Pembangunan pesat penyebab banjir kilat di kawasan bandar

Sejak kebelakangan ini trend kejadian banjir kilat yang berlaku terutamanya di kawasan bandar dilihat menunjukkan peningkatan. Intensiti hujan yang tinggi, kawasan pembangunan yang padat, sistem saliran yang tidak diselenggara...
Gambar ihsan Bomba Klang

Sejak kebelakangan ini trend kejadian banjir kilat yang berlaku terutamanya di kawasan bandar dilihat menunjukkan peningkatan. Intensiti hujan yang tinggi, kawasan pembangunan yang padat, sistem saliran yang tidak diselenggara dengan baik serta masalah pencemaran longkang dan saliran dilihat menjadi penyumbang utama kepada faktor kejadian banjir kilat di kawasan bandar. Kawasan bandar seperti Shah Alam, Selangor dan Batu Pahat, Johor merupakan antara contoh bandar yang telah mengalami fenomena banjir kilat yang teruk.

Kejadian banjir kilat biasanya dikaitkan dengan hujan lebat dan berlaku di kawasan bandar. Banjir kilat boleh berlaku sama ada di pusat bandar, ataupun melibatkan kawasan perumahan di sekitar bandar. Hujan lebat yang berlaku pada kadar yang pantas selama beberapa jam, kawasan lembah dan berturap, bangunan yang padat, serta sistem saliran yang tidak baik akan  menyebabkan kawasan tersebut mudah ditenggelami air dalam masa beberapa jam sahaja. Walaupun banjir kilat, biasanya “cepat surut”, namun kesan daripada banjir kilat akan mengakibatkan kerugian harta benda kepada masyarakat. Selain itu, kejadiannya yang berlaku bila-bila masa boleh mengundang trauma kepada mangsa yang mengalaminya.

Banjir kilat dilihat sebagai bencana alam kerana ia mampu memberi kesan ke atas kehidupan manusia secara langsung seperti kematian, kerosakan tempat tinggal, kenderaan, kemusnahan hasil pertanian, perniagaan atau kerosakan infrastruktur.

Bencana alam dipengaruhi oleh dua faktor iaitu faktor semulajadi dan faktor manusia. Faktor semulajadi seperti perubahan monsun dan tiupan angin antara faktor yang sukar untuk dikawal. Manakala faktor manusia seperti kepincangan perancangan guna tanah di bandar boleh memberi implikasi yang besar kepada struktur tanah. Namun, ianya boleh diuruskan dengan baik. Dalam dasar perancangan guna tanah untuk pembangunan, pembangunan di kawasan yang sensitif alam sekitar akan mengundang kepada bencana alam seperti banjir kilat, tanah runtuh dan pencemaran kualiti air.

Pada asasnya interaksi antara manusia dengan alam sekitar secara mampan akan dapat mengekalkan kelestarian alam sekitar. Namun, sekiranya pembangunan yang dijalankan oleh manusia mengenepikan aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar, manusia seolah-olah mengundang bencana ke atas kehidupan mereka.

Dalam keadaan semulajadi, alam sekitar dapat menyerap sebarang pencemaran, sekiranya ia berlaku pada kadar yang minimum. Bagaimanapun, jika ianya berlaku secara melampau, alam sekitar akan memulangkannya semula dalam bentuk bencana kepada manusia dan persekitaran. Sebagai contoh, kejadian banjir kilat merupakan antara bentuk bencana yang dipulangkan oleh alam sekitar kepada manusia ekoran perancangan dan pencemaran alam sekitar secara melampau.

Kejadian bencana alam sekitar seperti banjir kilat, biasanya berlaku apabila adanya pertentangan antara proses biofizikal dengan tindakbalas manusia mempunyai kadar ketidakseimbangan yang tinggi. Ekosistem adalah interaksi antara manusia dan alam sekitar bertindakbalas terhadap persekitaran mereka. Sebarang perubahan yang meninggalkan kesan negatif kepada ekosistem akan meruncingkan tindakbalas antara manusia dengan persekitarannya.

Pembangunan yang pesat di kawasan bandar seringkali mengabaikan aspek pengurusan alam sekitar. Aktiviti pembangunan pesat seperti bangunan perniagaan, pejabat, rumah kedai, kawasan perumahan telah menyebabkan kawasan bandar menjadi “hutan batu” dan tepu. Kawasan hijau menjadi semakin mengecil. Landskap bandar telah ditar. Longkang dan parit menjadi semakin kecil dan penuh dengan sampah serta tidak disenggara dengan sewajarnya. Keadaan seperti ini boleh menyumbang kepada kejadian banjir kilat apabila, hujan turun dengan lebat walaupun dalam tempoh yang singkat. Air hujan yang turun tidak dapat  meresap ke dalam tanah dengan pantas kerana landskap bandar yang bertar. Air ini seterusnya akan mengalir laju dan membanjiri kawasan-kawasan yang lembah dan padat dengan pembangunan.

Kekerapan banjir kilat yang berlaku di kawasan bandar perlu dikaji dan langkah-langkah bagi mengelakkan kejadian berulang perlu dilakukan dengan segera. Pihak pembuat dasar dan kerajaan tempatan harus mengambil inisiatif yang berkesan bagi menangani masalah ini daripada berulang. Manakala masyarakat bandar khususnya perlu sedar bahawa pencemaran alam sekitar seperti membuang sampah ke dalam longkang dan sistem saliran telah menjadi punca kepada banjir kilat di kawasan bandar. Oleh yang demikian, masyarakat perlu dididik dengan memberi pengetahuan akan kepentingan penjagaan alam sekitar di sekitar mereka.

Daripada perbincangan di atas jelas menunjukkan bahawa kawasan bandar telah dibangunkan secara keterlaluan tanpa memikirkan keseimbangan ekosistem bandar itu sendiri. Keadaan yang tidak terkawal ini akhirnya mewujudkan bencana yang  telah memberi kesan ke atas kesejahteraan hidup masyarakat bandar.

 

 

Profesor Madya Dr. Haryati Shafii

Pensyarah Pengurusan Persekitaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Penyelidik Utama

Centre Of Sustainable Infrastructure and Environmental Management (CSIEM)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE