Mengimbau kembali peristiwa pembunuhan beramai-ramai Parit Sulong pada 22 Januari 1942 dahulu, seramai 150 orang tawanan perang melibatkan tentera British dari Australia dan India telah dibunuh oleh tentera Jepun di tapak Jambatan Parit Sulong. Rentetan itu, satu upacara peringatan diadakan pada setiap tahun terutamanya melibatkan pegawai pihak berkuasa tempatan Yong Peng dan anggota tentera Australia. Pada tahun ini, upacara peringatan akan diadakan pada 20 Januari akan datang bersempena dengan peristiwa Pertempuran Muar. Upacara yang diuruskan oleh Kelab Pengkaji Tapak Pertempuran Negeri Johor itu bakal dihadiri bukan sahaja oleh warga tempatan, tetapi juga para pegawai dari Australia dan British serta waris tentera Jepun.
Pada tahun 1998, sejarawan Australia, Lynette Ramsay Silver mula menyelidik mengenai sejarah Parit Sulong, sekali gus membongkar sejarah pertempuran Muar dan pembunuhan beramai-ramai di Parit Sulong. Pada tahun 2007, sebuah monumen peringatan telah didirikan hasil sumbangan daripada pihak berkepentingan dari Australia, dan upacara peringatan itu telah melibatkan penyertaan orang ramai, termasuk pegawai pihak berkuasa tempatan Yong Peng, anggota tentera Australia dan ahli keluarga mangsa. Tugu yang didirikan sebagai tanda peringatan kepada semua yang terkorban semasa pertempuran di Muar tersebut ditulis dengan ayat berikut:
“MEMPERINGATI MEREKA YANG BERJUANG, MENINGGAL DAN MEMPERTARUHKAN NYAWA SENDIRI DI MUAR, BAKRI DAN PARIT SULONG, JANUARI 1942”
Sementara itu, Kamarul Baharin Abd Karim, pemilik Aneka Café yang terletak berhampiran tugu peringatan tersebut turut mempamerkan keratan artikel mengenai ‘Pembunuhan beramai-ramai Parit Sulong,’ dokumen berkaitan dan gambar pengunjung. Moyang kepada Kamarul Baharin merupakan anak Encik Sulong iaitu pengasas Parit Sulong, manakala datuk beliau pula merupakan “soncho” (ketua kampung) Parit Sulong semasa pendudukan Jepun.
Selain itu, terdapat juga lukisan berwarna-warni memaparkan gambar tentera British yang telah dilukis di beberapa kawasan sekitar Parit Sulong. Pada tahun 2020, Galeri Parit Sulong telah didirikan oleh Kamarul Baharin dan Farid Abd Jalil yang terletak di penjuru sebuah bangunan berbumbung oren berdekatan Jambatan Parit Sulong. Tulisan bahasa Jepun yang telah diukir sejak tahun 1944 boleh dilihat di dinding galeri terbabit. Tulisan itu telah diukir pada September 1944 oleh seseorang berbangsa Melayu dikenali sebagai Abdullah sekitar setahun sebelum perang tamat.
Abang kepada Abdullah, seorang pegawai polis telah meninggal di Parit Sulong sempat mencoretkan harapannya agar perang segera berakhir. Teks yang sama juga telah ditulis di kawasan lain di dalam bilik bangunan tersebut. Ia telah diukir di dinding menggunakan objek tajam. Memandangkan bangunan itu tidak berbumbung setelah sekian lama, satu keajaiban berlaku apabila tulisan tersebut tetap kekal dalam keadaan yang baik dan boleh dibaca dengan jelas.
Sejarah pendidikan bahasa Jepun ketika perang turut diteliti oleh ahli persatuan akademik yang mengkaji berkaitan sejarah pendidikan bahasa Jepun. Inisiatif seumpama itu memberi peluang kepada ramai guru bahasa Jepun untuk mendalami sejarah tersebut. Salah seorang ahli pengasas, Hiroshi Tanaka pernah menulis kenyataan berikut.
“Kita sepatutnya menggunakan daya imaginasi untuk memahami bagaimana bahasa Jepun mengukir kenangan dalam pelbagai bentuk dan liku-liku ketika rejim semasa peperangan. Ini juga bagi mengesahkan proses di mana bahasa mempunyai hubung kait dengan peperangan dan syarat yang diperlukan bagi pedagogi bahasa Jepun supaya benar-benar menyumbang kepada asas kajian keamanan.” – Hiroshi Tanaka
Terdapat juga Tugu Peringatan Mangsa Bom Atom di Hiroshima, yang secara rasminya diberi nama ‘Taman Monumen Perdamaian Hiroshima,’ yang padanya tertulis ‘Beristirehatlah dengan tenang, kerana kami tidak akan mengulangi kesalahan kami.’
Inskripsi itu merupakan doa yang dipanjatkan oleh ramai orang untuk ketenangan jiwa para mangsa bom atom dan pada masa yang sama, menjadi harapan agar masyarakat dunia tidak mengulangi kesilapan perang lagi dengan mewujudkan keamanan dunia yang sejati, hidup berdampingan, memelihara kemakmuran seluruh umat manusia serta mengatasi kesedihan dan kebencian pada masa lalu.
Lazimnya, manusia sering mengulangi kesalahan yang sama. Mengapa begitu? Mungkin kerana ramai daripada kita yang lupa tentang sejarah lampau. Kita sepatutnya belajar daripada pengalaman masa lalu. Justeru itu, pada tanggal 20 Januari, satu upacara peringatan akan diadakan di Tugu Peringatan Parit Sulong. Upacara tersebut bertujuan mengajak orang ramai mendekati dan menggunakan imaginasi sendiri bagi menghayati sejarah hitam di lokasi tersebut dan bukan hanya merujuk maklumat mengenai peperangan yang diperoleh daripada berita atau media semata-mata.
Junko Hiyama
Muhammad Azri Hafifi Mohd Zaludin
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)