Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, PM Ts. Dr. Mohd Halim Irwan Ibrahim, Mohd Nazrin Musling

Lebih 600 beg darah berjaya dikumpul oleh Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sepanjang menjalankan kempen dan program derma darah secara berkala pada tahun 2023.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding jumlah yang berjaya dikumpulkan pada tahun 2022.

Prihatin dengan keperluan golongan yang memerlukan dan bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa mencukupi, KKKP telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan pihak Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dalam menjayakan objektif tersebut.

Menurut Pusat Darah Negara, sebanyak 15,000 hingga 17,000 beg darah diperlukan dalam sebulan.

Berdasarkan statistik, satu beg darah diperlukan setiap 43 saat dan mampu menyelamatkan tiga nyawa.

Justeru itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing selaras dengan kapasiti yang ada.

Walau bagaimanapun, pihak kerajaan dan sektor industri telah memainkan peranan mereka dengan sebaiknya dalam menyediakan kemudahan dan memastikan sektor kesihatan berada dalam keadaan yang optimum.

Beberapa inisiatif telah diambil oleh KKKP antaranya dengan melaksanakan kempen kesedaran, hebahan maklumat serta program pendermaan darah secara konsisten dan sistematik.

Menurut penasihat program, Dr. Mohd Faisal Hushim yang juga Timbalan Pengetua 1 KKKP, peningkatan jumlah kutipan tersebut menunjukkan sikap keprihatinan yang tinggi dalam kalangan warga UTHM dan juga Hab Pendidikan Tinggi Pagoh.

“Pada tahun 2023 juga KKKP telah melakar sejarah apabila mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan sebagai ‘Penganjur Kempen Derma Darah Paling Komited,’ sekali gus melayakkan KKKP menerima anugerah peringkat kebangsaan dua kali berturut-turut.

“Selain itu, KKKP turut diiktiraf di peringkat negeri Johor sebagai penganjur kempen derma darah dengan kutipan paling tinggi pada tahun 2022,” katanya.

Kempen dan program yang dijalankan oleh KKKP itu turut mendapat sokongan padu daripada Pusat Perumahan Pelajar (PRP), UTHM terutama Pengarahnya, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Halim Irwan Ibrahim,yang juga penaung program.

Beliau berkata PRP akan sentiasa memberi sokongan penuh kepada kolej-kolej kediaman pelajar dalam menganjurkan aktiviti dan juga program yang memberikan impak tinggi kepada pelajar UTHM.

“Pihak PRP juga sangat menggalakkan kolej-kolej kediaman pelajar merencanakan program yang bersifat kemasyarakatan, yang mana ianya akan memberikan satu pendedahan dan nilai tambah dalam membentuk jati diri mahasiswa selaras dengan pembentukan diri nilai graduan Global, Resilience, Innovative, Trustworthy, Talent (GRITT) Kolej Kediaman, yang bertunjangkan paradigma tauhid,” katanya.

Kejayaan dan pengiktirafan yang telah diterima itu meningkatkan lagi semangat KKKP untuk terus menjadi tunjang utama bagi memastikan stok darah sentiasa berada dalam jumlah yang mencukupi.