Batu Pahat, 8 Jan – Bagi memberi pendedahan dan menggalakkan lagi pihak industri menyertai program perantisan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menerima pelawaan menyertai projek tajaan British Council iaitu Technical Assistance Project Delivery Consultant, Improving Work Opportunities for Young People in Commonwealth (I-Work).
Projek yang melibatkan peruntukan kira-kira RM550 ribu ini dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan penglibatan pihak industri di dalam program perantisan, terutamanya syarikat pembuatan yang mempraktikkan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Program perantisan yang lebih dikenali sebagai pembelajaran secara teori-praktikal melibatkan pembelajaran di bilik kuliah dan bekerja di industri ini mula diperkenalkan secara meluas di negara ini. Pelaksanaannya adalah bertujuan untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran, mempunyai keyakinan diri dan bersedia untuk menyertai pasaran kerja.
Projek ini dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan penglibatan syarikat pembuatan di dalam program perantisan yang berupaya meningkatkan prospek pekerjaan golongan muda. Ini termasuklah mereka yang berasal dari latar belakang yang kurang bernasib baik, dengan menggalakkan dan memperkenalkan pendekatan perantisan kepada majikan yang mengetuai pembangunan kemahiran.
British council memulakan projek ini selaras dengan hasrat Sidang Kemuncak Komanwel iaitu ‘masa depan yang lebih baik,’ yang mana ianya memberi penekanan terhadap usaha mempromosikan kepentingan 60 peratus penduduk Komanwel yang berusia di bawah 25 tahun.
Sebanyak 14 syarikat turut terlibat dalam menyumbang idea bagi menjayakan projek ini iaitu Petronas Dagang, PROTON Holdings Berhad, Naza Academy Sdn. Bhd., Barry Callebaut, UMW Corporation, Claytan Ceramics Factory Store, BP Plastics Sdn. Bhd., Munchy Food Industries Sdn Bhd, Aliran Kaam Sdn. Bhd., Fujitsu Component (Malaysia) Sdn. Bhd., Sharp Manufacturing Corporation (M) Sdn. Bhd., Nulatex Sdn Bhd., Evergreen Fibreboard Berhad dan Tarmah Industries.
Menariknya, projek ini turut berjalan serentak di tiga buah negara lain iaitu Ghana, Afrika Selatan dan juga India.
Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Datin Ts. Dr. Noraini Kaprawi dan dibantu oleh Penolong Ketua Projek, Profesor Madya Dr. Raja Zuraidah Raja Mohd. Rasi dan Ahli, Ts. Dr. Affero Ismail ini berjaya menghasilkan ‘Toolkit’ dan ‘Guidebook’ perantisan yang dapat membantu majikan memahami program perantisan yang sedang dibangunkan.
“UTHM sebagai perintis kepada projek ini berharap segala kerjasama dan komitmen yang diberikan dapat membantu menggalakkan lebih ramai lagi pihak industri untuk menyertai program perantisan ini,” kata Prof Dr. Noraini.
UTHM yang disokong oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bersama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) selepas ini akan terus membantu dan membimbing empat syarikat bagi melaksanakan program perantisan di syarikat masing-masing.