Peperiksaan merupakan satu proses ujian untuk mengukur tahap pengetahuan dan kebolehan seseorang pelajar yang  menuntut di peringkat sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi. Di Malaysia, terdapat pelbagai peperiksaan yang di uruskan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) antaranya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Peperiksaan ini merupakan salah satu platform penting kepada pelajar-pelajar sebelum melayakkan mereka untuk melangkahkan kaki ke menara gading.

Bagi pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi (akan bermula pada 4 September 2019), persediaan secara menyeluruh dan pecutan dalam membuat latihan serta ulang kaji matapelajaran berkaitan di saat-saat akhir ini amat diperlukan. Persediaan dengan menghadiri kelas-kelas tuisyen dan melakukan latih tubi secara konsisen dan berterusan adalah amalan biasa yang dapat kita lihat pada masa kini. Terutamanya dalam kalangan ibu bapa dan guru yang tidak pernah jemu untuk terus memberi sokongan kepada anak-anak dan pelajar.

 Selain daripada itu juga, sebagai “tuan empunya diri” yang akan berdepan dengan debaran dan tekanan peperiksaan itu nanti perlulah fokus dan menanamkan elemen-elemen positif dalam diri. Antara tips dan pendekatan ringkas lagi mudah yang boleh pelajar amalkan ialah SMART. Ia amat bersesuaian dalam membuat persediaan terakhir sebelum pelajar-pelajar melangkah kaki ke dewan peperiksaan.

S – Selalulah sayang dan ingat Allah.

Pelajar digalakkan untuk membuat amalan-amalan wajib dan sunat. Keraplah memohon doa untuk kecemerlangan dalam menuntut ilmu dan dalam peperiksaan (sebut dengan jelas berapa A yang pelajar target untuk UPSR). Sesungguhnya Allah maha mendengar.

M – Mohon doa yang baik-baik untuk kedua ibu dan ayah.

Dan jangan lupa untuk memohon doa bagi adik beradik dan seluruh ahli keluarga. Dengan mendoakan mereka kebaikan semestinya Allah akan membalas dengan kebaikan juga. Ingat jangan kedekut untuk mendoakan orang lain terutamanya ahli keluarga kita.

 A – Adab dengan cikgu perlu dijaga dengan baik.

Sebagai pelajar, perlulah menghormati dan menghargai guru-guru. Tanpa mereka pelajar tidak akan dapat mengenal angka dan huruf yang mana membolehkan pelajar mengira dan membaca dengan lancar. Selalu ucapkan salam sebagai tanda hormat kepada guru. Hormat guru baru berkat ilmu.

R – Rajin membuat ulangkaji matapelajaran yang berkaitan.

Dalam membuat ulang kaji, pelajar perlu fahamkan isi-isi penting dan formula-formula serta menghafal dan kongsikan bersama rakan-rakan yang lain.  Selain daripada itu, pelajar perlulah rajin membaca Al-Quran dan maknanya. Allah akan memberi manfaat apabila pelajar selalu amalkan secara berterusan.

T- Tolak jauh-jauh amalan negatif, perasaan hasad dengki, buruk sangka dan sebagainya.

Elemen-elemen dan aura negatif ini perlu dibuang. Dengan bersih hati dan minda  ia akan memudahkan untuk pelajar memahami ilmu yang dipelajari oleh guru di dalam kelas.

Semoga SMART dapat memberi manfaat kepada semua terutamanya pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM, begitu juga mahasiswa di pusat pengajian tinggi. InsyaAllah..

 

 

Oleh:

Profesor Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom (UTHM)

Visiting Scholar, University of Melbourne

Victoria, Australia