Produk DiMES MicroBiz rangkul pingat emas dan hadiah terbaik dalam AIINEX2020

JOHOR BAHRU – Gabungan idea kreatif dan inovatif empat penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam menghasilkan produk yang dinamakan sebagai DiMES MicroBiz membuahkan hasil apabila hasil ciptaan...

JOHOR BAHRU – Gabungan idea kreatif dan inovatif empat penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam menghasilkan produk yang dinamakan sebagai DiMES MicroBiz membuahkan hasil apabila hasil ciptaan mereka berjaya merangkul pingat emas dan hadiah terbaik tempat ketiga dalam ASIA International Innovation Exhibition (AIINEX 2020).

Hadiah berupa pingat emas, trofi, wang tunai dan sijil telah disampaikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Haji Hasni Mohammad pada 11 Oktober lalu bertempat di Pulai Springs Resort, Johor Bahru.

DiMES MicroBiz dipertandingkan dalam cabaran poster produk infografik kategori pendidikan dan sains sosial secara dalam talian pada 18 hingga 20 September 2020 lalu.

Daripada 68 penyertaan yang dipertandingkan bagi cabaran tersebut, hanya 12 penyertaan sahaja mendapat pingat emas dan DiMES MicroBiz telah terpilih antara tiga yang terbaik.

Projek yang diketuai Puan Anim Zalina Azizan daripada Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan ini turut melibatkan tiga lagi penyelidik iaitu Profesor Dato’ Dr Abdul Razak Omar, mantan Provost UTHM Kampus Pagoh, Kapten Dr. Muhammad Suhaimi Sulong daripada Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional serta Ts. Dr. Roslinda Ali daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

Menurut Anim, projek DiMES MicroBiz ini dimulakan pada 15 Oktober 2018 dan berakhir pada 14 Ogos 2020 dengan mendapat tajaan geran pembangunan produk daripada Pusat Inovasi dan Pengkomersilan, UTHM.

Jelas beliau, DiMES MicroBiz merupakan sistem aplikasi telefon pintar yang pertama kali dibangunkan bertujuan untuk menilai kebolehan dan keupayaan pengusaha mikro bagi meningkatkan produktiviti dan saingan perniagaan.

“Lapan modul direka bentuk untuk mencapai objektif tersebut iaitu nilai keusahawanan, pengurusan, sumber manusia, kepimpinan, pemasaran, kewangan, operasi, dan penyelidikan,” katanya

Tambah beliau, projek DiMES MicroBiz ini baru kali pertama menyertai pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa.

“Walaupun aktiviti penyelidikan dalam kalangan penyelidik hanya mampu dilaksanakan secara dalam talian dan ia sedikit terbatas gara-gara pandemik Covid-19, namun rasa tanggungjawab dan semangat yang ada dalam diri setiap penyelidik menjadikan projek ini berjaya diselesaikan,”katanya.

Kumpulan penyelidik ini turut berharap agar DiMES MicroBiz ini dapat digunakan secara meluas dalam kalangan pengusaha mikro di seluruh negara bagi menentukan kejayaan sesebuah perniagaan.

Categories
Anugerah, Pencapaian dan PengiktirafanProduk

RELATED ARTICLE