BATU PAHAT – Dua penyelidik bahasa merangkap pensyarah Pusat Pengajian Bahasa (PPB) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Mimi Nahariah Azwani Mohamed dan Profesor Madya Dr. Elizabeth M. Anthony telah dijemput sebagai penceramah untuk seminar GELS-Erasmus Training Week yang berlangsung di Aristotle University of Thessaloniki (AUT), Greece pada 24 dan 27 Jun lalu.
Seminar ini diadakan bertujuan sebagai platform perkongsian ilmu dalam bidang penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran serta isu-isu berkaitan kemahiran bahasa dan komunikasi dalam bidang kejuruteraan. Pada tahun ini, Aristotle University of Thessaloniki, Greece telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi tuan rumah.
Kehadiran Dr. Elizabeth dan Dr. Mimi di Greece menerusi program ini berupaya memperkenalkan bakat serta kemampuan penyelidik bahasa UTHM di mata dunia. Di samping itu, jemputan ini juga telah memberi ruang dan peluang kepada UTHM untuk menjalin hubungan baik dan menjadi rakan perkongsian dengan institusi lain di peringkat global.
Semasa seminar ini berlangsung, Dr. Elizabeth telah menyampaikan perkongsian ilmu bertajuk Problem-based Learning (PBL): A Gateway to Engineering Undergraduates’ Language Learning Autonomy. Sesi perkongsian ilmu yang sangat interaktif itu adalah berkaitan keupayaan PBL sebagai amalan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar bagi penguasaan bahasa Inggeris.
Manakala Dr. Mimi pula berkongsi tentang tajuk English as the Medium of Instruction (EMI): A Malaysian Perspective. Perkongsian berkaitan cabaran melaksanakan EMI di Malaysia ini bertujuan untuk membuka minda para peserta tentang isu pelaksanaan EMI di peringkat global yang memerlukan perhatian yang mendalam bagi mengatasi cabaran yang dihadapi.
Dr. Mimi bersama Puan Emilie Paillard dari Enseirb-Matmeca, Bordeaux INP, France juga turut menjayakan satu slot menarik iaitu Dapatan Kolaborasi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Inggeris, yang menfokuskan cabaran dan inovasi pada abad ke-21 khusus untuk komuniti penyelidik bahasa. Perbincangan jarak jauh tersebut dilakukan secara Video-Conferencing dengan menggunakan aplikasi Zoom.
Penyertaan pada kali ini juga membuka peluang kepada UTHM, khususnya Pusat Pengajian Bahasa untuk menyertai program European Region Action Scheme for the Mobility of University Students (ERASMUS).
Turut hadir ke seminar itu, delegasi dari United Kingdom, Greece, Spain, Germany, France, Poland, Switzerland, Croatia, Latvia, Lithuania, Finland, Sweden dan Russia.
Untuk rekod, Dr Mimi merupakan ahli jaringan Global Engineers’ Language Skills (GELS) yang diketuai oleh tiga penyelidik dari University of Cambridge (UK), KTH Royal Institute of Technology, Stockholm (Sweden) dan Institut Mines-Telecom – Didalang (France). Ahli-ahli jaringan GELS terdiri daripada para penyelidik dan pensyarah bahasa dari institusi pengajian tinggi serata Eropah. Dr. Mimi merupakan satu-satunya wakil dari luar Eropah yang diterima sebagai ahli jaringan.