Profesor Madya Dr. Nabilah Ibrahim dari Fakulti Kejuruteran Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik sebagai Setiausaha Kehormat IEEE Malaysia Section bagi tahun 2021-2022.
Pelantikan tersebut dibuat berdasarkan undian ahli ketika berlangsungnya Mesyurat Agung Tahunan Institute of Electrical and Electronic Engineers (IEEE) Malaysia yang diadakan secara dalam talian menggunakan platform Webex pada 6 Februari lalu.
Menurut Dr. Nabilah, beliau mengganggap lantikan ini adalah satu tanggungjawab yang secara langsung akan menaikkan nama FKEE dan UTHM di peringkat kebangsaan.
“Saya berharap dengan kepercayaan yang diberikan untuk memegang jawatan Setiausaha Kehormat ini dapat meningkatan lagi prestasi dan semangat kerjasama bersama rangkaian baru di luar fakulti dan universiti,” katanya.
Turut dilantik sebagai ahli eksekutif IEEE sesi 2021-2022, Profesor Madya Ir. Dr. Md Pauzi Abdullah (UTM) sebagai Pengerusi, Profesor Madya Dr. Fawnizu Azmadi Hussin dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebagai Bekas Pengerusi, Ir. Dr. Nordin Ramli dari Mimos Berhad sebagai Timbalan Pengerusi dan Dr. Nur Idora Abdul Razak dari Universiti Teknologi Mara (UiTM Shah Alam) sebagai Bendahari Kehormat.
Manakala lantikan empat ahli tugas eksekutif melibatkan Profesor Madya Ir. Dr. Rosmiwati Mohd Mokhtar dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nur Ashida Salim dari UiTM Shah Alam), Profesor Madya Dr. Haidawati Mohamad Nasir dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Aznilinda Zainuddin dari UiTM Pasir Gudang.
Selain itu, dua juruaudit kewangan juga turut dilantik melibatkan Dr. Christopher Chew dan Mr. Chong Yu Zheng (UTAR).
IEEE merupakan satu badan profesional terkemuka di dunia yang dianggotai oleh para saintis, jurutera-jurutera dan penyelidik-penyelidik di bidang elektrikal dan elektronik merangkumi institusi pendidikan tinggi serta industri.
Sehingga kini, keahlian IEEE di seluruh di dunia telah mencecah 450,000 ahli dari 160 negara. Selain dianggap sebagai satu platform pembelajaran dalam bidang kejuruteraan, IEEE juga menggalakkan dan menyokong aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang membantu orang ramai dari pelbagai segi termasuk khidmat sukarelawan membantu barisan hadapan dalam usaha menentang Covid-19.
Dr. Nabilah turut menzahirkan harapannya agar ramai lagi warga UTHM berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam badan-badan profesional di luar universiti seumpama ini sebagai satu saluran untuk menyumbang kepakaran masing-masing serta berbakti kepada masyarakat.