Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan satu lagi usaha signifikan kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan. Dengan tema “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat,” belanjawan ini mampu memperkukuh ekonomi negara melalui reformasi menyeluruh untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi cabaran global yang kompetitif.

Reformasi ekonomi

Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai pelan strategik seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) sebagai teras kepada pembangunan industri berteknologi tinggi yang mampu mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi. Pelaburan dalam sektor seperti teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan kecerdasan buatan (AI) merupakan langkah sedang diambil untuk memastikan ekonomi Malaysia bergerak ke hadapan dengan lebih mampan dan berdaya saing.

Sebahagian daripada reformasi ini termasuk Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang akan diperkenalkan pada suku ketiga 2025. Kerangka ini bertujuan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi yang dapat memanfaatkan ekonomi negara secara keseluruhan, terutama melalui peningkatan eksport dan inovasi.

Pelabur akan diberikan insentif cukai bagi aktiviti-aktiviti bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC), bahan termaju dan perkhidmatan digital. Langkah ini termasuk memperkenalkan dana pelaburan strategik bernilai 1 bilion ringgit sebagai usaha meningkatkan kapasiti bakat tempatan dan menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dilaksanakan di negara ini.

Kesejahteraan rakyat

Pembangunan inklusif merupakan satu lagi teras penting dalam Belanjawan 2025. Kerajaan komited untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara. Ini termasuk pelaksanaan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang terus ditambah baik bagi membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

STR disasarkan kepada golongan B40 dan M40 yang paling terkesan dengan inflasi dan peningkatan kos barangan keperluan. Dalam belanjawan ini, kerajaan memperuntukkan RM13 bilion untuk STR dan SARA, yang akan memberi manfaat kepada lebih 9 juta penerima. Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan inisiatif BUDI MADANI, yang memberikan bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 kepada golongan miskin tegar, dengan tujuan untuk mengurangkan kemiskinan secara berkesan.

Selain bantuan kewangan, pendidikan dan kesihatan turut menjadi fokus utama dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kerajaan memperuntukkan dana tambahan untuk peningkatan prasarana sekolah dan institusi pendidikan tinggi, serta meningkatkan perkhidmatan kesihatan awam melalui penyediaan peralatan perubatan yang lebih baik dan peruntukan tambahan untuk hospital awam. Program ini bukan sahaja bertujuan untuk memastikan akses kepada pendidikan dan kesihatan yang lebih baik, tetapi juga untuk mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar.

Keseimbangan fiskal dan rasionalisasi subsidi

Reformasi fiskal juga memainkan peranan penting dalam Belanjawan 2025, terutamanya dalam memastikan pengurusan kewangan negara yang lebih telus dan cekap. Kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat daripada 5.5% pada tahun 2022 kepada 3.8% pada tahun 2025. Pengurangan defisit ini bertujuan untuk mengurangkan beban hutang negara, yang kini mencecah RM1.5 trilion, bersamaan dengan 80% KDNK.

Salah satu langkah penting yang diambil oleh kerajaan dalam usaha mengurangkan defisit ialah rasionalisasi subsidi. Sebelum ini, subsidi pukal seperti subsidi bahan api dan elektrik turut dinikmati oleh golongan kaya dan warga asing. Dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah memutuskan untuk menyasarkan subsidi hanya kepada golongan yang layak, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik. Langkah ini akan menjimatkan lebih RM8 bilion setahun, yang boleh digunakan untuk program-program kesejahteraan rakyat lain seperti STR dan BUDI MADANI.

Reformasi cukai

Reformasi cukai adalah salah satu komponen utama dalam Belanjawan 2025, dengan kerajaan berusaha memperluas asas hasil dan memastikan sistem percukaian yang lebih adil dan progresif. Pada masa ini, kadar kutipan cukai Malaysia masih rendah berbanding negara serantau, dengan hanya 12.6% KDNK daripada cukai, berbanding 16.1% di Thailand, 14.1% di Filipina, dan 13.7% di Singapura.

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) juga diperluaskan dengan menyasarkan perkhidmatan komersial dan barangan premium. Barang makanan asas seperti beras dan minyak masak dikecualikan daripada cukai jualan, manakala barangan bukan keperluan seperti ikan salmon dan avokado akan dikenakan cukai jualan.

Pelaksanaan reformasi cukai ini akan membantu kerajaan meningkatkan kutipan hasil yang lebih mampan tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah. Pada tahun 2025, kutipan hasil dijangka meningkat kepada RM340 bilion, berbanding RM322 bilion pada tahun sebelumnya.

Pemerkasaan PMKS dan pekerja

Dalam usaha memperkukuh ekonomi, Belanjawan 2025 turut memberi penekanan kepada pemerkasaan usahawan dan peningkatan taraf hidup pekerja. Kerajaan memperkenalkan beberapa insentif cukai dan bantuan kewangan untuk menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PMKS), yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. Khazanah akan melancarkan Program Syarikat Mid-Tier dengan dana 1 bilion ringgit bertujuan menyediakan pembiayaan yang menyokong syarikat tempatan. Selain itu, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan SME Bank juga menawarkan pembiayaan khusus kepada PMKS halal dengan dana tersedia hampir 600 juta ringgit.

Program GEAR-uP yang diterajui oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bertujuan untuk meningkatkan pelaburan dalam PMKS serta mencipta peluang perniagaan baharu. GLIC akan meningkatkan pelaburan langsung dalam negara berjumlah 120 bilion ringgit bagi tempoh lima tahun.

Selain itu, kenaikan gaji minimum dan penerbitan garis panduan gaji untuk semua sektor turut diperkenalkan bagi memastikan pekerja Malaysia mendapat upah yang setimpal dengan sumbangan mereka kepada ekonomi. Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan jurang pendapatan dan meningkatkan taraf hidup pekerja, terutamanya dalam sektor yang berpendapatan rendah.

Pada masa yang sama, kerajaan turut komited untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja melalui program latihan teknikal dan vokasional (TVET). Dalam Belanjawan 2025, kerajaan meningkatkan peruntukan TVET kepada 7.5 bilion ringgit. Peruntukan tambahan diberikan kepada institusi TVET bagi menyediakan latihan yang lebih relevan dengan keperluan industri seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi digital. Latihan ini bertujuan untuk mempersiapkan golongan belia dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0 dan meningkatkan kebolehpasaran mereka di pasaran pekerjaan.

Komitmen terhadap kelestarian alam sekitar

Kelestarian alam sekitar turut mendapat perhatian dalam Belanjawan 2025. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencapai matlamat iklim global, kerajaan memperkenalkan cukai karbon ke atas industri yang menghasilkan pelepasan karbon tinggi seperti besi dan keluli serta sektor tenaga. Cukai karbon ini akan dilaksanakan pada tahun 2026 dan bertujuan untuk menggalakkan industri menggunakan teknologi rendah karbon yang lebih mesra alam.

Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen Malaysia untuk mengurangkan jejak karbon dan menyertai usaha global dalam menangani perubahan iklim. Pada masa yang sama, kerajaan turut memperuntukkan dana tambahan untuk pembangunan teknologi hijau dan peningkatan prasarana tenaga boleh diperbaharui bagi memastikan Malaysia dapat mencapai status negara neutral karbon menjelang 2050.

Pembangunan infrastruktur dan transformasi digital

Dalam usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan transformasi digital. Kerangka Dasar transformasi digital yang mampan berjaya menarik pelaburan masuk syarikat gergasi teknologi dunia AWS, Microsoft, Google dan Oracle. Transformasi digital ini penting untuk memastikan Malaysia terus bergerak ke arah ekonomi yang lebih digital dan berdaya saing.

Selain itu, pelbagai projek infrastruktur seperti Projek LRT Pulau Pinang dan Projek Tebatan Banjir telah diluluskan untuk memastikan pembangunan ekonomi yang lebih seimbang di seluruh negara.

Reformasi perkhidmatan awam 

Salah satu elemen penting dalam Belanjawan 2025 adalah reformasi perkhidmatan awam, yang bertujuan meningkatkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Reformasi ini dilaksanakan melalui Rang Undang-undang Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam, yang bertujuan mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan proses kelulusan bagi perkhidmatan penting.

Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diterajui Ketua Setiausaha Negara bertanggungjawab menyelaras isu-isu berkepentingan rakyat seperti sekolah dan klinik daif, kesesakan di hospital dan kaunter imigresen serta kelancaran urusan perniagaan. Selain itu, kerajaan juga memastikan MyDigital ID, sebuah aplikasi tunggal yang akan menyatukan pelbagai agensi kerajaan untuk memudahkan urusan rakyat.

Secara keseluruhan, Belanjawan 2025 adalah satu langkah komprehensif yang mengutamakan reformasi ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Dengan fokus kepada pembangunan inklusif, reformasi fiskal, pemerkasaan PMKS dan TVET, serta komitmen terhadap reformasi perkhidmatan awam, belanjawan ini bertujuan untuk meletakkan Malaysia di landasan yang kukuh untuk mencapai pertumbuhan yang mampan dan berdaya saing di peringkat global.

Usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui program-program bantuan kewangan, peningkatan pendidikan dan kesihatan awam adalah langkah penting untuk memastikan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara.

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini telah diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 10), 20 Oktober 2024: Belanjawan 2025 perhebat reformasi ekonomi untuk kesejahteraan rakyat 

 

2. Berita Harian (bharian.com.my), 20 Oktober 2024: Belanjawan 2025 perhebat reformasi ekonomi untuk kesejahteraan rakyat 

Belanjawan 2025 perhebat reformasi ekonomi demi kesejahteraan rakyat terbanyak (bharian.com.my)