Menurut Indeks Kesiapan AI oleh Oxford Insights, Malaysia menduduki tangga ke-23 secara global dan ke-6 di rantau ini dalam kesediaan kecerdasan buatan (AI), dengan skor 68.71 daripada 100. Selain itu, Indeks AI Global oleh Tortoise Media, menilai negara-negara berdasarkan perkembangan AI mereka menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke-44 dalam indeks tersebut.  Mengikut Indeks ini, Malaysia berada pada tahap sederhana dan pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan bagi memperkukuhkan lagi tahap AI negara. Malaysia berprestasi baik dalam operasi dan infrastruktur, tetapi perlu penambahbaikan dari aspek bakat, penyelidikan dan pembangunan, serta aspek komersial AI.

Malaysia juga menghadapi beberapa cabaran seperti gudang data, kepakaran dan etika yang menjadi kekangan kepada perkembangan AI. Walau bagaimanapun, Malaysia perlu memanfaatkan AI dalam pelbagai industri seperti pembuatan, penjagaan kesihatan, pengangkutan dan kewangan, dengan menggunakan teknologi AI terkini seperti data analitik, pengautomasian dan teknologi pintar. AI mampu memberikan impak yang signifikan kepada organisasi, ekonomi dan masyarakat dalam masa yang pendek dan panjang.

Model Perniagaan AI kini menjadi semakin penting dalam transformasi digital. Model Perniagaan AI dapat mengintegrasikan teknologi AI dalam operasi mereka untuk meningkatkan prestasi organisasi. Pada era yang semakin kompleks dengan persaingan yang sangat kompetitif, syarikat tempatan perlu melaksanakan model perniagaan AI sebagai strategi untuk meningkatkan daya saing mereka.

Dengan memanfaatkan keupayaan AI untuk menganalisis data dengan cepat, meramalkan trend pasaran dan mengautomasikan proses perniagaan, syarikat tempatan mampu meningkatkan daya saing mereka. Dalam usaha untuk melaksanakan Model Perniagaan AI, terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberi tumpuan oleh syarikat tempatan dalam melaksanakan model AI secara berkesan.

 

Analisis data

Model Perniagaan AI membolehkan syarikat tempatan menganalisis data dengan tepat dan berkesan. Dengan memanfaatkan teknik pembelajaran mesin dan analisis data raya, syarikat tempatan dapat menganalisa maklumat yang penting dari pelbagai sumber data termasuk data pelanggan dan prestasi perniagaan.

Sebagai contoh, syarikat tempatan boleh menggunakan AI untuk menganalisis data transaksi pelanggan dan mengenal pasti corak pembelian yang terkini, membolehkan mereka menyediakan produk dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan pelanggan.

 

Meramalkan trend pasaran

Dengan analisis data yang berkesan, Model Perniagaan AI dapat membantu syarikat tempatan meramalkan trend pasaran dengan lebih tepat. Dengan memahami trend dan permintaan pasaran, syarikat tempatan dapat membuat keputusan perniagaan yang lebih baik, termasuk dalam penetapan harga, pengembangan produk baharu dan strategi pemasaran.

Sebagai contoh, syarikat tempatan dalam Industri tekstil dan pakaian boleh menggunakan AI untuk menganalisis data tren fesyen untuk meramalkan permintaan untuk jenis pakaian tertentu, membolehkan mereka menyediakan produk dengan lebih efisien dan mengurangkan pembaziran.

 

Penyesuaian produk dan perkhidmatan

AI membolehkan syarikat tempatan menyesuaikan produk dan perkhidmatan mereka dengan lebih baik berdasarkan keperluan dan kehendak pelanggan. Dengan menganalisis data pelanggan secara terperinci, syarikat tempatan dapat mengetahui pilihan, keperluan dan pola pembelian pelanggan mereka. Dengan maklumat ini, mereka boleh menambah baik produk sedia ada, memperkenalkan produk baharu yang relevan dan meningkatkan kepuasan pelanggan.

Sebagai contoh, syarikat tempatan dalam industri makanan dan minuman boleh menggunakan AI untuk menganalisis data maklum balas pelanggan dan data pembelian untuk mengenal pasti keperluan pelanggan dan seterusnya memperkenalkan produk baharu atau menu yang disesuaikan dengan citarasa pelanggan.

 

Peningkatan efisiensi operasi

Model Perniagaan AI dapat membantu proses automasi perniagaan, yang dapat meningkatkan kecekapan operasi syarikat. Dengan mengautomasikan tugas-tugas rutin dan mengurangkan kerja manual, syarikat tempatan dapat mengurangkan kesilapan manusia, meningkatkan produktiviti dan menjimatkan kos.

Contohnya, syarikat tempatan dalam industri pembuatan boleh menggunakan robot AI dalam mengendalikan proses pemasangan komponen untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran.

 

Peningkatan pengalaman pelanggan

Model Perniagaan AI membolehkan syarikat tempatan menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik. Perkhidmatan pelanggan berasaskan AI seperti chatbot adalah teknologi penting dalam era AI. Dengan menggunakan AI, chatbot dapat memberikan layanan yang pantas dan berkesan kepada pelanggan. Menerusi respon segera, chatbot menyediakan maklumat yang diperlukan dengan cepat dan tepat.

Selain itu, realiti tambahan (AR) membolehkan pelanggan untuk berinteraksi dengan produk atau perkhidmatan secara langsung melalui pengalaman digital yang menyeronokkan.

Contohnya, aplikasi AR untuk hiasan dalaman rumah membolehkan pelanggan untuk “menguji” produk dalam ruang mereka sendiri sebelum membuat keputusan pembelian. Teknologi AI memberi pengalaman pelanggan yang lebih interaktif, menarik dan berkesan.

 

Pengurangan risiko dan ketidakpastian

Dengan analisis data yang terperinci dan meramal dengan tepat, model perniagaan AI dapat membantu syarikat tempatan mengurangkan risiko dan ketidakpastian dalam membuat keputusan perniagaan. Dengan memahami faktor-faktor yang mempengaruhi operasi perniagaan mereka dan meramalkan potensi risiko dan peluang, syarikat tempatan dapat mengambil tindakan yang diperlukan untuk meminimumkan risiko yang dihadapi oleh syarikat.

Sebagai contoh, syarikat tempatan dalam industri logistik boleh menggunakan AI dalam meramalkan permintaan untuk perkhidmatan pengangkutan pada musim perayaan dan mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan kapasiti dan efisiensi operasi mereka dalam menghadapi lonjakan permintaan dalam pasaran.

 

Pemasaran yang lebih efektif dan bersasar:

Dengan memanfaatkan data pelanggan dan analisis AI, syarikat tempatan dapat meningkatkan keberkesanan strategi pemasaran mereka. Dengan memahami profil pelanggan dan keperluan mereka, syarikat tempatan dapat menyasarkan kempen pemasaran mereka kepada kumpulan sasaran yang lebih tepat dan berkesan.

Keupayaan AI dalam platform media sosial telah mengubah landskap pemasaran digital. AI membolehkan penyesuaian iklan secara dinamik berdasarkan perilaku dan minat pengguna untuk menarik perhatian mereka. Ini membantu penyusunan strategi pemasaran yang lebih efisien dan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna, menjadikan pemasaran di platform media sosial lebih efektif dan bersasar.

Sebagai contoh, platform e-dagang menggunakan AI untuk menganalisis produk yang dicari oleh pelanggan. Berdasarkan analisis ini, sistem AI dapat mengetahui kecenderungan dan minat pelanggan serta mencadangkan produk yang serupa atau sesuai. Dengan cara ini, pengiklan dapat menyampaikan iklan atau tawaran produk yang relevan secara langsung kepada pelanggan.

 

Meningkatkan inovasi produk dan perkhidmatan

Penggunaan AI mampu meningkatkan inovasi produk dan perkhidmatan. AI boleh digunakan untuk mencipta prototaip, melakukan ujian dan simulasi secara pantas, serta menilai keberkesanan dan ketahanan produk baharu. Ini memberi kelebihan kepada syarikat membuat produk yang lebih baik dan berinovasi ke pasaran serta memperkukuhkan kedudukan mereka dalam industri.

Sebagai contoh, syarikat tempatan boleh menggunakan AI untuk menguji produk dalam pelbagai keadaan tanpa perlu pembinaan fizikal. Hasilnya, mereka dapat membina produk yang lebih berkualiti, inovatif dan kebolehpercayaan produk yang tinggi.

 

Meningkatkan kebolehlaksanaan pekerjaan berisiko dan kualiti pekerjaan

Dengan mengautomatiskan tugas-tugas rutin dan mengurangkan kerja manual, Model Perniagaan AI dapat membantu meningkatkan kualiti pekerjaan dan kebolehlaksanaan pekerjaan yang berisiko. Dengan mengurangkan kesilapan manusia dan meningkatkan kecekapan operasi, syarikat tempatan dapat memastikan bahawa pekerja mereka dapat bekerja dengan lebih efisien dan berkesan serta mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.

Sebagai contoh, syarikat tempatan dalam industri pembuatan boleh menggunakan robot AI untuk mengendalikan operasi pembersihan dan penyelenggaraan yang merbahaya untuk mengurangkan risiko cedera pekerja di tempat kerja.

 

Meningkatkan kerjasama dan keterlibatan pekerja:

Model Perniagaan AI dapat memainkan peranan penting dalam meningkatkan kerjasama dan keterlibatan pekerja dalam membuat keputusan. Dengan menyediakan akses kepada data dan perisian AI yang relevan, syarikat tempatan dapat melibatkan pekerja mereka dalam membuat keputusan yang lebih baik dan mengambil tindakan yang tepat.

Sebagai contoh, syarikat tempatan dalam industri perkhidmatan boleh menggunakan platform AI untuk mengumpulkan maklum balas dan idea daripada pekerja mereka. Ini membolehkan pekerja mereka menyumbang kepada penambahbaikan proses perniagaan dan meningkatkan keberkesanan operasi.

 

Keselamatan data dan ancaman siber

AI dapat meningkatkan keselamatan data dengan berkesan. Perisian AI boleh digunakan untuk mengesan dan menghalang ancaman siber secara automatik. AI mampu menganalisis pola-pola yang mencurigakan dalam lalu lintas data untuk mengenal pasti aktiviti yang tidak wajar atau serangan yang berpotensi.

AI mampu membantu organisasi meningkatkan kebolehpercayaan dalam menjaga keselamatan data mereka dan memastikan keselamatan maklumat pengguna.

Kesimpulannya, model perniagaan berasaskan AI memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya saing syarikat tempatan. Dengan memanfaatkan keupayaan analisis data, pengurangan kos operasi, strategi pemasaran yang lebih berkesan dan peningkatan pengalaman pelanggan, syarikat tempatan akan lebih kompetitif dan terus berkembang dalam ekonomi global yang semakin mencabar ini. Dengan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk melaksanakan Model Perniagaan AI, syarikat tempatan dapat menghasilkan nilai tambah untuk pelanggan mereka, meningkatkan efisiensi operasi dan meningkatkan daya saing dalam pasaran yang semakin kompleks dan dinamik ini.

 

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)