Batu Pahat – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bakal menerima kemasukan pelajar aliran lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) daripada pelbagai saluran institusi penyedia TVET September ini.

Untuk rekod, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini telah mengambil beberapa inisiatif untuk memartabatkan TVET sebagai pemacu pembangunan dan kemajuan negara antaranya dengan menawarkan program Sarjana Muda Teknologi (Bachelor of Technology – B.Tech.) menerusi Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia  (MTUN).

FPTV dan FTK menyambut baik inisiatif tersebut dengan memperkenalkan enam kursus baharu di bawah program Sarjana Muda Teknologi bagi tahun 2019-2020 Sarjana Muda Teknologi Pembinaan Bangunan dengan Kepujian iaitu Sarjana Muda Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara dengan Kepujian (FPTV), Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik Industri dengan Kepujian (FPTV), Sarjana Muda Teknologi Sistem Penyelenggaraan Elektrik dengan Kepujian (FPTV), Sarjana Muda Teknologi Kimpalan dengan Kepujian (FPTV), Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian (FPTV) serta Sarjana Muda Teknologi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja dengan Kepujian (FTK).

Menurut Dekan FPTV, Profesor Madya Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq kelebihan yang dimiliki oleh program ini ialah pembangunan kurikulumnya telah dibangunkan bersama lima kapten industri dalam setiap bidang bagi memastikan pelajar bakal mampu mempelajari ilmu sebenar di industri dengan konsep job application learning.

Tambah beliau lagi, pelaksanaan program adalah berkonsepkan mod industri yang mana pengajiannya dilaksanakan selama tiga tahun enam bulan.

“Pihak pengurusan FPTV turut bekerjasama dengan penggiat utama industri seperti SIEMENS (M) Sdn. Bhd., FESTO (M) Sdn. Bhd., VACUUMSCHMELZE (M) Sdn. Bhd., Hard Rock Hotel Desaru Coast, Adventure Waterpark Desaru Coast, Lakeview Terrace Hotel, Prihoda Malaysia Sdn. Bhd., ACSON Malaysia Sales & Services Sdn. Bhd., Gemilang M&E Sdn. Bhd., LTC Building Services Sdn. Bhd., Fiscal Digest Sdn. Bhd. dan TWI Technology (S.E.Asia) Sdn. Bhd. bagi menempatkan para pelajar program Sarjana Muda Teknologi di industri dengan tempoh masa dua setengah tahun di universiti dan satu tahun di industri.

“FPTV akan sentiasa menyokong hasrat kerajaan untuk memberi nafas baharu kepada aliran TVET Malaysia sekali gus mengangkat martabat TVET sebagai aliran pendidikan perdana dan bukan lagi alternatif kelas kedua sebagaimana persepsi negatif sesetengah pihak sebelum ini,” tambahnya lagi.