BENTONG, 25 September 2022 – Bermula dengan 15 ribu polibeg tanaman sayur di tapak seluas lapan ekar, kini Muhammad Hilmi Mahadi mampu menanam 55 ribu polibeg di tapak berkeluasan 30 ekar dengan keuntungan bersih kira-kira RM50 ribu sebulan.
Setelah mengerjakan tapak pertama dan tapak kedua, Hilmi merancang mahu mengusahakan tapak ketiga pula yang dijangka akan mula beroperasi sekitar pertengahan tahun 2023.
“Saya berharap apabila ketiga-tiga tapak tersebut beroperasi dengan kapasiti 79,200 polibeg, kebun saya mampu mengeluarkan hasil kira-kira 20,000 hingga 24,000 kilogram sayur sebulan secara berterusan,” kata Hilmi.
Hilmi,34 yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memilih bidang pertanian sebagai kerjaya setelah menamatkan pengajiannya lapan tahun dahulu.
Menurut Hilmi, beliau mahu buktikan kepada bapanya, Ir. Mahdi Muda dan ibunya, Profesor Madya Ir. Dr. Hayati Abdullah yang beliau boleh berjaya dalam bidang yang dipilihnya.
“Ketika saya di tahun ketiga pengajian, bapa saya mula berjinak-jinak dengan sektor pertanian setelah mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan di sektor korporat.
“Manakala pada tahun akhir pengajian, minat saya dalam bidang keusahawanan tani semakin mendalam setelah melihat usaha-usaha awal bapa menguruskan aktiviti pertaniannya,” kata Hilmi.
Setelah tamat pengajiannya di UTHM, Hilmi akhirnya mengambil keputusan untuk terlibat secara serius dalam bidang pertanian bersama bapanya dengan menyewa tapak pertanian di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lebu, Bentong, Pahang.
Menurut Hilmi, TVET UTHM dan kejuruteraan awam telah mengajar beliau menjadi seorang usahawan tani moden yang mampu mengaplikasikan pengetahuan kejuruteraan dalam pertanian.
“Memang tiada silibus dalam pengajian kejuruteraan awam yang mengajar saya tentang pertanian, tetapi secara keseluruhannya universiti ini benar-benar mengajar saya cara berfikir, merancang dan menyelesaikan masalah dengan berkesan dalam menghadapi cabaran kehidupan,” katanya.
Hilmi yang kini mengusahakan ladang yang didaftarkan dengan nama Lada Besa Enterprise (LADABESA) telah menanam beberapa jenis sayur iaitu cili merah dan hijau, terung serta bendi dengan menggunakan sistem pengairan berasaskan Internet of Things (IoT) atau irrigation system.
“Pengalaman dan latihan kejuruteraan awam yang saya peroleh di UTHM dahulu sangat membantu saya membangunkan sendiri sistem pengairan tanaman secara automatik dengan menggunakan IoT yang boleh dikawal menggunakan telefon pintar.
“Sistem pengairan ini mampu menjimatkan kos dan tenaga kerja sekali gus mampu menjamin kadar pengairan yang lebih tepat mengikut tumbesaran tanaman,” katanya.
Beliau yang dibantu oleh lima pekerja sepenuh masa dan 15 pekerja separuh masa masih berusaha meneroka lebih banyak lagi sistem dan teknologi yang boleh dibangunkan untuk mengoptimakan operasi di ladangnya.
LadaBESA akan terus memperluaskan kegiatan pertaniannya dengan menyasarkan penanaman sehingga 250 000 polibeg dalam tempoh tiga tahun mendatang.
“Jatuh bangun, untung rugi dalam pertanian sudah menjadi lumrah kepada saya sepanjang lapan tahun berkecimpung dalam bidang ini.
“Namun saya beruntung kerana bapa dan ibu sentiasa ada dan menyokong saya dari belakang.
“Saya anggap segala cabaran dan halangan yang telah saya lalui sebelum ini menjadi guru terbaik dalam membentuk siapa saya hari ini,” katanya.
Beliau sempat menitipkan pesanan kepada bakal graduan agar tidak terlalu memilih pekerjaan setelah bergraduan nanti.
Sebaliknya mereka perlu mencipta peluang kerjaya dengan menjadikan minat dan kecenderungan masing-masing sebagai satu punca pendapatan.
Berita ini juga telah diterbitkan di :
1. malaysiagazette.com, 26 September 2022 : https://malaysiagazette.com/2022/09/26/pembelajaran-tvet-uthm-bantu-helmi-jadi-usahawan-tani-berjaya/
Lulusan kejuruteraan raih RM50 ribu sebulan, berjaya cipta peluang pekerjaan dalam bidang pertanian
2. sinarbestari.sinarharian.com, 30 September 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/gen-z/kerjaya/lulusan-kejuruteraan-raih-rm50-ribu-sebulan-berjaya-cipta-peluang-pekerjaan-dalam-bidang-pertanian/
3. msn.com, 30 September 2022 : https://www.msn.com/en-my/news/berita/lulusan-kejuruteraan-raih-rm50-ribu-sebulan-berjaya-cipta-peluang-pekerjaan-dalam-bidang-pertanian/ar-AA12qCa8