Sambutan Hari Raya Aidilfitri, adalah hari yang diraikan dengan penuh dengan kegembiraan dan kesyukuran bersama keluarga serta rakan-rakan. Namun, di sebalik kemeriahan tersebut, terdapat satu cabaran besar yang sering dihadapi oleh ramai individu iaitu beban hutang akibat belanja berlebihan semasa sambutan raya. Budaya belanja yang tidak terkawal dan terlalu mengikut hawa nafsu sering menyebabkan individu terjerumus ke dalam bebanan hutang yang tinggi.
Tren berhutang semasa menyambut hari raya meningkat secara mendadak, terutamanya dalam membuat pinjaman dengan along yang mengenakan kadar faedah tinggi. Terdapat peningkatan sebanyak 50 hingga 60 peratus dalam tren meminjam dari along atau pemberi pinjam wang tidak berlesen setiap kali tiba musim hari raya. Selain itu, jumlah permohonan pinjaman peribadi oleh penjawat awam juga meningkat sebanyak 10 ribu permohonan setiap kali menjelang Syawal.
Faktor utama peningkatan ini adalah kerana keinginan untuk menukar kereta baharu, membeli perabot, langsir, meja makan dan alat elektrik, walaupun tanpa berkemampuan kewangan yang kukuh.
Tren ini menimbulkan kebimbangan tentang peningkatan beban hutang dalam kalangan masyarakat semasa sambutan raya. Oleh itu, penting untuk meningkatkan kesedaran tentang pengurusan kewangan yang bijak dengan penuh kewajaran dan mengelakkan dari membuat keputusan kewangan yang salah dengan mengikut hawa nafsu semata-mata semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Kehendak dan keperluan
Pertama sekali, adalah penting untuk memahami perbezaan antara kehendak dan keperluan semasa membuat keputusan persiapan. Sering kali, ramai orang membeli barang-barang yang tidak mereka perlukan hanya kerana desakan emosi atau kerana ingin menunjukkan status sosial.
Contohnya, membeli pakaian baharu yang mewah atau perabot rumah yang tidak diperlukan hanya kerana terpengaruh dengan tren semasa adalah keputusan yang tidak bijak. Oleh itu, penting untuk sentiasa menilai sama ada barang yang ingin dibeli itu merupakan keperluan sebenar atau hanya kehendak semata-mata.
Perancangan kewangan
Kedua, adalah penting untuk membuat perancangan kewangan yang teliti sebelum memulakan sambutan raya. Ini bermakna membuat bajet yang jelas dan realistik bagi memastikan semua perbelanjaan semasa sambutan raya dapat dirancang dengan baik tanpa bebanan hutang yang tidak perlu.
Bajet hendaklah merangkumi perbelanjaan seperti makanan, hadiah, perjalanan mahupun dekorasi rumah. Dengan mempunyai bajet yang terperinci, individu dapat mengelakkan daripada membuat belanjaan yang tidak dirancang dan berlebihan. Ini membolehkan mereka menikmati sambutan raya dengan lebih teratur dan tanpa tekanan kewangan yang berlebihan.
Membuat senarai belanja
Membuat senarai pembelian adalah satu langkah penting untuk membantu mengawal perbelanjaan semasa menyambut hari raya. Dengan menyenaraikan semua barang yang perlu dibeli, ia membantu mengelakkan daripada membeli barang-barang secara impulsif yang mungkin tidak diperlukan.
Selain itu, senarai belanja juga membolehkan individu tersebut merancang perbelanjaan dengan lebih bijak, dan membolehkan keutamaan diberikan kepada barang-barang yang lebih penting.
Membandingkan harga dan mencari diskaun
Sebelum membuat pembelian, adalah penting untuk membandingkan harga barang di pelbagai kedai dan mendapatkan tawaran yang terbaik. Dengan membandingkan harga, pengguna akan mendapat nilai yang terbaik untuk wang yang belanjakan.
Selain itu, diskaun dan promosi juga membantu mengurangkan perbelanjaan keseluruhan. Ini memberi peluang untuk mendapatkan barang dengan harga yang lebih rendah dan menjimatkan wang secara keseluruhan. Tindakan ini penting dalam menguruskan bajet dan membolehkan lebih banyak perbelanjaan digunakan pada perkara yang lebih bermanfaat.
Menggunakan wang tunai
Satu lagi cara untuk mengelakkan beban hutang semasa menyambut hari raya adalah dengan menggunakan wang tunai atau kad debit untuk membuat pembelian. Dengan menggunakan wang tunai dan kad debit, perbelanjaan dapat dikawal dengan lebih baik, kerana membeli barang-barang mengikut kemampuan masing-masing.
Menggunakan wang tunai juga membantu mengelakkan diri daripada terjerat dalam hutang kredit yang boleh menyebabkan beban kewangan yang tinggi selepas sambutan hari raya berakhir.
Penyelesaian alternatif
Semasa menyambut Hari Raya, terdapat pelbagai cara untuk menjimatkan wang tanpa menjejaskan kemeriahan perayaan. Contohnya, kita boleh membuat baju raya sendiri atau memakai baju lama yang masih baik, memasak juadah hari raya sendiri di rumah, atau mencari alternatif sambutan hari raya dengan lebih ekonomi seperti mengadakan majlis potluck bersama rakan-rakan.
Dengan mencari cara alternatif ini, jumlah perbelanjaan keseluruhan dapat dikurangkan dan mengelakkan daripada terjerat dalam hutang yang tidak perlu semasa sambutan hari raya.
Mengutamakan kewangan jangka panjang
Sambutan hari raya akan hanya untuk beberapa hari sahaja, tetapi hutang yang ditanggung boleh menjadi beban kewangan dalam jangka masa yang panjang seperti pembelian kereta baharu dan perabot rumah yang diluar kemampuan.
Oleh itu, adalah penting untuk mengutamakan kewangan jangka panjang dan memastikan tidak menjejaskan kesejahteraan kewangan kerana hanya untuk keseronokan sementara. Dengan membuat keputusan kewangan yang bijak semasa menyambut hari raya, beban kewangan dapat dielakkan dan tidak terjerat dalam hutang pada masa akan datang.
Menjauhi perbandingan media sosial
Perbandingan di media sosial sering kali menjadi punca utama perbelanjaan berlebihan semasa menyambut Hari Raya. Dalam era media sosial yang sangat popular, mudah untuk merasa diri tertekan atau tidak memadai apabila melihat gambar-gambar kehidupan mewah yang dipaparkan oleh orang lain. Sering kali, tekanan sosial dan iklan mampu mempengaruhi seseorang untuk membeli barang-barang yang tidak diperlukan atau melebihi kemampuan kewangan individu.
Penting untuk mengingat bahawa gambaran yang dipaparkan di media sosial mungkin tidak sepenuhnya mencerminkan realiti kehidupan seseorang. Oleh itu, fokuslah pada nilai-nilai sebenar perayaan dan jangan biarkan perbandingan sosial mempengaruhi keputusan kewangan anda.
Sikap kesederhanaan
Sikap kesederhanaan adalah penting untuk mengawal hawa nafsu berbelanja. Sikap kesederhanaan membantu seseorang untuk mengekalkan keseimbangan berbelanja dan mengutamakan keperluan sebenar. Ini juga membantu individu tersebut untuk menilai setiap perbelanjaan yang dibuat.
Pengunaan kad kredit secara melampau
Selain itu, adalah penting untuk mengelakkan dari menggunakan kad kredit secara melampau semasa sambutan raya. Walaupun kad kredit boleh menjadi alat yang berguna dalam situasi tertentu, penggunaannya yang tidak terkawal boleh menyebabkan hutang yang membebankan.
Oleh itu, individu haruslah berusaha untuk menggunakan wang tunai atau kad debit, dan hanya menggunakan kad kredit jika benar-benar diperlukan dan perlu membayar balik baki dengan segera.
Membuat penilaian selepas raya
Setelah sambutan hari raya berakhir, ambil masa untuk membuat penilaian terhadap perbelanjaan yang dilakukan. Tentukan sama ada bajet telah dilakukan dengan baik atau terdapat ruang untuk penambahbaikan. Ini juga merupakan peluang untuk merancang dengan lebih baik untuk tahun-tahun akan datang.
Nilai kasih sayang, kebersamaan, dan rasa syukur
Akhir sekali, adalah penting untuk mengingatkan diri sendiri bahawa sambutan raya bukanlah tentang kemewahan atau jumlah perbelanjaan, tetapi lebih kepada nilai-nilai murni seperti kasih sayang, kebersamaan dan rasa syukur.
Dengan mengalihkan fokus daripada aspek materialistik kepada hubungan silaturahim dengan keluarga serta rakan-rakan, setiap individu dapat menikmati sambutan raya dengan lebih bermakna tanpa terlalu mementingkan perbelanjaan yang tidak perlu.
Secara keseluruhannya, adalah penting untuk mengelakkan daripada belanja ikut hawa nafsu semasa menyambut hari raya bagi mengelakkan beban hutang yang tidak diperlukan. Dengan membuat perancangan kewangan yang teliti, mengawal nafsu belanja, mempraktikkan sikap kesederhanaan, mencari penyelesaian alternatif, mengelakkan penggunaan kad kredit secara melampau dan mengalihkan fokus kepada nilai-nilai murni semasa sambutan raya, kita dapat menyambut sambutan hari raya dengan lebih tenang dan bermakna, tanpa menambahkan beban kewangan yang tidak perlu kepada diri sendiri dan keluarga.
Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)