BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima kunjungan delegasi dari RHB Bank Berhad cawangan Johor pada 22 Mac 2022 lalu bagi mengeratkan lagi hubungan kerjasama berkaitan kad prihatin siswa.
Satu sesi suai kenal telah diadakan dalam satu majlis ringkas berkonsepkan ‘ramah mesra’ yang diadakan di Aras 5, Perpustakaan Tun Tun Aminah, kampus induk.
UTHM bekerjasama dengan RHB Bank setelah diperaku sebagai rakan strategik oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi pelaksanaan inisiatif Kad Prihatin Siswa.
Untuk rekod, inisiatif pembangunan Kad Prihatin Siswa merupakan antara 11 usul yang dikemukakan oleh perwakilan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kepada Perdana Menteri hasil pertemuan yang berlangsung pada 30 Jun 2020.
Majlis Ramah Mesra tersebut dihadiri oleh Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Naib Canselor UTHM; Profesor Madya Sr Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Norzaimi Hamisan, Bendahari serta Jawatankuasa Kad Prihatin Siswa peringkat UTHM.
Manakala pihak RHB pula diwakili oleh Mohd Farid Kamarudin, Managing Director, RHB Islamic Asset Management; Hj. Ali Mohamed, Regional Director, RHB Bank, Southern Region; Hj. Razali Hj. Mohd Noh, Head, Islamic Business Development, RHB Islamic Bank; pengurus cawangan yang berdekatan serta pasukan RHB yang terlibat.
Pada pertemuan itu, Datuk Wahid mewakili UTHM berbesar hati dengan kerjasama yang terjalin ini dan berharap inisiatif tersebut akan memberi manfaat kepada pelajar.