Abdul Rahman Bedu, 45 telah terpilih menerima sumbangan dari Bank Rakyat Berhad berupa sebuah rumah berharga RM40,000 beserta kelengkapan peralatan bernilai RM5,000 di bawah bantuan golongan asnaf.
Abdul Rahman, bapa kepada lima orang anak melahirkan rasa gembira dan terharu apabila keinginan memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai hasil keprihatinan banyak pihak. Sebelum ini, beliau yang mengalami kesempitan hidup tinggal di rumah usang dan tidak selamat untuk didiami.
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam masa yang sama telah berjaya mendirikan sebuah rumah komuniti bernilai RM55,000 dengan mendapatkan dana dari Evergreen Fireboard, Parit Raja Batu Pahat sebanyak RM25,000 dan Bank Muamalat sebanyak RM20,000 serta selebihnya sumbangan dari individu.
Rumah ini dibina di atas tanah pemberian ikhsan Pejabat Daerah Kuala Lipis untuk penduduk Kampung Aur Gading, Padang Tunku, Kuala Lipis. Hasrat penduduk kampung selama ini untuk mendapat sebuah rumah komuniti tercapai apabila rumah komuniti tersebut siap dibina untuk dijadikan sebagai pusat menjalankan aktiviti bagi penempatan mangsa banjir yang berpindah ke kawasan ini.
Pejabat Hubungan Universiti dan Masyarakat, UTHM telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM100,000 dari pihak swasta dan seterusnya telah menyelia pembinaan rumah tersebut hingga berjaya diserahkan kepada pemilik yang terpilih.
Kedua-dua kunci rumah ini telah disampaikan oleh Dato’ Mustapaha Long, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang kepada Abdul Rahman dan Tuan Haji Abu Hanipah
Sulaiman, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan, Kg Aur Gading dalam Majlis Penyampaian Kunci Rumah Komuniti yang diadakan di Kg Aur Gading pada Sabtu, 26 Mac 2016 yang lalu.
Majlis turut disaksikan oleh wakil-wakil dari Bank Rakyat, Cawangan Kuala Lipis, wakil Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Dr. Abdul Razak Hj. Omar, Pengarah Pejabat Hubungan Industri dan Universiti, Encik Abd Hamid Yusof, pegawai-pegawai dari Pejabat Dearah Kuala Lipis serta masyarakat tempatan.