Pelajar di seluruh negara telah memulakan sesi persekolahan baharu dengan penuh semangat dan azam untuk mencapai kecemerlangan. Sejajar dengan kemajuan teknologi dan perubahan dalam sistem pendidikan, pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memastikan minat pelajar dalam pembelajaran terus diperkukuhkan. Penggunaan teknologi seperti platform pembelajaran digital, aplikasi interaktif dan kelas maya semakin mendapat perhatian dalam usaha menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Anak-anak yang sedia mahir dalam penggunaan teknologi setiap hari merasakan lebih seronok jika pembelajaran di dalam kelas lebih mendekatkan mereka dengan penggunaan teknologi secara positif. Mereka akan lebih teruja jika cikgu-cikgu mereka berjaya menonjolkan kemahiran dalam penggunaan teknologi sehingga merapatkan jurang di antara cikgu dan murid, sekali gus memupuk minat anak- anak untuk lebih seronok belajar.
Anak-anak kini lebih banyak pendedahan kepada dunia luar, sama ada pendedahan secara terancang mahupun tidak terancang. Mereka tanpa sedar membentuk minat berdasarkan pendedahan tersebut. Maka, pendekatan pengajaran yang menggalakkan anak-anak untuk meneroka bidang yang diminati, seperti sukan, seni, atau sains, dapat membantu meningkatkan motivasi mereka untuk terus menimba ilmu. Jika mereka benar-benar mengusai bidang yang mereka minati, kecemerlangan luar biasa pasti akan lebih mudah diperoleh. Terdapat banyak kisah yang mana seorang guru yang cakna berjaya mencungkil bakat anak murid mereka sehingga memperoleh kejayaan cemerlang.
Selain itu, ada juga dalam kalangan anak-anak murid yang keliru dan mungkin menjadi semakin runsing dengan lambakan informasi dan pendedahan yang terbentang luas di hujung jari. Maka sangat penting anak-anak ini diberi bimbingan secara berterusan sama ada bimbingan dari segi ilmu pengetahuan, motivasi sikap dan sokongan moral bagi memastikan mereka juga berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi. Hubungan mentor dan mentee akademik yang diwujudkan di sekolah contohnya dapat mengenal pasti bakat anak-anak murid ataupun halangan yang mungkin wujud, bagi membantu mereka mencapai kejayaan pada masa hadapan.
Tetapi apa yang penulis ingin tekankan adalah peranan ‘rumah’ yang juga turut signifikan dalam menggalakkan budaya pembelajaran dalam kalangan anak-anak. Minat belajar perlu dibudayakan di rumah dan hanya diperkukuh di sekolah. Anak-anak di sekolah belajar dalam satu kumpulan secara beramai-ramai. Kebolehan setiap anak itu untuk menerima ilmu yang disampaikan di sekolah berbeza-beza. Maka, penting untuk anak-anak diberikan asas pengetahuan dan set keupayaan mengikut tahap yang baik sebelum memulakan pembelajaran di sekolah. Dalam masa yang sama anak-anak perlu dibantu untuk terus mengulang kaji apa yang telah dipelajari di sekolah ketika mereka berada di rumah. Ini penting agar anak-anak sentiasa bermotivasi serta mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu yang dipelajari. Tahukah anda, perasaan bosan dalam kalangan anak-anak terhadap subjek-subjek pembelajaran di sekolah bermula dari sedikit yang kurang faham, sehinggalah bertambah tidak faham hari demi hari.
Maka di rumah masing -masing, tidak perlu luas, ibu bapa hanya perlu menyediakan ruang yang tenang, terang dan tersusun rapi agar dapat meningkatkan tumpuan anak-anak semasa mengulang kaji. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mempunyai tempat khas untuk belajar yang bebas daripada gangguan. Dalam situasi ini, pengorbanan ibu bapa diperlukan. Antaranya ialah dengan mengorbankan siaran televisyen yang mungkin sangat diminati, telefon bimbit diketepikan serta keberadaan ibu bapa secara fizikal dan emosional di ruang pembelajaran sebagai tanda sokongan.
Dalam proses pembelajaran, membaca menjadi salah satu elemen yang sangat penting.Oleh itu, ibu bapa harus membiasakan anak-anak dengan tabiat membaca sejak kecil. Menyediakan bahan bacaan yang berkualiti seperti buku ilmiah, novel pendidikan dan majalah akademik dapat membantu meningkatkan daya pemikiran kritis dan kreativiti pelajar. Tidak dinafikan, kini, ibu bapa banyak membaca di media digital. Maka libatkan anak-anak ketika membaca. Kongsikan apa yang sedang dibaca dan sekali-sekala tanyakan pendapat mereka tentang topik yang sesuai dengan tahap pendidikan mereka. Aktiviti ini bukan sahaja membudayakan aktiviti membaca, tetapi juga dapat memupuk keupayaan berfikir dan memberikan pendapat yang bernas dalam kalangan mereka.
Pembahagian masa yang baik antara pelajaran dan aktiviti rekreasi penting bagi memastikan keseimbangan mental dan fizikal pelajar. Ibu bapa boleh membantu anak-anak menyusun jadual belajar yang fleksibel tetapi berstruktur, memastikan mereka mempunyai masa yang cukup untuk mengulang kaji, berehat dan melakukan aktiviti lain seperti bersukan dan bersosial, contohnya bemain permainan dalam talian bersama rakan-rakan. Dengan cara ini, anak-anak tidak akan berasa terbeban dan dapat mengekalkan minat dalam pembelajaran.
Sokongan ibu bapa adalah elemen penting dalam membentuk motivasi dan keyakinan anak-anak. Memberikan dorongan secara berterusan, membantu dalam menyelesaikan tugasan sekolah, serta memberi pujian atas usaha mereka dapat meningkatkan keyakinan diri anak-anak. Selain itu, ibu bapa yang menunjukkan sikap positif terhadap pembelajaran dan pendidikan akan menjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka. Ibu bapa yang terlibat secara aktif dalam pembelajaran anak-anak mereka dapat memupuk rasa selamat dan yakin dalam diri anak-anak. Apabila ibu bapa mengambil berat tentang perkembangan akademik anak-anak, mereka akan lebih berasa dihargai dan terdorong untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan. Selain itu, interaksi yang kerap antara ibu bapa dan anak-anak mengenai pelajaran boleh meningkatkan kefahaman dan minat mereka terhadap subjek yang dipelajari. Ini bukan sahaja membantu dalam pencapaian akademik, tetapi juga membentuk hubungan kekeluargaan yang lebih mesra dan erat.

Prof. Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin
Fakulti Teknologi Kejuruteraan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Dr. Junaidah Zakaria
Fakulti Sains dan Teknologi Industri
Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Harian Metro (muka surat: 14), 25 Februari 2025: Pokok pangkalnya ibu bapa

2. MyMetro (hmetro.com.my), 25 Februari 2025: Pokok pangkalnya ibu bapa
https://www.hmetro.com.my/rencana/2025/02/1190720/pokok-pangkalnya-ibu-bapa
