Kehadiran wabak Covid-19 lebih 20 bulan yang lalu telah merubah norma kehidupan manusia di seluruh dunia. Sistem kehidupan manusia merangkumi sosial, ekonomi dan politik menjadi tidak menentu dan memerlukan pendekatan dan penjajaran baharu dalam berhadapan wabak yang berbahaya ini.
Penularannya yang sangat mudah dan cepat hingga melumpuhkan sistem kesihatan dan sosial di banyak negara yang terlibat. Akibatnya jentera tenaga kerja sedia ada sama ada di pihak kerajaan, swasta mahupun badan bukan kerajaan (NGO) tidak mencukupi untuk urusan pengesanan, rawatan, mencegah penularan serta kerja-kerja kebajikan terkait dengan Covid-19 ini.
Justeru, di seluruh dunia, khidmat sukarelawan dari anggota masyarakat terpaksa digerakkan.
Pastinya gerakan sukarelawan ini bukanlah sesuatu yang baharu. Setiap kali wujudnya bencana besar di sesuatu tempat, akan wujudlah pasukan sukarelawan yang akan membantu pihak berkuasa. Sukarelawan juga banyak terlibat dalam aspek alam sekitar dan kemanusiaan. Namun sukarelawan dalam berhadapan wabak penyakit berbahaya adalah jarang berlaku dan agak asing bagi sesetengah negara termasuklah di Malaysia.
Pada bulan Mei yang lalu, di saat negara mengalami lonjakan jumlah kes dan kematian akibat Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyeru warga Malaysia yang berusia 18 hingga 60 tahun untuk mendaftarkan diri sebagai sukarelawan kesihatan KKM. Selain dari aspek usia, syarat lain untuk menjadi sukarelawan KKM adalah sihat dan cergas fizikal serta mental dan tidak mengandung. Sehingga kini penyertaan sukarelawan ini masih dibuka dan boleh dipohon melalui pautan https://forms.gle/ktiuH2mjRePBCZLm9.
Penerimaan rakyat terhadap tawaran menjadi sukarelawan adalah pelbagai. Ada yang bersegera menawarkan diri menjadi sukarelawan, ada yang menurut arahan pihak berwajib dan ada juga yang menolak sama sekali penglibatan sebagai sukarelawan dengan alasan dan pandangan tersendiri.
The Centre for Evidence-Based Medicine (CEBM) yang berpusat di Universiti Oxford melakukan satu tinjauan media dan mendapati ramai sukarelawan yang memilih untuk melibatkan diri dalam kerja-kerja amal semasa pandemik Covid-19 ini adalah sebagai solidariti terhadap kesengsaraan yang sedang ditanggung oleh masyarakat di sekeliling mereka. Dengan menjadi sukarelawan, mereka dapat membantu insan lain malah membolehkan mereka mengatasi perasaan sedih dan kerisauan yang timbul akibat persekitaran yang diwarnai dengan ancaman Covid-19. Tinjauan ini juga menunjukkan bahawa mereka yang menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan mempunyai pengharapan agar mereka juga akan dibantu sekiranya ditimpa musibah pada masa depan.
Dalam krisis semasa pandemik ini, sukarelawan dapat berperanan menenangkan serta menolong orang lain mengatasi perasaan inersia dan helplessness (ketidakberdayaan) akibat terkurung kerana kuarantin ataupun sekatan pergerakan. Sukarelawan mampu menjadi pendorong utama dalam memulihkan semangat para pesakit atau ahli keluarga yang terkesan dengan wabak ini. Malah dalam kebanyakan situasi, para sukarelawan yang pernah dijangkiti dan telah pulih dari virus Covid-19 ini lebih berkesan dalam berperanan menjadi penenang psikologi dan emosi untuk golongan yang sedang menghadapi krisis. Dengan cara berkongsi pengalaman dan kejayaan peribadi dalam berhadapan virus maut ini, para sukarelawan secara tidak langsung menyuntik inspirasi dan semangat kepada mereka untuk kuat dan bangkit melawan Covid-19.
Skop sukarelawan ketika pandemik ini sangat luas. Kita boleh memilih untuk berada di ‘barisan hadapan’ contohnya bertugas di lokasi yang berhubung secara langsung dengan pesakit Covid-19 seperti di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan pusat kuarantin. Kita juga boleh memilih untuk berada di ‘barisan pertengahan’ iaitu lokasi yang dianggap kurang risiko jangkitan seperti kerja-kerja agihan makanan kepada keluarga mangsa ataupun petugas di Pusat Pemberian Vaksin(PPV). Namun bagi golongan yang berisiko seperti warga emas atau yang mempunyai kekangan lain, kita masih mampu terlibat dengan kerja sukarela ini dengan berada di ‘barisan belakang’ iaitu kerja-kerja yang boleh dilaksanakan di lokasi selamat mahupun di rumah. Contohnya kerja-kerja pengurusan data atau pembungkusan barang bantuan untuk diedarkan kepada keluarga yang terjejas akibat pandemik.
Sememangnya menjadi sukarelawan ketika pandemik mempunyai risiko khasnya risiko dijangkiti wabak ini. Namun pihak kerajaan melalui KKM telah menyediakan panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat yang harus dipatuhi bagi mengelakkan jangkitan daripada berlaku. SOP ini dirangka teliti untuk melindungi para petugas mahupun sukarelawan daripada dijangkiti wabak.
Sifat virus ini yang mudah menular, merentasi sempadan kaum, agama serta lokasi telah menuntut pengorbanan anggota masyarakat dari pelbagai latar bangsa, usia dan kepercayaan melibatkan diri sebagai sukarelawan.
Di dalam Islam sememangnya kita amat dituntut untuk untuk melakukan kerja kebaikan tidak kira di mana kita berada. Firman Allah SWT “… Maka berlumba-lumbalah mengerjakan kebaikan, di mana saja kamu berada…” (Surah Al-Baqarah, ayat 148). Manakala dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman “Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu…” (Surah Al-Hadid, ayat 21).
Rasulullah SAW turut menyatakan kelebihan menolong orang lain yang dalam kesusahan, melalui hadisnya yang bermaksud “Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Muslim). Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyebut “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat untuk manusia…” (Hadis riwayat at-Tabrani)
Islam menggalakkan umatnya supaya sentiasa berlumba-lumba melakukan amal yang baik mengikut kemampuan, bakat dan kepakaran masing -masing. Berlumba-lumba melakukan kebaikan hendaklah berdasarkan keupayaan masing-masing, tidak kira di mana berada dan apa jua bidang diceburinya.
Bertindak sebagai sukarelawan mampu membangkitkan perasaan kasih sayang sesama manusia. Perasaan kasih sayang ini bukan sahaja untuk dipupuk dalam kalangan ahli keluarga terdekat sahaja, tetapi perlu melangkaui sempadan keluarga barulah sebuah masyarakat yang harmoni dapat dibentuk.
Pada masa kita menggalakkan orang ramai untuk menjadi sukarelawan, pihak berwajib pula perlu lebih prihatin terhadap kebajikan para sukarelawan ini. Kebajikan bukan sahaja dari aspek penyediaan makanan atau elaun (jika ada), tapi yang lebih penting aspek perlindungan diri sukarelawan dari risiko dijangkiti. Selain dari arahan pematuhan SOP serta infrastruktur tempat bertugas yang mematuhi piawaian SOP Covid-19, para sukarelawan sebaiknya diberi keutamaan untuk melengkapkan dua dos vaksin sebelum bertugas sebagai sukarelawan khasnya bagi kategori barisan hadapan dan pertengahan. Dengan memenuhi dua dos suntikan vaksin ini, para sukarelawan akan berasa lebih yakin dan tenang ketika melaksanakan tugas.
Usaha untuk menyemai sifat cakna ummah melalui kesukarelawan ini perlu dibuat secara berterusan hingga menjadi satu budaya kepada mesyarakat. Ia amat bertepatan dengan konsep “Hablum min an-nas” iaitu hubungan dengan manusia yang sepatutnya ditekankan dalam kehidupan bermasyarakat selain menjaga hubungan dengan Pencipta.
Negara sedang dilanda bencana kesihatan yang sangat dahsyat, ribuan penduduk yang sedang terhimpit dengan pelbagai kesulitan, maka bertindaklah sebagai sukarelawan sebagai tanda kebersamaan dan solidariti kita kepada golongan yang terkesan ini. Ibarat kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
SHAFRY SALIM
Timbalan Pendaftar
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)