Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat lebih daripada 907,065 PKS di negara ini, dan mereka menyumbang hampir 40 peratus kepada keluaran ekonomi negara. Peruntukan yang besar dalam Belanjawan 2024 telah disediakan kerana kerajaan sedar PKS adalah tulang belakang kepada ekonomi negara. Selaras dengan itu, keseluruhan RM44 bilion telah disediakan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2024 untuk kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan. Oleh itu, PKS perlu memanfaatkan sepenuhnya segala insentif yang diberikan oleh kerajaan untuk meningkat daya saing mereka dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Dalam menghadapi persekitaran perniagaan yang semakin kompetitif, PKS perlu berusaha untuk meningkatkan nilai tambah syarikat. Nilai tambah ini akan dapat meningkatkan nilai, kualiti produk dan perkhidmatan melalui pelbagai proses penambahbaikan. Peningkatan nilai tambah bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan, tetapi juga dapat memberikan kelebihan daya saing kepada PKS di pasaran tempatan dan global.

 

Konteks ekonomi Malaysia dan cabaran PKS

PKS berhadapan dengan pelbagai cabaran yang menuntut mereka meningkatkan nilai tambah syarikat. PKS berdepan kekangan yang sama seperti masalah kewangan, kepakaran terhad, kekangan teknologi dan persaingan pasaran. Persaingan yang semakin sengit, terutamanya daripada syarikat besar dan global, menyebabkan PKS perlu membangunkan strategi yang lebih cekap dan inovatif untuk memenangi pasaran. Cabaran teknologi juga memerlukan PKS untuk mengadopsi perubahan dalam operasi dan pengeluaran, meningkatkan efisiensi melalui nilai tambah.

Keperluan pematuhan standard dan kualiti adalah cabaran yang perlu diatasi. Kajian PKS oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MERI) menunjukkan hampir 30 peratus PKS berdepan dengan cabaran pematuhan dengan standard kualiti. Meningkatkan kualiti produk atau perkhidmatan dapat membina kepercayaan pelanggan dan membuka pintu kepada pasaran yang lebih luas.

Selain itu, pembangunan modal insan dan kekurangan tenaga kemahiran dalam pasaran kerja adalah cabaran yang memerlukan pelaburan dalam pendidikan dan latihan. Pekerja yang kompeten mampu memberikan sumbangan yang lebih besar dalam proses nilai tambah kepada syarikat.

PKS juga perlu meningkatkan nilai tambah bagi memastikan kelestarian, kepuasan pelanggan dan pertumbuhan dalam persekitaran perniagaan yang berubah dengan cepat. Oleh itu, nilai tambah bukan hanya menjadi keperluan, tetapi satu-satunya kemestian untuk meningkatkan daya saing PKS dan bersaing dalam ekonomi yang dinamik.

Dengan memahami dan mengatasi cabaran ini, PKS mampu mencapai kelestarian dan pertumbuhan yang berterusan dalam ekosistem perniagaan global yang semakin kompleks. Oleh itu, PKS perlu laksana strategi untuk meningkatkan nilai tambah bagi memastikan daya saing dan kejayaan jangka panjang mereka.

 

Peningkatan daya saing melalui inovasi produk

Inovasi produk adalah elemen yang penting dalam meningkatkan nilai tambah. PKS perlu membangunkan produk yang unik dan dapat bersaing untuk memenuhi kehendak pasaran tempatan dan antarabangsa. Dengan penyelidikan dan pembangunan produk, PKS mampu menghasilkan produk yang lebih baik dan menarik minat pelanggan. Inovasi produk bukan hanya membezakan PKS daripada pesaing, tetapi juga meningkatkan imej dan reputasi mereka.

 

Peningkatan kualiti sebagai fokus utama

Peningkatan kualiti produk atau perkhidmatan adalah strategi penting dalam meningkatkan nilai tambah produk. PKS perlu memastikan bahawa produk atau perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi atau melebihi standard kualiti yang ditetapkan. Pelanggan cenderung memilih produk yang berkualiti, dan oleh itu peningkatan kualiti merupakan langkah yang diperlukan untuk menarik dan mengekalkan pelanggan.

 

Penggunaan teknologi untuk meningkatkan produktiviti

Penggunaan teknologi adalah penting untuk meningkatkan nilai tambah dalam operasi PKS. Penggunaan sistem maklumat yang terkini, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pintar boleh membantu meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan meningkatkan proses pengeluaran. PKS perlu mengadopsi teknologi yang sesuai dengan keperluan mereka untuk mendapat manfaat dalam jangka masa panjang.

 

Pembangunan Modal Insan dan Kemahiran

Pembangunan modal insan adalah aspek yang tidak boleh diabaikan dalam peningkatan nilai tambah syarikat. PKS perlu melabur dalam latihan dan pembangunan pekerja untuk meningkatkan kemahiran mereka. Tenaga kerja yang terlatih dan berkemahiran dapat memberikan impak yang besar dalam proses pengeluaran, penyampaian perkhidmatan dan inovasi syarikat.

 

Strategi Pemasaran yang Berkesan

Pemasaran yang berkesan adalah kunci untuk meningkatkan nilai tambah kepada pemasaran dan penjenamaan syarikat. PKS perlu memahami pasaran mereka, mengetahui keperluan pelanggan dan menyusun strategi pemasaran yang sesuai. Melalui platform e-dagang, media sosial dan strategi pemasaran digital, PKS dapat mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pelanggan, membuka peluang untuk pertumbuhan dan diversifikasi. Penglibatan pelanggan dalam proses pembangunan produk dan memahami keperluan mereka dapat membantu PKS meningkatkan nilai tambah yang lebih berkesan.

 

Analisis data untuk pengambilan keputusan bijak

Data raya adalah aset yang sangat bernilai. PKS perlu memanfaatkan analitik data untuk mendapatkan maklumat yang mendalam terhadap pasaran, keperluan pelanggan dan prestasi perniagaan. Keputusan yang berasaskan data membolehkan PKS meramalkan tren dan mengambil tindakan yang diperlukan untuk pertumbuhan syarikat.

 

Keperluan pematuhan standard dan kualiti

Pematuhan standard industri dan kualiti adalah aspek penting dalam meningkatkan daya saing PKS. Dengan memastikan produk atau perkhidmatan mematuhi standard yang ditetapkan, PKS dapat membina keyakinan pelanggan dan mendapatkan kepercayaan pasaran. Pematuhan standard juga dapat membuka pintu kepada pasaran global dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.

 

Kolaborasi industri dan rantai bekalan

PKS perlu menggalakkan kerjasama dalam industri dan membina hubungan yang kukuh dalam rantai bekalan. Ini dapat membantu PKS mendapatkan akses kepada sumber dan teknologi yang lebih tinggi, meningkatkan efisiensi operasi dan mencipta peluang untuk meningkatkan nilai tambah melalui kerjasama yang saling menguntungkan.

 

Inovasi dalam kelestarian

Teknologi hijau menawarkan peluang untuk mengadopsi amalan perniagaan yang lebih lestari. PKS perlu mengunakan teknologi hijau, pengurusan sumber tenaga yang efisien dan bahan mesra alam untuk menjana nilai tambah dari perspektif alam sekitar, sekali gus memenuhi tuntutan pelanggan yang semakin prihatin terhadap isu kelestarian.

 

Kesimpulannya, dalam menghadapi cabaran dan persaingan yang semakin kompetitif, PKS perlu memahami kepentingan peningkatan nilai tambah untuk meningkatkan daya saing mereka. Dengan fokus pada inovasi, peningkatan kualiti, penggunaan teknologi, pembangunan modal insan, strategi pemasaran yang berkesan, pematuhan standard dan kolaborasi industri, PKS dapat membina landskap perniagaan yang lebih dinamik dan kekal relevan dalam ekonomi global yang berubah dengan pantas. Peningkatan nilai tambah adalah kunci untuk pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang PKS.

 

 

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 16), 11 Januari 2024: Nilai tambah wajib buat PKS untuk kekal bersaing 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 11 Januari 2024: Nilai tambah wajib buat PKS untuk kekal bersaing 

https://www.utusan.com.my/premium/2024/01/nilai-tambah-wajib-buat-pks-untuk-kekal-bersaing/