Kemunculan  DeepSeek, sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI) terkini dari China telah mencetuskan gelombang yang menggegarkan industri AI global. Pakar industri bersetuju yang kewujudannya  berpotensi mengubah landskap pembangunan AI. Walaupun pendekatan inovatif syarikat ini telah dipuji secara meluas, beberapa penganalisis memberi amaran bahawa kejayaannya boleh mengganggu infrastruktur AI tradisional, termasuk permintaan untuk pusat data yang yang berkos tinggi, dan akan mempengaruhi trend pelaburan di Zon Ekonomi Khas Johor Singapura atau Johor Singapore Special Economic Zones (JS-SEZ).

DeepSeek telah menarik perhatian kerana keupayaannya membangunkan model AI yang sangat cekap dan memerlukan kuasa komputasi yang jauh lebih rendah berbanding sistem konvensional. Kejayaan ini menimbulkan persoalan tentang masa depan pusat data berskala besar, yang selama ini menjadi tulang belakang pembangunan AI. Kemudahan ini, yang sering menelan belanja berbilion-bilion untuk dibina dan diselenggara, amat penting untuk mengendalikan jumlah data yang besar dan kuasa pemprosesan yang diperlukan oleh sistem AI tradisional. Namun, teknologi DeepSeek mencabar paradigma ini dengan menawarkan penyelesaian yang lebih efisien dan berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap infrastruktur sedemikian.

Para penyelidik AI berpendapat kejayaan DeepSeek merupakan satu titik perubahan dalam pembangunan AI. Jika model AI DeepSeek terbukti berkesan pada skala yang besar, mungkin akan terdapat pengurangan yang signifikan terhadap keperluan  pusat data yang sudah tentunya berkos tinggi. Ini memberi penjimatan yang signifikan dan akan mengalihkan tumpuan dan hala tuju pelaburan dalam industri AI.

Implikasi peralihan pelaburan ini adalah luas. Pusat data menjadi pemacu utama aktiviti ekonomi di wilayah seperti Asia Tenggara, yang mana negara-negara seperti Singapura, Malaysia dan Indonesia secara besar-besaran dalam membina kemudahan canggih untuk menarik gergasi teknologi global untuk membina pusat data di negara masing-masing. Penurunan terhadap permintaan pusat data ini boleh menjejaskan ekonomi tempatan dan mengubah aliran dana pelaburan.

Selama ini pelabur melihat pusat data sebagai pelaburan yang berpotensi tinggi dan selamat kerana permintaan terhadap aplikasi AI yang semakin meningkat. Jika teknologi DeepSeek diterima secara meluas, terdapat kemungkinan pengagihan semula modal akan ke arah pelaburan yang lain kerana DeepSeek menunjukan tiada keperluan untuk membinaan pusat data yang melibatkan kos yang tinggi.

Namun  kejayaan DeepSeek  boleh mencipta peluang baharu. DeepSeek secara tidak langsung mengurangkan halangan kemasukan ke dalam bidang pembangunan AI. Teknologi ini  membolehkan firma kecil dan startup bersaing dalam bidang AI, merangsang inovasi dan mendorong pertumbuhan ekonomi dalam sektor baharu.

Buat masa ini mungkin terdapat gangguan jangka pendek kepada syarikat-syarikat pengusaha aplikasi AI yang lain namun kesan jangka panjang kemajuan Open Sistem atau Sistem Terbuka AI DeepSeek boleh memberi nilai yang  positif terhadap induistri ini. Secara tidak langsung ia akan membebaskan atau  mendemokrasikan pembangunan AI dan menjadikannya ia lebih mudah diakses oleh lebih banyak pihak. Ini akan merangsang kreativiti kepada tahap yang lebih tinggi.

Keupayaan DeepSeek untuk mengimbangi inovasi dengan implikasi ekonomi yang positif akan menentukan kelestariannya dalam membentuk masa depan pembangunan AI di peringkat global.

Buat masa ini, satu perkara yang jelas adalah kejayaan DeepSeek memberi peringatan bahawa dalam dunia teknologi yang pantas berkembang dan perubahan luar jangkaan akan menjadi  satu norma yang akan memberi cabaran kepada pengusaha industri ini.

Seperti yang dibincangkan kewujudan DeepSeek dan kemajuan teknologinya yang inovatif dalam  bidang AI  akan memberi impak yang signifikan terhadap impian JS-SEZ untuk menjadi hab pusat data AI.

Salah satu impaknya adalah pengurangan permintaan untuk pusat data. Ini adalah kerana model AI DeepSeek terkenal dengan kecekapannya dan ia memerlukan kuasa komputasi yang jauh lebih rendah berbanding sistem konvensional. Ini akan menjadikan pusat data tidak lagi relevan untuk keperluan industri AI.

JS-SEZ mungkin menghadapi cabaran dalam menarik pelaburan untuk projek pusat data jika syarikat-syarikat mula beralih kepada penyelesaian AI yang lebih efisien seperti yang ditawarkan oleh DeepSeek. Pelabur lebih cenderung untuk melabur dalam teknologi yang mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan, berbanding membiayai infrastruktur fizikal yang berkos tinggi.

Namun walaupun terdapat cabaran, kewujudan DeepSeek juga boleh membuka peluang baharu untuk JS-SEZ. Wilayah ini boleh pertimbangkan untuk mempelbagaikan tumpuan daripada sekadar menjadi hab pusat data kepada menjadi pusat inovasi AI. Dengan menggalakkan pembangunan teknologi AI yang lebih cekap, JS-SEZ boleh menarik syarikat-syarikat yang ingin memanfaatkan kemajuan terkini dalam bidang ini.

Selain dari itu DeepSeek telah mendemokrasi pembangunan AI. Ini adalah kerana teknologi DeepSeek lebih mudah diakses dan ini membolehkan lebih banyak syarikat kecil dan startup untuk terlibat dalam pembangunan AI. JS-SEZ boleh mengambil kesempatan ini dengan menyediakan ekosistem yang menyokong inovasi dan kerjasama antara syarikat-syarikat ini, seterusnya mengukuhkan kedudukannya sebagai hab teknologi.

Implikasi yang bakal dihadapi adalah pengurangan pembinaan dan operasi pusat data. Ini akan memberi kesan kepada peluang  pekerjaan dan ekonomi tempatan yang bergantung pada projek-projek ini. Namun, peralihan kepada teknologi AI yang lebih cekap juga boleh mencipta peluang pekerjaan baharu dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan pengunaan aplikasi AI.

Kewujudan DeepSeek dan kemajuan teknologinya boleh membawa kedua-dua cabaran dan peluang untuk impian JS-SEZ menjadi hab pusat data AI. Untuk terus relevan dan kompetitif, JS-SEZ perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dalam landskap teknologi dan mempertimbangkan untuk mempelbagaikan tumpuan kepada inovasi AI yang lebih efisien dan berkesan dari segi kos. Dengan ajakan paradigma ini, JS-SEZ bukan sahaja dapat mengekalkan daya saingnya tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan pembangunan AI di rantau ini.

 

 

Mohamed Ismail bin KP Haji Pakir Mohamed

Pensyarah Kanan

Ketua Focus Group Manufacturing Technology Management

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)