FAST bantu pelajar sekolah luar bandar kuasai Matematik

BATU PAHAT, 30 Mei 2022 – Seramai 47 penuntut tahun tiga program Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turun padang melaksanakan aktiviti pembelajaran secara interaktif bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Penghulu Saat, Parit Sulong.

Menurut pensyarah merangkap penyelaras program, Dr. Hamizah Mohd Safuan program yang dinamakan STEMathics bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar sekolah terutama tingkatan lima merasai pengalaman pembelajaran yang aktif bagi mata pelajaran Matematik.

“Sebelum ini para pelajar sunyi daripada melakukan aktiviti melibatkan kumpulan yang besar, tetapi hari ini terpamer kegembiraan di wajah mereka dek keterujaan mempelajari Matematik secara kreatif dan inovatif,” katanya.

Program ini turut mendapat kerjasama dari Jabatan Matematik dan Statistik dan Pusat Penyelidikan Aplikasi Matematik Berkomputer atau Center of Computational Mathematical Applications (CERCOM), FAST.

Turut terlibat dalam menjayakan program ini ialah Ts. Dr. Siti Suhana Jamaian dan Noorzehan Fazahiyah Md Shab.

Tambah beliau program STEMathics ini menggabungkan dua kursus iaitu Permodelan Matematik (BWA30803) dan Kreativiti dan Inovasi (BWU10202) bagi projek Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) bertujuan membantu menyelesaikan permasalahan komuniti setempat menggunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari.

“Bahan-bahan pembelajaran dan pengajaran seperti video menggunakan sukatan matapelajaran Matematik Tingkatan 5 yang telah dibangunkan sebelum ini sebagai bahan sokongan secara dalam talian tidak segerak.

“Pameran di sekolah merupakan kesinambungan kepada bahan video agar aktiviti pembelajaran dapat dijalankan secara langsung dan bersemuka.

“Mengikut perancangan, aktiviti pemindahan ilmu ini akan diteruskan dengan kelas-kelas tambahan demi memastikan tiada pelajar yang tercicir atau ketinggalan dalam mata pelajaran ini,” katanya.

Perasmian Program STEMathics telah disempurnakan oleh ADUN Sri Medan, Dato’ Haji Zulkarnain Haji Kamisan.

Hadir sama, Prof. Madya Dr. Mohamad Zaky Noh, Dekan FAST, Prof. Madya Dr. Mohamad Zaky Noh dan Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Penghulu Saat, Cikgu M. Osman Wagiman.

Sementara itu, Ketua Panitia Matematik, Cikgu Muhamad Abid Ab. Kadir berkata pihak sekolah berbesar hati dengan inisiatif yang dilaksanakan UTHM bagi membantu pelajar-pelajar menanam minat dan menguasai konsep-konsep utama dalam mata pelajaran Matematik.

“Pihak kami berharap kerjasama ini akan berterusan agar keberkesanan program ini dapat diukur dengan pencapaian pelajar pada masa akan datang.

“Dengan penerapan elemen teknologi, penyampaian kandungan dilihat lebih berkesan dalam menanam minat dan rasa ingin tahu pelajar sekolah terhadap Matematik dan aplikasinya dalam kehidupan seharian,” katanya.

 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman web CERCOM: 

https://cercom.uthm.edu.my/index.php/maths-module-helper

 

Categories
Sains Gunaan dan TeknologiSosial , Kebajikan dan Masyarakat
Subscribe