Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Mohd Nazrin Musling
Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalankan kempen dan program derma darah pada bulan Ramadan bagi membantu memastikan stok bekalan darah sentiasa mencukupi terutama pada musim perayaan.
Rawatan pendarahan dalam situasi kecemasan dan juga rawatan yang memerlukan tranfusi darah secara berkala bagi pesakit tetap perlu diteruskan tidak kira apa jua keadaan.
Prihatin dengan keperluan golongan yang memerlukan, pihak KKKP telah mengambil inisiatif untuk berkerjasama rapat dengan pihak Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dalam menjayakan objektif tersebut.
Beberapa inisiatif dan Tindakan proaktif telah diambil antaranya dengan membuat kempen kesedaran, hebahan maklumat dan program pendermaan darah secara konsisten dan sistematik.
Inisiatif tersebut bukan sahaja membantu memenuhi keperluan bekalan darah yang kritikal di Pusat Darah Negara, tetapi ia juga memupuk nilai-nilai murni dalam diri penderma.
Program derma darah itu telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga KKKP, staf UTHM dan juga penduduk setempat.
Menurut pengarah program, Khairunnisa Muhammad merangkap ahli Majlis Tertinggi, Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP KKKP), para pelajar UTHM turut menyambut baik dan menyokong kelangsungan program ini.
“Walaupun program ini dijalankan semasa bulan Ramadan, ia tidak langsung menjejaskan semangat para pelajar untuk turut sama menyumbang darah bagi manfaat pesakit yang memerlukan.
“Ada segelintir pelajar telah menunggu lebih awal sebelum pendaftaran dibuka, sekali gus mencerminkan adanya semangat dan keprihatinan sosial yang tinggi dalam diri mereka,” katanya.
Sementara itu, penasihat program, Dr. Mohd Faisal Hushim merangkap Timbalan Pengetua 1 KKKP, program itu tidak hanya membantu memastikan bekalan darah mencukupi, malah ia membuka dan memberi peluang kepada warga UTHM untuk turut berkontribusi secara sosial.
“Para penderma bukan sahaja menyumbangkan darah, malah darah yang diterima juga mampu memberi harapan dan kehidupan baharu kepada mereka yang memerlukan,” katanya.