Oleh Ir. Dr. Ahmad Hamdan Ariffin, Mohammad Fahmi Pairan

BATU PAHAT, 4 Feb 2024 – Bagi menyemai minat pelajar sekolah terhadap bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), Research Centre for Unmanned Vehicle (ReCUV) dan Aerodynamics and Propulsion Research (APR), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan satu program perkongsian ilmu bertajuk “Rocket for Education” melibatkan pelajar sekolah menengah sekitar daerah Batu Pahat.

Program dengan kerjasama High Energy Material Research Laboratory (HEMREL), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat itu telah diadakan di Perpustakaan Tunku Tun Aminah manakala aktiviti pelancaran roket pula dilaksanakan di Padang C, kampus induk.

Menurut ketua program, Dr. Ahmad Hamdan Ariffin, program yang melibatkan penyertaan 24 sekolah sekitar daerah Batu Pahat itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan teknologi dan proses pembuatan roket perum, iaitu sebuah roket yang digunakan untuk menghantar barang ke ruang angkasa lepas.

“Kandungan program turut meliputi sejarah teknologi roket, proses penilaian reka bentuk menggunakan perisian Open Rocket, pengenalan kepada telemetry serta pembuatan dan penggabungan roket perum,” katanya. 

Sepanjang program berlangsung, seramai lapan fasilitator terdiri daripada pelajar sarjana muda FKMP telah membimbing 52 peserta bagi menghasilkan roket perum.

Program itu juga dirangka sebagai salah satu inisiatif FKMP menyokong hasrat UTHM untuk menyebarluaskan ilmu kepada komuniti.

Hasil perkongisan ilmu tersebut akan diaplikasikan oleh peserta sebagai persediaan menyertai pertandingan Malaysia Rocket Competition 2024 (MRC 2024) yang akan diadakan pada 3 dan 5 September akan datang bertempat di Felcra Seberang Perak, Perak. 

“Inisiatif ini selari dengan hasrat UTHM menjadi universiti teknikal global dalam teknologi lestari dan pengangkutan.

UTHM akan terus komited meneroka ilmu baharu sekali gus berkongsi dengan masyarakat agar nilai keilmuan akan terus mekar dalam kalangan generasi muda,” tambah Dr. Ahmad Hamdan.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 23 Februari 2024: UTHM anjur Rocket for Education

https://malaysiagazette.com/2024/02/23/uthm-anjur-rocket-for-education/