JOHOR BAHRU – Asia Aeronautical Training Academy (AATA), akademi penerbangan milik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan ATAS Aeronautik Sdn. Bhd. melancarkan pesawat terbang latihan miliknya pada 4 Oktober 2020 lalu.

Pesawat Latihan Diamond DA40 NG (pesawat satu enjin) dan DA 42 (pesawat dua enjin) keluaran Austria yang dimiliki oleh AATA, merupakan pesawat generasi baharu yang dilengkapi teknologi moden dan terkini.

Pesawat terbang empat tempat duduk ini digunakan sepenuhnya untuk melatih hampir 40 kadet juruterbang yang sedang mengikuti latihan pelesenan di AATA sejak awal September lalu. Mereka dikehendaki melengkapkan hampir 200 jam penerbangan menggunakan pesawat tersebut.

Majlis pelancaran yang diadakan di Senai Business Aviation Terminal ini telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi, Rosli Yaakub selaku wakil rasmi Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad.

Pelancaran pesawat ini dibuat secara water salute dengan kerjasama Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd.

Menteri Pengajian Tinggi melalui teks yg dibacakan TKSU berkata pihak kementerian menyokong penuh inisiatif yang dilaksanakan oleh UTHM dalam memperkukuhkan bidang tujahnya iaitu pengangkutan.

“Kejayaan menjadi universiti pertama yang memiliki akademi penerbangan yang diiktiraf Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam melatih juruterbang komersial dan bukan komersial menunjukkan bahawa UTHM mampu berganding bahu, bekerjasama dengan pihak industri.

“Dalam kes ini, saya melihat kerjasama dengan ATAS Aeronautik Sdn. Bhd. akan membentuk pakatan perniagaan yang kuat dan mampan dan menjadi pemain utama dalam industri ini,” katanya.

Turut dilancarkan dalam majlis tersebut, dron pertanian yang dihasilkan oleh para penyelidik UTHM dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM).

Dron yang dikenali dengan nama PINEXRI-20 ini merupakan dron yang akan digunakan untuk menyemai baja di ladang-ladang nanas secara autonomous (tiada pengemudi) dan juga dilengkapi dengan perkhidmatan pengurusan berasaskan teknologi IoT (Internet of Thing).

PINEXRI-20 milik UTHM ini adalah usaha universiti untuk memodenkan kepenggunaan teknologi bagi industri nanas tanah air, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti industri berkaitan selari dengan industri.

Dato’ Dr. Noraini melalui teks ucapannya juga berkata pihaknya berbangga melihat hasil yang dikeluarkan oleh penyelidik UTHM dalam membangunkan sebuah dron pertanian yang mesra IR 4.0.

“Saya yakin kejayaan projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada industri tetapi juga masyarakat, selain mampu mengetengahkan jenama institusi pengajian tinggi dalam mempamerkan kemampuan penyelidik tempatan,” katanya.

Untuk rekod, UTHM juga sedang dalam proses menaik taraf kampus Tanjung Laboh sebagai sebuah teaching airport. Dengan wujudnya teaching airport itu, ia akan memangkin pembangunan sebuah hab pendidikan penerbangan di zon selatan tanah air.