Oleh Muhammad Shukri Ahmad
BATU PAHAT – Pensyarah bersama enam pelajar Pusat Pengajian Diploma (PPD), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan Siri Program Pemindahan Ilmu S.T.E.M.: Jom Belajar Coding Robotik (Siri 1) pada 18 Mei lalu bertempat di Sekolah Kebangsaan Gambut, Batu Pahat, Johor.
Program yang melibatkan lebih kurang 100 murid dari tahun satu hingga enam ini bertujuan.untuk memberikan pendedahan kepada murid tentang teknologi robotik, dan seterusnya menyiapkan satu projek pengaturcaraan ringkas secara praktikal.
Kandungan program ini adalah diselaraskan dengan kurikulum semasa sekolah rendah untuk subjek Reka Bentuk Teknologi (RBT), yang memfokuskan kepada pengaturcaraan dan robotik berasaskan mikropengawal micro:bit.
Untuk memberikan pengalaman praktikal kepada murid, pihak MAKERSPACE@UTHM telah menyediakan 30 set micro:bit untuk digunakan dalam program ini. Selain itu, pihak Ittihad Makerspace Sdn. Bhd. (syarikat terbitan UTHM) juga meminjamkan beberapa set robot ISOBOT untuk tujuan demonstrasi kepada murid. Dalam sesi praktikal, murid telah berjaya menyiapkan projek ‘Tanda Nama Elektronik’.
Sementara itu, Program Pemindahan Ilmu S.T.E.M.: Jom Belajar Coding Robotik (Siri 2) pula berjaya dilaksanakan pada 1 Jun 2022 bertempat di sekolah yang sama.
Program yang melibatkan penyertaan kira-kira 50 murid dari tahun empat hingga tahun enam ini dijalankan oleh pensyarah UTHM sebagai penceramah dan dibantu oleh empat pelajar PPD.
Objektif program siri dua ini pula adalah untuk memberikan pendedahan kepada murid tentang asas pengaturcaraan robotik dan seterusnya menyiapkan satu projek pengaturcaraan robotik ringkas secara praktikal.
Pada program kali ini, murid menyertai aktiviti dalam pasukan bagi membuat pengaturcaraan robotik untuk perlumbaan manakala pada akhir program, pasukan-pasukan ini akan bertanding untuk menentukan yang mana robot terlaju.
Ini dapat memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada murid. Untuk tujuan tersebut, pihak Ittihad Makerspace Sdn. Bhd. di bawah Syarikat Terbitan UTHM (STU) telah berbesar hati meminjamkan enam set robot ISOBOT.
Kesemua murid kelihatan teruja dan gembira ketika menyertai kedua-dua program ini terutama apabila robot mereka berfungsi dengan baik.
PPD berharap siri penganjuran program ini akan dapat diteruskan untuk mendekatkan UTHM dengan komuniti setempat dan seterusnya meningkat visibiliti universiti di mata umum.