JOHOR BAHRU – Asia Aeronautical Training Academy (AATA) yang merupakan akademi penerbangan milik Universiti Tun Hussin Onn Malaysia (UTHM) dan ATAS Aeronautik Sdn. Bhd. telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Industri bagi membangunkan sebuah hab pendidikan penerbangan di zon selatan tanah air yang akan berpusat di Tanjung Laboh, Batu Pahat, Johor.

Jalinan kerjasama tersebut sebagai inisiatif strategik universiti untuk memperkasakan lagi peranan AATA bagi melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri, sekali gus sebagai usaha bersama dalam menyediakan sistem perkhidmatan dan sokongan yang berkualiti di Tanjung Laboh melalui pelaburan dengan rakan strategik.

Justeru itu, satu majlis menandatangani perjanjian antara AATA, ATAS Aeronautik, UTHM Holdings Sdn. Bhd., Affin Islamic Bank dan Ningxia Shenma Aviation Investment Group Co. Ltd. telah diadakan pada 16 Januari lalu bertempat di Hotel Double Tree – Hilton, Johor Bahru. Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Dr. Sahruddin Haji Jamal hadir menyempurnakan majlis dan turut menjadi saksi kepada perjanjian tersebut.

AATA dan Affin Islamic Bank Berhad dalam memorandum perjanjiannya bersetuju untuk bekerjasama dalam menyediakan platform pembiayaan pendidikan yang berkualiti melalui skim Education Financing-i, yang mana ianya akan membuka ruang kepada warga tempatan terutama dari negeri Johor mengikuti latihan pelesenan penerbangan di AATA. Program latihan yang diintegrasikan dengan program akademik universiti melalui Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Penerbangan Profesional) dengan kepujian dan Program Eksekutif Diploma Penerbangan Profesional ini akan membolehkan produk keluaran AATA memiliki lesen juruterbang profesional berserta segulung ijazah atau diploma yang dianugerahkan oleh UTHM.

Manakala Memorandum Persefahaman (MoU) antara AATA dengan Ningxia Shenma Aviation Investment Group Co. Ltd., China pula melibatkan sumbangan pelaburan bernilai 50 Juta USD bagi membangunkan pusat jualan, servis dan latihan bagi tiga jenis helikopter milik syarikat ini di Tanjung Labuh. Pelaburan yang meliputi kos pembinaan dan operasi pusat ini akan membuka peluang pekerjaan dan latihan kepada warga tempatan dalam sektor pengurusan perniagaan, pembuatan, penerbangan, penyenggaraan dan baik pulih helikopter.

Sementara itu, dua lagi upacara menandatangani memorandum antara UTHM melalui anak syarikatnya UTHM Holdings Sdn. Bhd. dengan ATAS Aeronautik Sdn. Bhd. serta antara AATA dengan ATAS Aeronautik Sdn. Bhd. turut diadakan bagi menunjukkan komitmen pelbagai pihak dalam merencanakan pembangunan hab pendidikan ini.

Hadir sama ke majlis tersebut Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts Dr. Wahid Razzaly, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad, Encik Ferdaus Toh Abdullah; Wakil Shenma Aviation, Encik Benjamin Twang; Pengarah Urusan UTHM Holdings Sdn. Bhd., Profesor Dr. Wan Fauziah Wan Yusoff; Pengarah ATAS Aeronautik, Kapten Kenneth Yap Kean Foo serta pihak industri aeroangkasa dan penerbangan tanah air, agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan dan kelab-kelab yang berkaitan.