Tarikh 8 Mac setiap tahun adalah hari sambutan yang tidak asing untuk seluruh kaum wanita sedunia, sejajar dengan konsep MADANI yang dihasratkan oleh Kerajaan Malaysia, tema KASIH WANITA telah terpilih sebagai tema Hari Wanita Antarabangsa 2023. Akronim KASIH ini membawa maksud K (kasih sayang) sebagai menghargai kaum wanita yang sentiasa mencurahkan kasih sayang, A (akhlak mulia) sinonim dengan sifat kaum wanita yang sentiasa menerapkan dan mengekalkan akhlak mulia, S (sihat) wanita juga selalu memastikan diri dan keluarga sihat, I (ilmu) wanita hari ini dilihat turut sama bersaing seiring kaum lelaki dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan. Manakala H (harmoni) sinonim dengan sifat kaum wanita yang sentiasa memelihara keharmonian sekeliling.

Peranan wanita masa kini setanding dengan kaum lelaki. Wanita kini dilihat lebih hebat dan kuat dalam menghadapi pelbagai cabaran dan liku kehidupan. Biarpun mereka jatuh, mereka lebih cepat bangkit semula. Siapakah wanita? Kita semua juga dilahirkan oleh wanita yang hebat dan kuat. Melahirkan dan mendidik bukanlah satu tanggungjawab atau perkara yang mudah dan kecil jika dilihat dari kaca mata manusia. Ianya memerlukan pengorbanan dan kekuatan yang tidak lain tidak bukan dipikul oleh kaum wanita.

Kehebatan wanita dilihat dalam pelbagai bidang dan menjadi sumber inspirasi kepada semua orang. Bertahun-tahun lamanya, wanita telah bangkit memainkan peranan penting dalam membantu perjalanan kehidupan dan memberikan sumbangan penting dalam pelbagai bidang.

Kini, wanita memiliki banyak kehebatan dan potensi yang harus diakui dan dihargai dalam kehidupan dan masyarakat. Wanita hari ini dilihat memiliki keberanian yang luar biasa untuk menghadapi cabaran dan ujian dalam kehidupan. Mereka sering kali mengambil risiko dan berjuang untuk mengatasi rintangan yang menghalangi mereka. Antara kelebihan yang dimiliki kaum wanita adalah kebiasaannya dianugerahkan dengan lebih sifat empati dan keibuan seterusnya dapat merasakan perasaan orang lain dengan lebih baik. Mereka mempunyai kemampuan untuk memahami apa yang orang lain rasakan.

Wanita kini juga selalu memiliki kecenderungan yang kuat untuk berfikiran kreatif dan berinovasi. Mereka menemui pelbagai jalan penyelesaian yang unik untuk masalah yang rumit dan memberikan idea serta buah fikiran yang segar dalam masa yang sama memberi motivasi kepada orang lain.

Sama ada yang bekerjaya mahu pun suri rumah sepenuh masa, wanita memiliki kemampuan untuk bekerja keras dan tekun dalam mengejar tujuan mereka. Mereka tidak mudah menyerah sebaliknya terus berjuang sehingga menemui hasil untuk mencapai apa yang mereka inginkan dalam kehidupan baik untuk diri sendiri atau ahli keluarga mereka. Setiap cabaran dan halangan akan diselesaikan semampunya. Lebih kuat lagi, wanita sering kali memiliki kemampuan untuk melakukan beberapa tugasan dalam satu masa, seperti bekerja sambil mengurus keluarga atau kegiatan sosial lainnya.

Mereka dilihat memiliki kelebihan dengan naluri yang kuat dan sering dapat meramalkan apa yang akan terjadi atau merasakan perubahan suasana hati orang lain. Naluri ini sangat penting dalam menunjukkan keprihatinan dalam apa jua yang berlaku di sekelilingnya dan dalam masa yang sama wanita lebih berhati – hati sekiranya berhadapan situasi bahaya dan sukar.

Wanita memiliki keterampilan sosial yang baik dan mudah untuk berhubungan dengan orang lain. Mereka cenderung memiliki kemampuan untuk membangun hubungan yang kuat dan memberi inspirasi orang lain untuk berbuat lebih baik. Ini mungkin kerana secara semulajadi wanita dianugerahkan dengan sifat penuh lemah lembut. Sifat kelembutan yang ada dalam diri wanita kini bukan lagi dilihat sebagai petanda mereka lemah, malah sebenarnya wanita mampu memecahkan masalah secara kreatif dengan menggunakan pelbagai pendekatan. Mereka juga sering melihat masalah dari pelbagai sudut yang mana mungkin kelihatan sulit dan kompleks pada pandangan orang lain, namun hakikatnya ia dapat membantu dengan lebih cepat dalam proses penyelesaian masalah.

Menghormati hak wanita adalah tugas yang sangat penting dalam masyarakat. Wanita harus dihormati melalui pelbagai aspek seperti contoh memberi penghargaan tentang keberadaan wanita sebagai manusia yang setara dengan kaum lelaki dan memiliki hak yang sama dalam persekitaran tempat kerja, keluarga dan masyarakat. Islam juga tidak membezakan mereka dengan kaum lelaki terutama dalam ibadat. Setiap mereka mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT mengikut amalan yang dikerjakan mereka sama ada lelaki mahu pun kaum perempuan.

Islam turut menitikberatkan tentang hak kaum wanita dan apa yang diperlakukan ke atas mereka.

“Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian daripada apa yang kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah An-Nisa, ayat 19)

Kita juga perlu menghormati hak wanita dengan memberikan kesempatan yang sama bagi wanita dalam bidang pendidikan, pekerjaan, layanan kesihatan dan kegiatan sosial dan politik. Antara cara lain menghormati hak wanita adalah dengan tidak melakukan diskriminasi terhadap wanita berdasarkan agama atau status sosial selain meningkatkan kesedaran terhadap hak-hak wanita dan pentingnya memerangi semua bentuk diskriminasi dan kekerasan. Berikan galakan sebaiknya serta menghormati penyertaan kaum wanita dalam menentu dan membuat keputusan tentang kepemimpinan di semua bidang, baik dalam pemerintahan, perniagaan, mahupun kemasyarakatan. Selamat Hari Wanita buat semua kaum wanita. Percayalah anda semua sangat hebat.

 

 

Nurulisyazila Othaman

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbikan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 19), 28 Mac 2023: Ramai tidak sedar kehebatan wanita dari pelbagai sudut

 

2. Utusan (utusan.com.my), 28 Mac 2023: Ramai tidak sedar kehebatan wanita dari pelbagai sudut

Ramai tidak sedar kehebatan wanita dari pelbagai sudut

 

3. Melaysiakini (melaysiakini.com), 28 Mac 2023: Ramai tidak sedar kehebatan wanita dari pelbagai sudut

https://www.melaysiakini.com/ramai-tidak-sedar-kehebatan-wanita-dari-pelbagai-sudut-83724.html