Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong sebelum ini telah mencadangkan agar Bandaraya Johor Bahru yang berada di koridor pembangunan ekonomi di bahagian selatan negeri Johor yang dikenali sebagai Iskandar Malaysia, dijadikan kawasan metropolitan kedua negara selepas Lembah Klang.  Bakal digelar Greater Johor Bahru,  beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri yakin metropolitan kedua ini mampu menjadi pemangkin untuk kemajuan ekonomi negara.

Iskandar Malaysia telah menjadi tumpuan pelabur serta pengusaha dari dalam dan juga luar negara dan telah menyebabkan peningkatan penduduk dengan jumlah besar yang terdiri dari pendatang ekonomi yang juga rakyat Malaysia. Inisiatif kerajaan ini telah menyebabkan peningkatan permintaan tenaga kerja atas sebab perkembangan ekonomi yang positif.

Peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan di negara jiran juga adalah salah satu sebab meningkatnya populasi penduduk Johor Bahru. Ini adalah kerana mereka bermastautin di Johor Bahru tapi bekerja di Singapura dan berulang alik setiap hari. Ini adalah satu faktor yang menyebabkan berlakunya kesesakan  di Johor Bahru terutamanya di  Tambak Johor dan di Jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura juga dikenali sebagai Linkedua.

Dengan meningkatnya populasi penduduk Iskandar Malaysia ini, satu pelan induk pengangkutan yang komprehensif perlu dirangka. Dilaporkan kerajaan telah menjalankan ujian rintis ke atas sistem Transit Bas Rapid Iskandar Malaysia (IMBRT) dan sedang mengkaji cadangan untuk membina jajaran pengangkutan sistem transit aliran ringan (LRT) untuk memenuhi keperluan pengangkutan awam di samping menambah baik sistem pengangkutan yang sedia ada di Johor Bahru. Angaran kos membina sistem LRT dijangka akan menelan bajet besar yang  menjangkau nilai berbilion ringgit.

Namun sebelum kerajaan berbelanja untuk membina projek mega seperti LRT, kerajaan  perlu mengguna pakai segala infrastruktur yang sedia ada. Salah satunya adalah laluan jalan kereta api.

Di lembah Kelang sebelum kerajaan membina LRT, kerajaan telah menaik taraf laluan landasan kereta api di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dan menawarkan perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Kelang.

Begitu juga di utara semenanjung setelah projek landasan kembar dan eletrikfikasi laluan kereta api KL Sentral ke Padang Besar, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah melancarkan khidmat KTM Utara yang menghubungkan Ipoh-Butterworth–Padang Besar.

Di selatan tanah air KTMB memiliki aset landasan kereta api tunggal yang tidak dielektrifikasi sepanjang 71km antara Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang. Stesen Keretapi Kempas Baru merupakan stesen persimpangan bagi laluan Pelabuhan Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas (PTP).  Dengan menggunakan laluan sedia ada itu, KTMB boleh mewujudkan perkhidmatan komuter sepanjang laluan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang,

Oleh kerana laluan ini tidak dielektrifikasi, KTMB boleh menawarkan perkhidmatan komuter dengan menggunakan kereta api KTM Kelas 61 DMU (diesel multiple unit). DMU kelas ini adalah unit diesel yang sering diguna pakai oleh Keretapi Tanah Melayu di laluan landasan bukan elektrik di Pantai Timur. DMU ini digunakan antara Tumpat, Gua Musang dan Kuala Lipis dan kini digunakan sepenuhnya di laluan pantai timur dengan pembukaan Shuttle Timuran dari Kuala Lipis ke Gemas.

KTM Kelas 61 DMU menyediakan lebih 200 tempat duduk dan 100 ruangan untuk penumpang berdiri, dan amat sesuai digunakan untuk perkhidmatan komuter laluan Pasir Gudang-Kempas Utama-Tanjung Pelepas.

Laluan ini bermula dari Pasir Gudang dan merentas Taman Pasir Puteh, Masai, Seri Alam, Plentong, Johor Jaya, Taman Daya, Kempas Utama, Skudai Utara, Skudai Selatan, Bukit Indah, Iskandar Puteri, Gelang Patah dan tamat di Tanjung Pelepas. Laluan ini juga melalui bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim, ibu pejabat pasukan bola JDT di Iskandar Puteri.

Oleh itu, untuk perkhidmatan komuter ini, KTMB perlu membina stesen kereta api berskala kecil di setiap kawasan tersebut. Stesen yang kecil itu perlu ada kemudahan seperti kaunter atau mesin menjual tiket, kawasan menunggu, kawasan meletak kenderaan dan tandas yang mencukupi untuk kegunaan pengguna.

KTM juga perlu menyediakan landasan berkembar hanya di kawasan tertentu sahaja di laluan tersebut untuk membenarkan kereta api dari berlainan arah berselisih dengan selamat tanpa menganggu jadual perjalanan kereta api tersebut.

Selain dari menyediakan infrastruktur di atas, KTMB perlu membangunkan jadual waktu yang boleh memenuhi keperluan penumpang dan memastikan perkhidmatan komuter ini beroperasi dengan cekap.

Khidmat bas pengantara atau “feeder bus” yang cekap perlu diwujudkan dengan kerjasama kerajaan negeri Johor untuk memudahkan pengguna ke stesen kereta api dan menyambung perjalanan ke destinasi mereka

Tidak lupa juga KTMB perlu merangka pelan pemasaran yang efektif. Tujuannya adalah untuk menghebahkan perkhidmatan baharu itu dan segala faedah apabila menggunakannya.

Faedah seperti pas perjalanan tanpa had seperti My 100 dan My 50 boleh ditawarkan. My100 adalah pas perjalanan tanpa had bernilai RM100 selama 30 hari boleh digunakan bagi perkhidmatan komuter ini dan bas pengantara.  My50 pula pas perjalanan tanpa had RM50 selama 30 hari hanya untuk kegunaan perkhidmatan bas pengantara.

Seperti di negeri-negeri lain, KTMB dijangka menawarkan servis KTM Komuter di selatan tanah air sesudah projek elektrikfikasi dan binaan landasan berkembar di laluan kereta api sepanjang 197 km dari Gemas ke Johor Bahru siap pada tahun 2025. Dengan menggunakan kereta api EMU (Electric Multiple Unit) laluan Kluang-Kulai-Kempas Baru-Johor Bahru Sentral (JB Sentral) boleh diwujudkan.  JB Sentral adalah terminal bas dan kereta api terletak bersebelahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru. Ia adalah laluan penting pintu masuk dan keluar Malaysia-Singapura.

Dengan mengintergrasikan perkhidmatan komuter EMU (laluan Kluang-Kempas Baru-JB Sentra)l dan DMU (laluan Pasir Gudang–Kempas Baru-Tanjung Pelepas) serta menjadikan Stesen KTM Kempas Baru sebagai stesen pertukaran bagi penumpang komuter, satu perkhidmatan komuter yang efektif dapat diwujudkan oleh KTMB. Perkhidmatan komuter yang boleh dipanggil KTM Komuter Selatan ini mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan bagi penduduk Wilayah Iskandar Malaysia.

Perkhidmatan KTM Komuter memang digemari oleh masyarakat kerana ia menawarkan harga tambang berpatutan. Dengan wujudnya perkhidmatan KTM Komuter Selatan ini, ia dapat menawarkan pilihan yang menarik untuk masyarakat tempatan, terutamanya yang mempunyai bajet. Perkhidmatan komuter ini apabila digabungkan dengan perkhidmatan bas perantara yang cekap, berpotensi menjadi mod pengangkutan alternatif kepada pengguna dan ia boleh membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan raya seperti di  lebuh raya Pasir Gudang

Penumpang yang ingin ke Singapura boleh menggunakan perkhidmatan KTM Komuter Selatan ke Stesen KTM JB Sentral. Di JB Sentral mereka boleh meneruskan perjalanan menggunakan bas dan juga perkhidmatan kereta api KTM Shuttle Tebrau yang menghubungkan stesen KTM JB Sentral ke stesen kereta api Woodlands, Singapura yang juga dikenali sebagai Woodlands Train Checkpoint (WTCP).  

Kedudukan stesen KTM JB Sentral juga berdekatan dengan stesen LRT Rapid Transit System Link (RTS Link) yang sedang dibina pada waktu ini. Ia bakal menjadikan alternatif kepada pengguna berulang balik antara Singapura dan Johor. Laluan LRT RTS Link bakal menawarkan perkhidmatan LRT ulang-alik sepanjang kira-kira 4km panjang antara dua stesen, satu di Bukit Chagar, Johor Bahru, Malaysia dan satu di Woodlands, Singapura.

Ia akan menyediakan sistem pengangkutan berkapasiti tinggi, pantas dan cekap. Integrasikan LRT RTS dengan rangkaian KTM Komuter Selatan akan menghubungkan penduduk di sepajang jajaran laluan KTM Komuter Selatan dengan laluan LRT RTS dan juga rangkaian sistem LRT dan MRT Singapura. Ia juga akan memudahkan pergerakan rakyat Singapura ke Johor Bahru dan juga memberi mereka akses kepada rangkaian KTM Komuter Selatan. Ini akan dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Johor Bahru terutamanya di kompleks pusat pemeriksaan imigrasi dan kastam.

Secara keseluruhan, KTM Komuter Selatan akan menjadi aset yang bernilai kepada penduduk Wilayah Iskandar Malaysia di mana ia mampu menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang selamat, boleh dipercayai dan mampu diguna oleh semua, tanpa mengira tahap pendapatan.

Sistem pengangkutan komuter yang cekap boleh menjadi pemangkin kepada ekonomi masyarakat setempat. Kewujudan KTM Selatan akan memudahkan pergerakan penduduk dan meningkat kualiti hidup masyarakat di bandaraya metropolitan kedua negara yang bakal digelar Greater Johor Bahru.

 

 

 

 

Mohamed Ismail KP Hj Pakir Mohamed

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan pada :

Malaysia Gazette (malaysiagazette.com) : KTM Selatan Pemangkin Ekonomi Iskandar Malaysia, artikel penulisan Mohamed Ismail bin K.P Hj Pakir Mohamed, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) UTHM

https://malaysiagazette.com/2023/10/07/ktm-selatan-pemangkin-ekonomi-iskandar-malaysia/