BATU PAHAT – Bertemakan ‘Amplifying Creative Analytical Thinking,’ Persatuan Pelajar Mekanikal bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Pelajar Fakulti Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan 7th MECHYFEST pada 3 hingga 5 Julai 2023 lalu.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik yang bukan sahaja melibatkan pelajar UTHM, malah peserta dari industri dan komuniti setempat.   

Antaranya pameran dan penilaian produk inovasi pelajar melalui slot ‘Symposium on Integrated Engineering Design’ (SIED), jualan produk keusahawanan pelajar, sesi perkongsian ilmu daripada pihak industry, pertandingan ‘E-sport Meka Intra-Challenge Mobile Legend Bang Bang,’ taklimat siswazah bagi mempromosikan program pascasiswazah dan forum kerjaya melibatkan alumni FKMP serta wakil dari institusi perbankan yang membincangkan topik ‘Financial Adulting.’

Kemuncak acara pula menyaksikan berlangsungnya program PAK Perdana yang melibatkan pelajar tahun tiga dan empat FKMP serta pensyarah kanan.

Sesi itu diisi dengan sesi suai mesra antara pelajar dan pensyarah melalui pelaksanaan aktiviti sukan rakyat.

Sementara itu, upacara perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Profesor Dr. Yusri Yusof manakala acara penutup pula disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pembangunan FKMP, Profesor Dr. Hassan Zuhudi Abdullah.

Penganjuran program yang mendapat tajaan ramai pihak itu sekali gus memberi impak yang besar kepada universiti apabila berjaya menarik minat industri untuk menjalinkan hubungan kerjasama terutama dalam bidang teknologi tenaga hijau.

“Dengan terlaksananya program berimpak tinggi sebegini, hubungan antara universiti dan industri dapat diperkukuhkan lagi, selain memberi peluang kepada pelajar FKMP untuk membuat persediaan sebaiknya sebelum bergelar graduan,” kata Dekan FKMP, Prof. Ts Dr. Amir Khalid.

 

– Gambar sekitar kemeriahan 7th MECHYFEST