Setiap kali Ramadan menghampiri penghujungnya, rakyat Malaysia mula berpusu-pusu membeli-belah untuk persiapan Hari Raya. Kedai, bazar dan platform e-dagang menjadi sesak dengan pembeli yang mencari pakaian, kuih raya dan pelbagai keperluan lain. Fenomena membeli saat akhir atau ‘last-minute shopping’ ini sudah menjadi kebiasaan, mencetuskan lonjakan jualan tetapi turut membawa cabaran besar kepada peniaga kecil dan sederhana (IKS).

 

Kenapa orang suka beli saat akhir?

Salah satu sebab utama adalah menunggu promosi besar-besaran. Ramai percaya harga lebih murah menjelang Aidilfitri, menyebabkan mereka menangguhkan pembelian. Selain itu, faktor kesibukan kerja dan pengaruh media sosial yang memperkenalkan trend terbaru mendorong orang untuk menunggu hingga saat akhir bagi mendapatkan pilihan terbaik. Ada juga yang yakin stok akan sentiasa ada, tetapi akhirnya terpaksa berebut atau membayar lebih mahal. Ada yang menanti hari gaji untuk membuat pembelian memandangkan kewangan yang ada hanya ‘cukup-cukup makan.’ Semua ini menjadikan ‘last-minute shopping’ satu budaya yang sukar diubah.

 

Kesan kepada perniagaan IKS

Walaupun pembelian saat akhir meningkatkan pendapatan peniaga, ia turut membawa beberapa cabaran utama. Kehabisan stok adalah masalah utama kerana permintaan yang mendadak menyukarkan peniaga mendapatkan bekalan tambahan dalam masa singkat.

Selain itu, tekanan kerja tinggi boleh menjejaskan kualiti produk. Peniaga dan pekerja yang keletihan mungkin menghasilkan produk kurang berkualiti, seperti kuih raya yang tidak sekata atau pakaian yang kurang kemas jahitannya.

Bagi perniagaan dalam talian, kelewatan penghantaran menjadi isu besar. Apabila terlalu banyak pesanan dibuat pada saat akhir, syarikat kurier mengalami kesesakan, menyebabkan barang tiba selepas hari raya dan menjejaskan kepuasan pelanggan.

Namun, bagi peniaga yang bijak, fenomena ini juga boleh menjadi peluang untuk meningkatkan keuntungan. Pembeli yang terdesak biasanya kurang berkira soal harga, membolehkan peniaga menawarkan pakej istimewa atau menjual produk pada margin yang lebih tinggi.

 

Bagaimana peniaga boleh menguruskan fenomena ini?

Bagi memastikan perniagaan berjalan lancar, peniaga perlu merancang stok lebih awal berdasarkan trend jualan tahun sebelumnya. Ini dapat mengelakkan risiko kehabisan bekalan pada saat genting.

Menawarkan promosi bagi pembelian awal juga boleh menggalakkan pelanggan membeli lebih awal, mengurangkan tekanan jualan saat akhir. Pemasaran digital memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk lebih awal serta menggalakkan pra-tempahan.

Dari segi penghantaran, bekerjasama dengan syarikat logistik yang boleh dipercayai atau menyediakan pilihan ‘self-pickup’ dapat membantu menguruskan pesanan dengan lebih baik. Sistem pra-tempahan juga membolehkan peniaga menyusun jadual pengeluaran dengan lebih tersusun dan mengurangkan risiko kesesakan tempahan.

Kesimpulannya, fenomena ‘last-minute shopping’ bukan sekadar tabiat pembeli, tetapi juga cabaran besar bagi perniagaan IKS. Jika tidak diurus dengan baik, peniaga mungkin menghadapi kesukaran mendapatkan stok, tekanan kerja tinggi, serta pelanggan yang tidak puas hati akibat kelewatan penghantaran.

Namun, dengan perancangan yang betul termasuk strategi stok awal, promosi pintar dan pengurusan logistik yang cekap, peniaga boleh mengubah cabaran ini menjadi peluang keemasan untuk meningkatkan keuntungan serta mengekalkan kepuasan pelanggan._Foto oleh Kousalya Selvam, Sinar Daily

 

 

 

 

Dr. Zurina Samsudin

Johor Business School,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Harian Metro (muka surat: 14), 27 Mac 2025: Ganda untung jika kenacaranya

 

2. MyMetro (hmetro.com.my), 27 Mac 2025: Ganda untung jika kenacaranya

https://www.hmetro.com.my/rencana/2025/03/1201451/ganda-untung-jika-kena-caranya