UTHM dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa lancar ‘Peta Kerjaya’

BATU PAHAT, 5 Feb 2024 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah melancarkan ‘Peta Kerjaya’ bagi bidang Perkhidmatan Makanan melalui penganjuran Program Global Partnership Initiative: Navigate Your Future and Launching of Career Progression Map in Food Services Industry bertempat di Dewan Sultan Ibrahim (DSI), kampus induk.

Program yang disokong oleh Yayasan Standard Chartered (SCF) itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dan Pusat Pembelajaran Berterusan dan APEL (PPBA), UTHM serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut Ketua Projek Young FutureMakers, Prof. Madya Ts. Dr. Affero Ismail, program tersebut dianggap sebagai tindak balas yang positif oleh UTHM dan ILO terhadap krisis Covid-19 yang telah memberi kesan kepada pasaran buruh di Malaysia, terutama dalam kalangan belia dan golongan wanita.

“Pelaksanaan projek Young Futuremakers Malaysia pada tahun 2022-2023 oleh ILO dengan kerjasama SCF diharap dapat membantu negara mengatasi cabaran untuk meningkatkan kebolehpasaran golongan muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) di Malaysia,” katanya.

UTHM yang mengetuai projek tersebut telah menyumbang kepada pembangunan peta kemajuan kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan.

Pada majlis yang sama, MYFutureJobs juga mengambil peluang untuk membincangkan peta kemajuan kerjaya dengan lebih terperinci, khususnya berkaitan dengan hala tuju dan peluang kerjaya pada masa hadapan bersama pelajar. 

Inisiatif yang diambil UTHM dan ILO itu diharap dapat menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara yang mampan pada masa depan, selain menyokong usaha negara dalam membantu belia termasuk golongan wanita, dalam meningkatkan kesedaran mengenai peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan makanan.

Turut hadir ke majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin wakil rasmi Naib Canselor UTHM, Pakar Pekerjaan Belia, Unit Analisis Ekonomi dan Sosial Wilayah, Pejabat Serantau ILO untuk Asia Pasifik, Felix Weidenkaff, wakil Yayasan Standard Chartered (SCF) serta wakil UTHM, industri serta institusi pengajian tinggi setempat.

 

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysiakini.com (malaysiakini.com), 23 Februari 2024: ILO dan UTHM bantu belia ketahui Laluan Kerjaya dalam Industri Perkhidmatan Makanan

https://www.malaysiakini.com/brandedcontent/697089

Categories
Keratan Akhbar 2024Pendidikan Teknikal Vokasional
Subscribe