Saban hari mahu atau tidak kita pasti berdepan dengan masalah yang datang bersilih ganti. Memang tiada pilihan lain kecuali kita perlu menghadapi dan menyelesaikannya. Menerima masalah, menghadapinya, menyelesaikannya dan meneruskan hidup adalah lebih baik daripada terus membiarkan ia menjadi satu masalah yang besar. Masalah itu tidak seharusnya menjadi punca kesedihan, penderitaan dan kemurungan dalam hidup.  Dalam meneruskan kehidupan kita mungkin menghadapi banyak halangan dan masalah yang mungkin mengganggu emosi.  Kadang kala kita tidak mempunyai kekuatan untuk menangani masalah itu namun jika kita mempunyai perspektif yang jelas mengenai masalah itu dan tahu bagaimana untuk menghadapinya kita dapat melakukannya dengan lebih baik. Masalah adalah suatu yang normal bagi manusia normal.  Antara masalah yang paling biasa dalam kehidupan yang harus dihadapi adalah..

  1. Krisis kesihatan

Ada masanya dalam hidup anda tidak selalunya sihat.  Ini perkara biasa kerana tubuh bekerja sepanjang masa dan sesekali ia perlukan sedikit masa untuk berehat. Krisis kesihatan jika tidak ditangani pada waktu yang tepat ia mungkin akan bertambah teruk dan mengakibatkan banyak masalah lain. Jadi jika anda menghadapi krisis kesihatan selesaikannya dan pastikan anda sihat sekali lagi.

  1. Masalah tempat kerja

Sudah tentu semua orang akan bekerja apabila sampai masanya dan dengan peluang yang ada. Tempat kerja adalah tempat untuk anda menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan berdasarkan upah yang diterima. Dalam pekerjaan ada kalanya anda akan berdepan dengan masalah yang tidak disangka dan mungkin juga anda belum bersedia menghadapinya. Hadapi masalah tersebut dan cuba selesaikan dengan segera.

  1. Tekanan kerjaya

Dalam perjalanan menuju kepada kejayaan, anda mungkin akan menghadapi masalah berkaitan dengan pekerjaan seperti tidak mendapat peluang kenaikan pangkat, tidak sehaluan dengan ketua, persekitaran kerja yang tidak menyokong dan situasi ini menyukarkan anda untuk meneruskan kerjaya. Untuk bekerja dengan tenang cuba kenal pasti masalah yang mungkin berpunca dari dalam diri anda, selesaikan masalah yang di bawah kawalan anda dan jangan hanya menyalahkan orang lain.

  1. Isu persahabatan

Anda memerlukan teman dalam hidup untuk berkongsi kedukaan dan kebahagiaan. Teman adalah bahagian yang penting dalam kehidupan tetapi kadang kala hubungan ini memberi banyak masalah kepada anda. Timbulnya pelbagai emosi, rasa cemburu, pengkhianatan dan banyak perkara yang merosakkan persahabatan dan mempengaruhi keharmonian hidup. Penyelesaian terbaik adalah dengan mengenali orang-orang di sekeliling anda dan tetapkan sempadan dengan individu dan persekitaran yang toksik.

  1. Kekosongan

Sesekali hidup anda diwarnai dengan suasana suram, tidak produktif dan anda merasa tidak ada perkara yang boleh anda ubah. Kekosongan seperti ini bukan masalah besar tetapi ia memberi kesan besar kepada kehidupan anda. Tukar kebosanan dan kekosongan ini dengan menggantikan rutin biasa dengan melakukan sesuatu yang luar biasa, untuk memberikan sesuatu yang segar dalam diri anda.

  1. Kegagalan

Dalam perjalanan untuk mencapai cita-cita dan memajukan karier, anda pasti akan melalui kegagalan namun ia bukan penghalang untuk anda terus maju. Kegagalan mengajar anda tentang banyak perkara dan menjadikan anda seorang yang lebih baik pada masa hadapan. Belajar menghadapi kegagalan dan anda akan mempunyai kemampuan untuk menangani setiap halangan yang mungkin anda dihadapi selepas itu.

  1. Krisis kewangan

Dunia dan kehidupan ini tidak menentu dan krisis kewangan mungkin akan berlaku pada bila-bila masa terutama pada waktu pandemik ini. Cara terbaik untuk mengatasinya adalah dengan menerima hakikat bahawa ia telah berlaku. Apabila anda mula menerima hakikat ini, anda boleh berusaha mencari jalan penyelesaianya. Kenal pasti di mana puncanya dan dari mana anda boleh kembali memulakan sesuatu yang baharu.

  1. Isu kesihatan mental

Meremehkan isu kesihatan mental boleh mendatangkan mudarat dan penyakit yang serius jika dibiarkan begitu sahaja. Kadang kala anda menganggap ini masalah kecil yang anda boleh abaikan. Anda terlalu sibuk untuk meningkatkan kehidupan sehingga anda lupa bahawa tekanan adalah masalah serius dan penjagaan kesihatan mental harus diberi keutamaan. Sayangi diri dengan memastikan mental dan fizikal anda sentiasa sihat.

Sayangi diri

Kadang kala untuk malafazkan sayang kepada orang lain agak mudah. Menyayangi diri sendiri tidak mudah dan bukan sesuatu yang akan berlaku dalam sekelip mata. Menyayangi diri sendiri bermaksud menerima diri anda seadanya, mempunyai harga diri, imej diri yang positif dan penerimaan diri tanpa syarat. Dengan belajar menyayangi diri sendiri anda juga akan belajar bagaimana mencari kebahagiaan, kejayaan dan kepuasan. Pernahkah anda menghadapi masalah yang nampak seakan-akan tembok bata yang terlalu teguh untuk dimusnahkan? Pada saat-saat itulah timbul perasaan marah, takut, kecewa, bersendirian dan berfikir pada diri sendiri “mengapa saya?,” “kenapa sekarang?,” “saya tidak boleh lakukannya” atau “tidak ada jalan untuk keluar daripada masalah ini.” Jangan biarkan minda anda dipenuhi dengan pemikiran yang melemahkan.  Cuba sematkan 10 perkara ini dalam diri dan mulalah memanjat tembok yang menghalang di depan kerana terdapat pemandangan yang lebih menenangkan di sebelah tembok itu.

  1. Saya lebih kuat dan lebih berkemampuan daripada apa yang saya fikirkan

Anda mempunyai sumber kekuatan yang kadang kala anda sendiri tidak ketahui.Otak  cuba untuk menyembunyikannya bagi memastikan anda berada dalam zon selesa.  Anda tidak perlu mempercayai semua yang anda fikirkan. Ingat anda sememangnya kuat dari aspek fizikal, mental dan emosi lebih daripada apa yang anda fikirkan.

  1. Saya pernah menghadapinya dan telah mengatasinya dalam hidup

Luangkan masa untuk memikirkan masa-masa sukar dalam hidup yang pernah anda lalui. Apa cabaran besar yang anda rasa anda tidak dapat hadapi tetapi akhirnya anda berjaya juga. Ambil pengalaman ini untuk memotivasikan anda dan anda pasti berjaya melakukannya sekarang.

  1. Saya pasti ada pengajaran yang berharga yang dapat dipelajari daripada masalah ini

Jangan biarkan diri berada terlalu lama di zon selesa kerana ia akan menghalang diri dari terus berkembang. Cabaran dan masalah hadir untuk menguji, mendewasakan dan mendorong anda untuk pergi lebih jauh. Cuba imbau pengalaman masa lalu fikirkan mengapa ia berlaku dan apa yang anda telah pelajari. Ada yang dipelajari hari ini mungkin akan berguna pada masa hadapan.

  1. Saya mampu bahagia dalam apa jua situasi

Hidup tidak pernah sempurna. Tidak ada saat di mana kehidupan begitu mudah dan rasa bahagia sepanjang masa. Untuk rasa bahagia cuba lafazkan rasa syukur dalam apa jua keadaan sama ada susah mahupun sukar. Fikirkan dan fokus kepada perkara yang positif lebih banyak daripada yang negatif.

  1. Saya pernah melakukan kesilapan sebelum ini

Semua orang melakukan kesilapan dan itu sebahagian daripada kehidupan. Ini juga cara anda belajar dan berkembang. Anda tidak boleh mengawal perkara yang berlaku pada masa lalu tetapi anda boleh mengawal keputusan yang anda perlu buat pada masa akan datang. Percaya kepada kemampuan anda dalam membuat keputusan yang lebih baik. Anda pasti akan membuat beberapa kesalahan lagi dan biarkan kerana dari situ anda beajar untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang.

  1. Saya tenang menghadapi cabaran dan masalah

Anda akan berfikir dengan lebih rasional dan mempunyai pertimbangan yang lebih baik ketika fikiran anda tenang. Luangkan sedikit masa untuk diri sendiri. Bernafas secara perlahan dan biarkan fikiran yang mengganggu anda melayang pergi dan berkata kepada diri sendiri “saya rasa tenang dan akan melalui semua cabaran dan masalah dengan tenang.”

  1. Saya percaya saya mempu membuat keputusan yang hebat

Kadang kala cabaran dan masalah boleh membuat emosi kita koyak dan bingung. Percaya pada diri sendiri bahawa anda tahu apakah pendekatan terbaik. Apa jua keputusan yang anda pilih dan apa jua yang berlaku, anda mesti yakin ia akan berjaya. Lepaskan tekanan dalam diri dan percaya kepada gerak hati.

  1. Saya mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah secara kreatif

Anda mempunyai kemampuan untuk berfikir di luar kotak dan menjadi kreatif ketika menyelesaikan masalah anda sendiri. Percayalah pada diri sendiri dan inilah kuasa kreatif yang anda miliki. Sekiranya apa yang anda lakukan tidak menjadi, cubalah pendekatan lain.

  1. Saya tidak akan melakukan ini keseorangan dan saya perlukan bantuan orang lain

Apa pun cabarannya anda tidak seharusnya melakukan sendirian. Hubungi orang yang tersayang yang sentiasa menyokong anda atau minta bantuan sesiapa sahaja yang anda fikirkan akan membantu anda. Anda akan merasai kebahagiaan apabila masalah anda dapat diselesaikan dengan mudah bersama orang lain.

  1. Saya memilih untuk melihat cabaran dan masalah sebagai peluang

Agak sukar untuk bersikap positif dalam masa-masa yang sukar. Paksa diri untuk mencari peluang dalam cabaran dan masalah yang dihadapi.  Salah satu peluang mungkin ia mendekatkan anda dengan keluarga dan rakan atau anda mendapat pengajaran lain yang berharga. Lihat cabaran dan masalah sebagai peluang untuk berkembang dan menjadi insan yang lebih baik. Anda boleh melakukan kerana anda cukup kuat.

 

Kesimpulan

Anda boleh bersinar dalam saat-saat sukar jika anda mahu.  Tiada strategi yang sempurna dan anda juga tidak perlu nampak sempurna dalam tekanan sepanjang masa. Tetapi dengan sedikit refleksi dan kawalan diri, anda akan menjadi lebih kuat di saat-saat sukar dan membina versi terbaik diri anda secara konsisten.  Lihatlah keseluruhan kehidupan anda dan anda pasti akan menghadapi masalah namun jika anda dapat mengenal pasti masalah ini tepat pada masanya, anda akan dapat mengatasinya dengan cara yang lebih baik.  Sesukar mana pun masalah dan cabaran di depan teruslah melangkah dengan tabah.

 

 

Dr. Noraishah Daud

Pusat Kaunseling Universiti

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)