BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih dua pingat perak ketika menyertai Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2024 pada 22 hingga 27 April lalu bagi fasa satu dan 6 hingga 12 Mei bagi fasa dua.

Seramai 101 atlet dari UTHM telah bertanding dalam 10 acara sukan iaitu Bola Tampar Pantai, Silat, Petanque, Bola Jaring, Bola Keranjang, Sofbol, Ragbi 7’s, Karate dan Tenis.

Pada Karnival MASUM Fasa Satu yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), UTHM berjaya meraih dua pingat perak melalui pasukan Bola Tampar Pantai Lelaki dan pasukan Petanque Doubles Women.

Manakala di Karnival MASUM Fasa Dua yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) pula, pasukan UTHM tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat namun masih memberikan saingan yang sengit sepanjang karnival berlangsung.

Untuk rekod, penganjuran temasya sukan di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT) itu diadakan pada setiap tahun dengan penglibatan 20 universiti awam seluruh Malaysia.

Sr. Dr. Anuar Mohd Salleh, Menjalankan Tugas Pengarah, Pusat Sukan Universiti turut mengucapkan tahniah kepada pasukan yang berjaya meraih pingat dan berharap UTHM dapat meneruskan usaha untuk meraih kejayaan di MASUM pada edisi akan datang.

“Pasukan UTHM kini dalam persiapan untuk menghadapi Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) yang akan berlangsung pada September 2024 bertempat di Universiti Utara Malaysia (UUM),” ujar Dr. Anuar.