Pensyarah merangkap penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr. Mohd Zainizan Sahdan, 43 bersama rakannya berjaya menghasilkan penapis air berkualiti tinggi yang dinamakan ‘DR. AIR’ untuk kegunaan isi rumah dan juga industri.

Beliau yang merupakan pengasas kepada Syarikat Terbitan Universiti (STU) yang ketiga di UTHM iaitu Preston GeoCEM Sdn. Bhd. menghasilkan penapis untuk sumber air bawah tanah setelah lebih setahun mencari formula yang berkesan untuk mendapatkan air yang bersih.

Menurut Dr. Zainizan, walaupun Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah yang banyak, namun sumber air ini sangat dipengaruhi oleh kandungan mineral di dalam bumi.

Katanya mineral tersebut akan mempengaruhi warna air, rasa dan bau yang menyebabkan ia tidak sesuai untuk diminum.

“Kebiasaannya sistem penapis air ringkas akan dibina untuk menapis air bawah tanah ini.

“Namun disebabkan oleh keupayaan sesuatu bahan untuk menapis kandungan besi atau manganese dalam sesebuah penapis adalah terhad, kualiti air ini masih tidak mencapai piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelasnya.

Rentetan itu, Dr. Zainizan bersama rakannya Mohammad Erwan Zaki Mat Radzi, 29 telah berganding bahu untuk menghasilkan satu formula yang dapat menyingkirkan bahan-bahan yang tidak diperlukan di dalam air.

“Kami cuba mencari solusi mencipta penapis yang berkesan untuk menapis air, khususnya yang menggunakan sumber air bawah tanah atau telaga tiub,” katanya.

Bagi mengembangkan jaringan pemasaran DR. AIR, sebuah syarikat iaitu Ittihad Machinery Sdn. Bhd. telah ditubuhkan diketuai oleh rakannya Erwan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan dibantu oleh Profesor Madya Dr. Aziman Madun yang bertindak sebagai pakar air bawah tanah.

“Setakat hari ini kami telah membuka cawangan kedai DR. AIR di Tanah Merah, Kelantan,” katanya lagi.

Selain itu, Dr. Zainizan juga turut menghasilkan sistem penapis air mudah alih di dalam kontena yang diberi nama ‘PURECONTENT’ bagi mengatasi masalah kawasan pedalaman yang sukar mendapatkan bahan binaan.

Jelas beliau PURECONTENT merupakan sistem penapis air pasang siap yang mampu membekalkan air sehingga 100 buah rumah.

“Sistem ini telah dibina di kampus UTHM dengan dilengkapi penapis DR. AIR berkapasiti besar, pengoksidaan mineral besi, tangki dan sistem kawalan inverter bagi memastikan pam-pam beroperasi dengan betul dan jimat.

“Setakat ini, PURECONTENT telah digunakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia di negeri Kelantan dan Pahang,” ujar beliau.