Majikan perlu bantu pekerja hadapi ancaman AI

Gambar hiasan : iluminasi.com

Ancaman kehilangan pekerjaan akibat kemajuan Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin (ML) sangat kritikal, dengan lebih daripada 4.5 juta pekerja di Malaysia berisiko kehilangan pekerjaan menjelang tahun 2030. Data dari Kementerian Sumber Manusia menunjukkan bahawa sektor pekerjaan asas atau sokongan menghadapi ancaman yang serius disebabkan oleh kepesatan teknologi AI.

Pekerjaan utama yang bakal diambil alih oleh AI termasuk perkeranian perbankan, juruwang, juru tiket, penterjemah, pegawai khidmat pelanggan, pemandu pengangkutan awam, penyambut tetamu dan beberapa pekerjaan lain.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, secara keseluruhan lebih kurang 83 juta pekerjaan di peringkat global dijangka hilang akibat kemajuan teknologi ini. Keupayaan AI untuk menggantikan tugas manusia dengan lebih efektif, sistematik dan kos yang lebih kompetitif menyebabkan ‘pekerjaan pupus’ terutama dalam bidang perbankan, khidmat pelanggan dan perkeranian.

Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 menunjukkan penurunan yang signifikan dalam sektor pekerjaan berorientasikan kepada perkeranian dan mereka yang terlibat dalam kerja penyimpanan rekod serta pengurusan maklumat. Sektor pekerjaan ini dijangka menghadapi penurunan lebih daripada 50 peratus, sementara sektor pekerjaan analisis data, pakar data raya, penganalisis risikan perniagaan, jurutera data, penganalisis keselamatan maklumat, pakar internet pelbagai benda (IoT) pembangunan perisian dan aplikasi serta beberapa pekerjaan baharu lain berkembang pesat sekitar 30 hingga 35 peratus. 97 juta pekerjaan baharu akan wujud yang berasaskan teknologi ini.

Kerajaan sedang berusaha membawa peneraju industri AI ke Malaysia untuk menjadikan negara sebagai hab AI di rantau ini. Usaha ini melibatkan pembangunan infrastruktur AI yang terbaik bagi menarik syarikat pemula niaga untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat utama bagi sektor ini. Langkah ini dilaksanakan melalui pelaksanaan strategi dan penambahbaikan ekosistem AI dalam pelan tindakan Kuala Lumpur 20 (KL20), dijadualkan dilancarkan pada 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan penubuhan pusat pengajian AI pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan peruntukan awal RM20 juta dalam belanjauan 2024. Komitmen ini menunjukkan bahawa inovasi dan bakat digital perlu diperkasakan khususnya dalam bidang AI bagi meningkatkan daya saing ekonomi negara yang lebih kukuh.

Dalam era digital yang semakin pesat ini, kebolehan pekerja untuk beradaptasi dengan teknologi baharu seperti AI adalah kunci kejayaan untuk mengekalkan daya saing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar. Oleh itu, majikan perlu mengambil inisiatif untuk menyediakan latihan dan sokongan yang mencukupi bagi memastikan pekerja terus relevan dalam pasaran buruh.

Program Kesedaran

Majikan perlu menyedari keperluan pekerja untuk memahami teknologi AI. Program latihan yang khusus perlu disusun untuk pekerja tentang konsep AI, bagaimana ia berfungsi dan bagaimana ia dapat diterapkan dalam persekitaran pekerjaan. Ini tidak hanya membantu pekerja memahami perubahan yang berlaku tetapi juga membuka minda mereka kepada peluang baharu yang boleh dicipta oleh teknologi ini.

Latihan teknikal

Latihan teknikal perlu diberikan untuk memastikan pekerja mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk berinteraksi dengan sistem AI. Ini termasuk kemahiran seperti penggunaan perisian AI, analisis data dan pengoptimuman proses menggunakan teknologi AI. Program latihan ini haruslah disesuaikan dengan keperluan industri dan pekerjaan tertentu untuk memastikan pekerja memiliki kemahiran praktikal dan sesuai dengan konteks kerja mereka.

Latihan insaniah

Latihan insaniah juga harus diutamakan. Kecerdasan emosi, kepimpinan dan kemampuan berkolaborasi adalah kemahiran insaniah yang tidak dapat digantikan oleh AI. Majikan perlu menyedari nilai tambah yang pekerja dapat sumbangkan kepada syarikat dengan meningkatkan kemahiran ini. Program pembangunan yang bersesuaian perlu disusun untuk membantu pekerja memahami dan meningkatkan kemahiran insaniah mereka.

Kemahiran inovatif

Majikan juga perlu memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran inovatif dalam kalangan pekerja mereka. Membangunkan kebolehan untuk mencipta dan mengimplementasikan idea-idea inovatif adalah kritikal dalam menghadapi ancaman AI. Latihan kemahiran ini dapat membantu pekerja untuk memahami bagaimana mereka boleh mengaplikasikan teknologi AI untuk meningkatkan nilai produk, perkhidmatan, atau proses kerja mereka supaya daya saing dapat ditingkatkan.

Program latihan semula

Majikan perlu menyedari kebimbangan pekerja terhadap kehilangan pekerjaan mereka akibat automasi oleh AI. Oleh itu, program latihan semula juga perlu diberikan untuk membolehkan pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan dan mengembangkan kemahiran yang relevan dengan permintaan pasaran kerja. Majikan perlu menyediakan sokongan kewangan untuk pekerja melibatkan diri dalam program latihan semula ini.

Budaya syarikat terhadap AI

Penting juga untuk membina budaya syarikat yang positif terhadap penggunaan teknologi AI. Pekerja harus bersemangat dan yakin dalam mengambil inisiatif untuk memanfaatkan teknologi ini untuk kebaikan organisasi dan diri mereka sendiri. Majikan perlu membina kesedaran dan mempromosikan pemikiran inovatif dan proaktif dalam kalangan pekerja mereka.

Pengurusan sumber manusia

Majikan juga perlu mempertimbangkan penggunaan AI untuk meningkatkan pengurusan sumber manusia. AI perlu digunakan untuk menyelaraskan pekerja dengan tugasan yang sesuai berdasarkan kekuatan dan kebolehan pekerja. Ini bukan sahaja meningkatkan kepuasan pekerja tetapi juga memberikan faedah kepada organisasi dengan meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Kesedaran etika dan keselamatan data

Penekanan pada etika penggunaan AI juga perlu menjadi aspek utama dalam latihan pekerja. Majikan perlu memastikan pekerja memahami etika dan tanggungjawab yang terlibat dalam penggunaan teknologi AI. Ini termasuk privasi data dan ketelusan dalam penggunaan algoritma dan keputusan AI.

Sokongan psikososial

Sokongan psikososial juga harus diberikan kepada pekerja. Kebimbangan dan ketidakpastian yang mungkin timbul akibat transformasi pekerjaan oleh teknologi AI dapat memberi tekanan kepada pekerja. Oleh itu, penyediaan sokongan emosi dan komunikasi yang berkesan adalah faktor-faktor yang penting dalam memastikan kesejahteraan pekerja dan meningkatkan keupayaan mereka untuk menangani cabaran AI.

Insentif AI

Majikan juga perlu mempertimbangkan pemberian insentif bagi pekerja yang bersedia untuk mengambil tanggungjawab tambahan dalam memimpin dan menguruskan projek-projek berkaitan dengan teknologi AI. Ini tidak hanya membantu dalam meningkatkan keupayaan pekerja tetapi juga mencipta budaya kerja yang mendorong inovasi dan kepemimpinan di tempat kerja.

Kerjasama dengan institusi pendidikan

Selain daripada itu, kerjasama dengan institusi pendidikan dan penyedia latihan luar adalah langkah yang strategik. Majikan boleh memanfaatkan sumber luar untuk menyediakan latihan yang spesifik kepada keperluan organisasi mereka. Ini tidak hanya membuka akses kepada kemahiran terkini tetapi juga membina rangkaian yang boleh memberikan manfaat kepada syarikat dalam jangka masa panjang.

Kesimpulannya, majikan mempunyai tanggungjawab besar dalam menyediakan pekerja mereka untuk menghadapi ancaman AI. Dengan menyusun program latihan yang holistik, memfokuskan pada kemahiran teknikal dan insaniah, serta mendorong budaya syarikat yang inovatif, majikan dapat membantu pekerja mereka beradaptasi dan berkembang dalam era AI. Ini bukan hanya merupakan pelaburan untuk pekerja, tetapi juga suatu langkah penting untuk memastikan kelestarian dan kejayaan organisasi dalam dunia AI yang berkembang dengan pantas.

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah Kanan dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 15), 12 Februari 2024: Majikan perlu bantu pekerja hadapi ancaman AI 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 12 Februari 2024: Majikan perlu bantu pekerja hadapi ancaman AI 

https://www.utusan.com.my/rencana/2024/02/majikan-perlu-bantu-pekerja-hadapi-ancaman-ai/

 

 

 

 

 

Categories
E-WacanaKeratan Akhbar 2024Rencana
Subscribe