Pelbagai kemajuan teknologi telah dicapai manusia pada hari ini seperti yang terdapat dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Antara teknologi utama IR4.0 ialah Internet Kebendaan (IoT) yang membolehkan aktiviti seperti pemantauan dan pengesahan menggunakan sensor-sensor kecil yang dipasang pada objek (benda) atau lokasi yang dihubungkan dengan Internet. Data-data yang dipungut oleh sensor ini akan dikumpul dan dianalisis untuk menentukan tindakan seterusnya yang perlu dilakukan. Dianggarkan kini terdapat 20 bilion peralatan IoT digunakan di seluruh dunia. Bilangan ini dijangka meningkat dengan cepat kerana IoT telah membantu automasi yang membolehkan kerja-kerja seperti pemantauan dilakukan dengan lebih cepat dan cekap berbanding kaedah manual. Sehingga tahun 2025 sebanyak 75 bilion sensor IoT dijangka akan digunakan di pelbagai industri.

Sensor IoT dapat merekodkan data-data yang tertentu berdasarkan fungsi yang terbina pada sensor tersebut. Contohnya sensor IoT untuk suhu dapat memantau suhu seperti suhu bilik atau suhu tubuh pesakit dan menghantar bacaannya ke sistem pusat bagi tindakan seterusnya. Sebelum penggunaan sensor IoT ini, proses pemantauan suhu ini dilakukan secara manual. Sebagai contoh pemantauan suhu bagi bilik-bilik sejuk beku di sesebuah kilang dilakukan secara fizikal yang mana pekerja perlu pergi ke setiap bilik untuk mengambil suhu tersebut pada sela waktu yang ditetapkan. Di sesetengah kilang ianya melibatkan jarak yang jauh dan bilangan bilik yang banyak dan ini mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Dengan menggunakan teknologi IoT, sensor suhu boleh menghantar bacaan pada sela masa yang ditetapkan, atau menghantar bacaan apabila terdapat kenaikan suhu yang tidak normal. Pekerja yang memantau suhu ini boleh memeriksa suhu setiap bilik hanya dengan menggunakan telefon pintar mereka. Sensor ini menjadi “mata” kepada pekerja. Pelbagai lagi jenis sensor yang boleh menjadi “saksi” kepada apa yang berlaku di kawasan pemantauannya.

Sekiranya direnungkan, teknologi ini seharusnya dapat mengingatkan kita tentang perkara yang pernah kita pelajari berkenaan dengan “saksi” pada hari Kiamat. Allah SWT menjadikan tangan dan kaki sebagai saksi perbuatan yang telah kita lakukan di dunia ini.

Firman Allah SWT dalam surah Yasin, ayat 65, maksudnya: “Pada hari ini, Kami kuncikan mulut mereka dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), serta kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan”.

Di dalam keterbatasan ilmu kita, kita memang tidak menghuraikan bagaimanakah tangan dan kaki dapat menjadi saksi terhadap apa yang telah kita lakukan. Tidak dapat dibayangkan bagaimana tangan dan kaki yang fungsinya bukan untuk bercakap, mampu memberikan butiran perbuatan kita di akhirat nanti.

Ibnu Mubarak daripada Abdullah bin Amru bin Asr menyebut: “Sesiapa yang sujud di suatu tempat, berhampiran pohon atau batu, maka mereka akan menjadi saksi bagi dirinya pada hari kiamat nanti.”

Hadis ini menambah ketakjuban kita kepada kehebatan ilmu Allah SWT, iaitu pohon dan batu juga mampu menjadi saksi untuk kita di akhirat nanti.

Teknologi IoT jauh daripada kesempurnaan “sensor” ciptaan Allah SWT. Apabila jasad kita dikebumikan, tubuh kita akan hancur menjadi tanah dan kemudian kita akan dibangunkan semula pada hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, tidak ada pada manusia itu melainkan kesemuanya akan hancur selain satu tulang yang dinamakan ‘Ajb al-Zanab dan daripadanya itu akan dibangkitkan manusia pada hari Kiamat”. [Riwayat al-Bukhari (4935)”. Ajb al-Zanab ialah tulang yang berada di hujung sulbi pada tulang tongkang.

Bagaimanakah dari tubuh manusia yang telah hancur ini, akan dicipta semula, dan dari anggota yang dicipta semula itu, mampu menjadi saksi kepada perbuatan kita. Bagaimanakah data-data ini disimpan dalam keadaan selamat. Adakah data-data ini disimpan dalam bentuk “termampat” di dalam ‘Ajb al-Zanab?  Ataupun ia disimpan di suatu tempat lain dan akan muat turun secara automatik apabila anggota badan telah di dicipta semula?

Penyimpanan data-data yang terlibat ini juga memperlihatkan keagungan ilmu Allah SWT. Setiap perbuatan walaupun sebesar zarah akan direkod dan akan diadili. Sistem penyimpanan data manusia tidak mampu untuk menyimpan segala yang dirakamkan oleh sensor. Sebagai contoh, apa yang dirakam oleh monitior CCTV akan dipadam selepas tempoh tertentu kerana keterbatasan memori. Walaupun kita boleh menyimpan rakaman-rakaman ini semua, pengurusannya akan menjadi terlalu rumit. Perkembangan teknologi sendiri boleh menyebabkan simpanan rakaman ini hilang ditelan zaman, sama seperti apa yang berlaku pada rakaman piring hitam, kaset dan terkini cakera padat.

Kehebatan “penyimpanan data” ciptaan Allah SWT ini bukan sahaja merakam perkara yang sudah berlaku, tetapi sebenarnya ia merakam perkara yang belum berlaku lagi. Ini dijelaskan di dalam surah Al-An’am : 59

“Pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan lautan, dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak jatuh sebiji butir pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).”

Pada ayat 61 surah Yunus juga ada menyatakan mengenai semua perbuatan yang tertulis di dalam “kitab”, yang maksudnya seperti berikut:

“Tidaklah wahai engkau (wahai Muhammad) berada dalam sesuatu urusan, tidaklah engkau membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat daripada Al-Qur’an, tidaklah kamu (wahai umat Muhammad) dalam mengerjakan sesuatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi terhadap kamu, Ketika kamu mengerjakannya. Tidak akan hilang lenyap daripada pengetahuan Tuhanmu sesuatu pun biarpun sebesar zarah di bumi dan di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak ada yang lebih besar daripada itu melainkan semuanya tertulis di dalam kitab yang nyata”.

Ini semua adalah bukti keagungan Allah SWT. Ilmu yang dipunyai manusia tidak akan termampu untuk mencakna segalanya, sesuai dengan firman-Nya dalam surah Al Kahfi, ayat 109:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.”

 

 

 

Prof. Madya Ts. Dr. Hairulnizam Mahdin,

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Abu Hanifa Abu Mukhtar

Jabatan Bahasa Antarabangsa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Artikel ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 23), 15 Mac 2023: `Rakaman’ perbuatan manusia tak terpadam pada hari pengadilan

 

2. Utusan (muka surat: 19), 30 Mac 2023: Mengagumi ciptaan tuhan melalui kemajuan teknologi

 

3. Utusan (utusan.com.my), 30 Mac 2023: Mengagumi ciptaan tuhan melalui kemajuan teknologi

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/03/mengagumi-ciptaan-tuhan-melalui-kemajuan-teknologi/

 

4. Melaysiakini (melaysiakini.com), 30 Mac 2023: Mengagumi ciptaan tuhan melalui kemajuan teknologi

https://www.melaysiakini.com/mengagumi-ciptaan-tuhan-melalui-kemajuan-teknologi-84068.html

 

5. Bernama (bernama.com), 5 April 2023 : Mengagumi ciptaan tuhan melalui kemajuan teknologi

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2179012