM, pelajar boleh mengikuti pelbagai laluan pengajian, termasuk diploma, program asas, A-Level dan ijazah sarjana muda. Pelajar harus mempunyai semangat dalam belajar dan mengkaji hala tuju yang sesuai untuk setiap daripada mereka agar mereka tidak akan tersilap memilih bidang-bidang yang tidak relevan dengan keperluan semasa pekerjaan setelah tamat graduasi belajar kelak.
Terdapat pelbagai bidang yang telah dijumudkan dalam bidang universiti awam dan bidang ini kadang kala tidak diwar-warkan begitu luas kepada kumpulan target pelajar. Oleh itu pelajar sebelum membuat keputusan untuk membuat pilihan kepada UPU harus terlebih dahulu membuat kajian dengan sistem pekerjaan semasa dan sebelum ini AI juga telah mengambil ruang dalam membuat job replacement pada bidang-bidang utama yang mungkin menjadi pilihan para pelajar.
Bidang-bidang teknikal mahupun kejuruteraan menjadi bidang sasaran yang amat tinggi. Rata-rata pelajar meminat bidang kejuruteraan dan teknikal kerana dipengaruhi dengan gelaran jurutera ataupun sokongan ibu bapa atau rakan sebaya. Namun begitu, pelajar haruslah merangka dan menilai secara kritis bidang-bidang yang akan menjadi keutamaan pasaran kerja sejurus tamat graduasi dari peringkat sijil/matrikulasi-diploma-ijazah amnya yang mengambil masa lima hingga tujuh tahun.
Pasaran kerja adalah sangat fleksibel, terhad kadang kala dan sukar dijangkakan mengikut keperluan tenaga kerja semasa dan dunia amnya, namun begitu kemahiran mencari pekerjaan boleh diasah seawal peringkat lepasan SPM supaya pelajar didedahkan realiti sebenar. Bidang pekerjaan pada masa kini juga perlu mengambil kira jangkaan pekerjaan yang akan digantikan dengan Artificial Intelligence (AI) atau kecerdasan buatan. Cabaran AI ini amat kritikal jika tidak ditangani walaupun begitu AI harus dilihat dalam aspek positif dalam membantu pekerjaan manusia cuma risiko yang hadir adalah menggantikan pekerjaan manual manusia sehari-hari dengan penggunaan Robot AI itu sendiri.
Generatif AI (GenAI) juga mungkin menjejaskan pekerjaan wanita secara tidak seimbang, menurut kajian daripada Frank Hawkins Kenan Institute of Private Enterprise, Amerika Syarikat menyatakan, kira-kira 79% wanita yang bekerja mempunyai jawatan yang terdedah kepada automasi berbanding 58% lelaki yang bekerja. Dalam ketakutan peluang pekerjaan bersifat buruh berkaitan dengan sistem automasi, penggunaan mesin boleh melaksanakan kerja secara berulang-ulang. GenAI berbeza kerana ia mengautomasikan tugas kreatif seperti menulis, pengekodan dan juga membuat muzik. Sebagai contoh, pemuzik Paul McCartney menggunakan AI untuk menjana sebahagian suara mendiang rakan kumpulannya John Lennon untuk mencipta lagu Beatles anumerta. Dalam kes ini, beliau cuba menggantikan suara mendiang sahabatnya walaupun perkara ini tidak selalunya berlaku.
Penggantian pekerjaan bukan satu-satunya kesan AI terhadap kerja. Sudut positif ialah kerjasama manusia-mesin, AI akan membantu orang ramai meningkatkan pengalaman kerja mereka dengan mengautomasikan tugas hafalan dan berulang. Teknologi ini akan memaksimumkan cara kerja dilaksanakan sambil meminimumkan keburukan yang booleh berlaku. Ini mungkin menyumbang kepada lonjakan dalam pekerjaan AI dan peningkatan permintaan untuk kemahiran AI. AI memerlukan banyak maklum balas manusia. Sebagai contoh, LLM (model pembelajaran bahasa melalui teknik pembelajaran mesin) berlatih menggunakan proses yang dipanggil pembelajaran pengukuhan daripada maklum balas manusia yang mana orang memperhalusi model dengan berulang kali dan meletakkan kedudukan output daripada yang terbaik kepada yang paling teruk. Terdapat juga sudut lain yang boleh berlaku, yang mana pekerja akan bekerjasama dengan AI, tetapi ia akan mengurangkan produktiviti mereka. Sebagai contoh, chatbot AI generatif mungkin mencipta kandungan berkualiti rendah yang berlebihan. Penyunting kemudiannya perlu menulis kandungan tambahan untuk menyempurnakan rencana, mendorong pencarian sumber maklumat bukan sebagai factor dominan dalam senarai keutamaan mereka.
Maklumat dari Gaper.io menyasarkan; peranan yang melibatkan tugas berasaskan peraturan, berulang atau peranan yang mana interaksi terutamanya diseragamkan akan digantikan oleh AI. Pekerjaan yang berkemungkinan besar akan diautomasikan menjelang 2030 termasuk juruwang, telemarketer, kerani kemasukan data dan ejen perkhidmatan pelanggan. Kemajuan dalam analisis data AI dan keupayaan membuat keputusan berpotensi menjejaskan walaupun beberapa pekerjaan kolar putih, seperti pembantu undang-undang dan penasihat kewangan. Peningkatan automasi dan teknologi pemanduan sendiri juga telah meletakkan pembaca meter, pemandu teksi dan stok gudang dalam senarai industri yang terjejas. Mungkin pelajar lepasan SPM boleh melihat contoh-contoh penggunaan Robot AI yang telah digunakan di negara luar seperti Amerika Syarikat,China, UAE, United Kingdom, Jepun dan Jerman bagi lebih memahami bagaimana kaedah AI boleh menggantikan peluang pekerjaan yang dulunya dilaksanakan oleh manusia.
Pelajar lepasan SPM juga boleh berinisiatif untuk melihat bidang pekerjaan yang kini ditawarkan secara dalam talian melalui laman Jobstreet, Monster Jobs dan pelayan pencarian pekerjaan lain juga bagi memberi pengetahuan awal sebelum mengisi bidang pilihan dalam UPU, ataupun permohonan lain bagi IPTA mahupun IPTS juga. Jangkaan peluang pekerjaan ini haruslah seiring dalam masa lima hingga tujuh tahun akan datang. Ini bagi membantu mereka untuk lebih kreatif, dan berhati-hati dalam memandu arah tuju pengajian peringkat tertiari mereka. Kelak hasrat kerajaan dalam Dasar TVET Negara 2030 adalah untuk melahirkan pekerja berkemahiran berpendapatan tinggi seterusnya mengisi peluang pekerjaan tenaga mahir atau separa mahir dijangkakan boleh tercapai sekiranya pelajar lepasan SPM memperhalusi secara kritis pemilihan laluan mereka pada peringkat awal ini.

Dr. Noraziahtulhidayu Kamarudin
Pensyarah Kanan, Jabatan Multimedia
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Cik Syazwani Ramli
Pensyarah Kanan, Jabatan Multimedia
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Utusan Malaysia (muka surat: 11), 3 Mac 2025: Lepasan SPM perlu pilih bidang releven dalam era kecerdasan buatan

2. Utusan (utusan.com.my), 3 Mac 2025: Lepasan SPM perlu pilih bidang releven dalam era kecerdasan buatan
Lepasan SPM perlu pilih bidang relevan dalam era kecerdasan buatan
3. Berita Harian (muka surat: 11), 3 Mac 2025: `Jenguk’ portal pekerjaan intai peluang kerjaya masa depan

